MUKADIMAH
LANGKAH Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjadi perdana menteri dalam masa terdekat tidak memungkinkan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan lebih awal.
Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Terengganu, DATUK RAJA KAMARUL BAHRIN SHAH RAJA AHMAD percaya, kemungkinan senario itu berlaku amat jauh sekali terutama dalam situasi Covid-19 yang meruncing pada masa ini.
Bagaimanapun, beliau yang juga Pengerusi PH negeri bimbang proses perubahan kuasa menerusi usul undi tidak percaya di Dewan Rakyat akan ‘terganggu’ dan tidak dapat dilaksanakan dengan lancar.
Sehubungan itu, Raja Kamarul Bahrin membayangkan jalan terakhir bagi menyelesaikan kemelut politik ini adalah dengan menyerahkan kepada kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang mungkin akan menitahkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin agar berbincang dengan Anwar.
Kepada wartawan Utusan Malaysia, ROSALINDA MD. SAID dan jurugambar, PUQTRA HAIRRY ROSLI di Kuala Terengganu, baru-baru ini, beliau berkongsi pandangan berhubung kemelut ini serta isu-isu semasa lain. Ikuti sedutan temu bual tersebut:
LANGKAH ANWAR
UTUSAN: PRU-15 diadakan lebih awal?
RAJA KAMARUL BAHRIN: Saya rasa PRU-15 satu kemungkinan yang jauh kerana dalam situasi hari ini, saya tidak nampak mana-mana pihak akan mencadangkan atau cuba mencetuskannya. Kita sudah tengok Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah mengakibatkan situasi Covid-19 dalam negara menjadi lebih buruk dan bayangkan kalau berlaku (PRU-15), tentunya beratus kali ganda kesannya.
Kaedah lain bagi meredakan kemelut politik?
Kalau kaedah pertama (PRU-15) dan usul undi tidak percaya tidak kesampaian, saya rasa mungkin ada opsyen ketiga iaitu Seri Paduka dengan kebijaksanaan baginda mencadangkan kepada Muhyiddin untuk berbincang dengan Anwar bagi mencari jalan tengah.
Mungkin Tuanku akan menyarankan kedua-duanya bekerjasama untuk menyelamatkan negara kerana keadaan ini luar biasa yang memerlukan tindakan luar biasa demi kebaikan negara.
Kalau kedua-dua pihak memiliki tanggungjawab tinggi, saya rasa ini bukan suatu perkara mustahil. Malah untuk Muhyiddin kembali bersama PH pun bukan lagi mustahil kerana beliau pernah bersama kita tetapi perlu bertolak-ansurlah.
Jadi, saya rasa kita perlu meneroka semua opsyen termasuk kemungkinan untuk bergabung demi kebaikan semua. Ini adalah satu keperluan kerana kita sudah tengok kalau diadakan PRU-15, situasi (penularan Covid-19) di Sabah akan berulang dalam skala jauh lebih besar dengan akibat yang cukup dahsyat. Saya rasa tidak ada orang yang mahu senario itu timbul.
PERTEMUAN ANWAR-AGONG
Perubahan tampuk kepemimpinan tidak berlaku serta-merta?
Ya, perkara itu tidak mungkin berlaku serta-merta tetapi ini adalah satu permulaan yang baik kerana Seri Paduka bersetuju menerima menghadap sekali gus menunjukkan kesediaan dan keterbukaan Tuanku untuk mendengar pihak kami.
Mungkin ada langkah-langkah tertentu yang perlu kita lalui. Insya-Allah, saya rasa kita akan dapat menanganinya dengan baik. Kita tidak mengharapkan laluan yang begitu senang kerana ini adalah situasi agak luar biasa. Negara belum pernah menghadapi situasi sebegini termasuk semasa kita ditukar daripada kerajaan menjadi pembangkang, itu juga satu senario yang luar biasa.
Dengan senario yang berlainan ini tentunya banyak cabaran. Isu perundangan, peraturan dan kematangan politik negara akan diuji pada tahap tinggi.
Tentunya proses ini akan mengambil masa lama?
Saya rasa mungkin tidak, memandangkan negara dan dunia menghadapi banyak cabaran serta ketidaktentuan. Jadi, kemelut politik perlulah diatasi segera. Saya rasa Seri Paduka mempunyai kebijaksanaan yang tinggi untuk mengatasinya secepat mungkin.
KERAJAAN BAHARU ANWAR
Mustahil DAP bersetuju bekerjasama dengan kelompok UMNO?
Di permukaan memang akan nampak begitu kerana perbezaan UMNO-DAP amat ketara, tetapi pada masa sama kita kena ingat kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang individu menyokong Anwar membuat keputusan atas kehendak dan pendirian masing-masing, bukan sebagai parti.
DAP dan Amanah pun tidaklah menolak UMNO secara total, tetapi kami menolak cara ahli atau bekas menteri yang membuat kesalahan amat besar dan tidak boleh dimaafkan seperti skandal kewangan.
PH pernah menerima masuk Muhyiddin yang merupakan bekas ahli UMNO dan ini menunjukkan keterbukaan dan kesanggupan kita berkompromi demi kebaikan rakyat dan menyelamatkan negara.
Jadi, kerajaan PH bersama dengan UMNO masih boleh wujud jika bukan melibatkan mereka yang bermasalah besar manakala kelompok yang terlalu banyak kepincangan akan duduk di luar kerajaan. Itu mungkin satu kompromi yang boleh dicapai kerana PH tidak total dan keras.
GENCATAN POLITIK
Ahli politik tanpa mengira parti digesa melakukan gencatan politik seketika?
Saya rasa kita perlu persoalkan apa maksud genjatan politik itu dan kalau mahu pembangkang berhenti daripada menegur kerajaan, itu adalah mustahil kerana terlalu banyak kesalahan dilakukan.
Jika gencatan politik bertujuan untuk tidak mengganggu perjalanan kerja keselamatan dan kesihatan, itu kita setuju. Tetapi saya tertanya-tanya, kenapa mereka bersungguh-sungguh mahukan gencatan politik, sedangkan semasa mereka mempunyai kuasa dan keselesaan tidak pula ditimbulkan isu ini kerana Covid-19 bukan perkara yang baharu berlaku.
Saya rasa mereka menggunakan isu Covid-19 untuk menyelamatkan diri kerana tertekan dengan gelombang ketiga pandemik.
AMANAH ANAK DERHAKA PAS
Susulan kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang baru-baru ini. Komen?
Saya nak pergi kepada perkara pokok, kenapa Amanah wujud susulan ketidakpuasan hati kita melihat Pas berjinak-jinak dengan UMNO sedangkan pada masa itu, Mursyidul Am, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang amat kita sayangi melarang kerjasama dengan UMNO.
Malah, semasa hayat Allahyarham, secara senyap-senyap ada sebahagian pimpinan Pas mengadakan kerjasama sulit dengan UMNO dan hari ini jelas Pas sudah bersama UMNO, sekali gus membuktikan kebenaran dakwaan kami. Jadi, adakah menyatakan perkara yang dinafikan kepemimpinan Pas itu dikatakan derhaka?
Saya rasa Pas sekarang telah menggadai maruah dengan sanggup melakukan apa sahaja asalkan boleh menjadi kerajaan. Benarlah kenyataan pemimpin Amanah lain yang Pas seolah-olah melacurkan anak untuk berkuasa.
Tetapi apa yang dilakukan setelah berkuasa, Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016, (RUU 355) tidak pernah disebut.
LIMA TAHUN PENUBUHAN AMANAH
Bagaimana perkembangan parti dalam tempoh ini?
Semasa penubuhan, kita pernah dipanggil parti nyamuk oleh Pas di samping macam-macam lagi label kononnya kita tidak akan bertahan lebih dari setahun. Tetapi alhamdulillah, kita sudah berkembang dan menjadi sebahagian daripada kerajaan walaupun dalam waktu yang singkat selama 22 bulan.
Kita berpuas hati dengan konsep rahmatan lil alamin (rahmat untuk semua) yang diperkenalkan kerana inilah Islam yang patut disebarkan seluasnya, bukan Islam yang menunjukkan kebencian, kemarahan dan berpuak-puak serta membanggakan keturunan dan darjat.
Malah, Islam sebeginilah yang akan diterima oleh rakyat bukan sahaja di Malaysia tetapi di seluruh dunia dalam waktu terdekat dan pada masa hadapan. Konsep kita sederhana dan tidak menyisih mana-mana pihak sama ada orang muda atau tua mahupun yang berbeza latar pendidikan.
Saya rasa Amanah memberi satu pembaharuan pendekatan dalam menghargai Islam tetapi malangnya, ada pihak yang sentiasa cuba menidakkan usaha kita dan banyak sekatan diletakkan bagi menghalang orang untuk bersama kita.
Cabaran politik di Pantai Timur?
Di Pantai Barat tidak bermasalah sangat tetapi terutama di Terengganu, politik mengancam dan mengugut amat menyedihkan. Walaupun individu itu belum masuk Amanah tetapi kalau dilihat duduk bersama, sudah dipandang serong.
Saya sendiri telah melalui banyak insiden semasa masuk Amanah. Soalnya, kenapa pemimpin Pas takut sangat orang lain mengenal dan mendampingi Amanah? Biarlah ahli membuat penilaian sendiri.
Kita tidak memaksa ahli Pas masuk Amanah kerana kalau mereka belum bersedia, itu akan memudaratkan mereka. Asalkan hati mereka lembut dan lunak kepada perjuangan kita, saya rasa itu sudah cukup. Insya-Allah, suatu hari nanti mereka akan datang kalau tidak secara terbuka, menyokong dengan bersembunyi sama ada melalui moral atau undi.
PH DI TERENGGANU
Kenyataan Datuk, PH Terengganu masih mempunyai tempat di hati rakyat mengundang pelbagai reaksi. Komen?
Macam saya sebutkan, Terengganu kubu kuat Pas dan orang takut mahu menunjukkan sokongan kepada PH kerana tidak mahu disisihkan. Dahulu semasa kita menjadi kerajaan pun sikapnya begitu juga dan orang tidak datang secara terbuka, apatah lagi apabila Pas kini merupakan sebahagian kerajaan PN.
Kalau orang tidak menunjukkan sokongan kepada kita, bukan bermakna kita tiada sokongan kerana pendekatan PH menangani Pas di Terengganu berbeza. Bukan semua keadaan boleh dilawan api dengan api, ada masanya perlu dibalas dengan air atau pasir.
Dengan pengaruh Abdul Hadi Awang di Rusila dan Ketua Dewan Ulama, Allahyarham Datuk Harun Taib, sukar untuk PH mendada dengan mereka. Tetapi untuk mengatakan tempat kita di pusara, saya rasa mungkin mereka kurang membaca.










