Kagum! Itu reaksi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri apabila melihat risalah bertulisan Jawi yang diterbitkan oleh Pusat Kebudayaan dan Sains Rusia (RCSC) di Kuala Lumpur.
Risalah itu ditunjukkan oleh Duta Besar Persekutuan Rusia di Malaysia, Naiyl M. Latypov ketika mengunjungi Zulkifli di pejabatnya di Putrajaya pada 28 Ogos lalu.
Dalam kunjungan tersebut, mereka membincangkan kerjasama yang bakal dilaksanakan antara kedua-dua pihak. Antaranya menterjemahkan risalah berkaitan masjid-masjid yang menjadi tumpuan pelancong di Putrajaya ke bahasa Rusia.
Langkah itu diambil memandangkan semakin ramai pelancong Rusia mengunjungi Malaysia dan ramai daripada mereka tidak faham bahasa Melayu atau bahasa Inggeris. Maka rugilah sekiranya mereka mengunjungi masjid-masjid tersebut tanpa mengetahui keunikan dan keistimewaannya.
HARI JAWI
Seperti yang dicatatkan di dalam artikel saya sebelum ini, ramai sarjana Rusia berminat dengan bahasa Melayu. Mereka melihat bahasa dan budaya masyarakat asing itu sesuatu yang unik dan bernilai. Maka mereka rasa teruja untuk mengkaji dan mempelajarinya.
Jawi yang merupakan tulisan asal bahasa Melayu turut mendapat perhatian warga Rusia di Malaysia. Ramai dalam kalangan mereka yang tidak pernah mengetahui bahasa Melayu itu mempunyai tulisan yang tersendiri melainkan mereka melawat beberapa negeri seperti Kelantan, Terengganu, Kedah dan Pahang yang memartabatkan Jawi.
RCSC Malaysia sendiri mengambil inisiatif menjadikan Jumaat sebagai Hari Jawi yang mana hantaran di Facebook rasminya menggunakan tulisan Jawi. Bukan itu sahaja, beberapa inisiatif lain turut dijalankan untuk memartabatkan tulisan yang semakin dilupakan ini, antaranya menerbitkan risalah pengenalan tentang RCSC Malaysia dalam tulisan Jawi.
Keputusan ini dibuat tanpa sebarang bantahan daripada mana-mana warga Rusia kerana mereka melihat ia merupakan satu langkah yang baik dalam memelihara tulisan sesebuah bangsa.
Sekiranya bahasa Rusia mempunyai tulisannya sendiri yang dinamakan Cyrilic, maka bahasa Melayu juga mempunyai tulisannya sendiri iaitu Jawi.
SIMBOLIK
Kita seharusnya memahami kepentingan memelihara tulisan Jawi sebagai simbolik bangsa dan negara supaya ia tidak hilang ditelan zaman, sekali gus membuatkan generasi seterusnya terkontang-kanting tidak mengetahui asal usul dan identitinya.
Saya yakin pembaca yang mengikuti penulisan mengenai Rusia di akhbar ini dari mula lagi pasti kagum kepada sarjana Rusia yang mencintai dan menghormati segala-galanya tentang Malaysia.
Mungkin juga ada dalam kalangan kita berasa sedikit malu melihatkan betapa bersemangatnya mereka memelihara tulisan Jawi. Sedangkan masih ramai dalam kalangan kita yang mempersoalkan bahkan menentang penggunaan Jawi.
Legasi dan projek penulisan Jawi akan diteruskan oleh RCSC Malaysia di bawah Pengarah baharunya, Svetlana Kovaleva.
Seperti yang kita sedia maklum, Rusia merupakan sebuah negara yang mempunyai semangat kebangsaan cukup tinggi. Sikap patriotik rakyatnya banyak membantu negara mereka mencapai pelbagai kejayaan dari segenap aspek. Apabila mencintai tanah air sendiri, maka sudah tentu kita akan berusaha untuk memajukan dan mengangkat martabat tanah air supaya ia disegani dan dihormati di pentas dunia.
Sikap cintakan negara yang mendalam itu termasuklah dengan memartabatkan bahasa kebangsaan Rusia dan menyebarluaskan bahasa tersebut ke seluruh dunia termasuklah di Malaysia.
Mereka berbangga dengan bahasa dan budaya sehingga mereka merasakan ia patut dikongsikan kepada masyarakat dunia.
TERBESAR
Di Malaysia, kita boleh lihat kewujudan kelas bahasa Rusia di Malaysian Institute of Aviation Technology (UniKL MIAT) dan Universiti Malaya. Ratusan pelajar tempatan sudah pun berjaya menguasai bahasa Rusia sehingga menyambung pelajaran mereka ke negara terbesar di dunia itu.
Tahukah anda, bahasa Rusia merupakan salah satu bahasa yang paling banyak dipertuturkan di dunia? Hampir 300 juta orang di seluruh dunia bertutur dalam bahasa Rusia. Di samping itu, ia juga merupakan bahasa rasmi atau digunakan secara meluas di banyak negara seperti Belarus, Kazakhstan, Kyrgyzstan, Uzbekistan, Ukraine, Turkmenistan dan Moldova. Di samping itu, bahasa Rusia juga merupakan bahasa kedua terbesar digunakan di internet.
Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) menetapkan setiap 6 Jun sebagai Hari Bahasa Rusia Sedunia. Pemilihan tarikh ini diambil sempena hari kelahiran penulis dan penyair teragung Rusia, Aleksander Pushkin yang juga dikenali sebagai Bapa Bahasa Rusia Moden.
Sekiranya anda ingin mempelajari bahasa Rusia, berkunjunglah ke RCSC Malaysia yang terletak di Lorong Ampang 2, Kuala Lumpur.
PENULIS ialah Pegawai Perhubungan Awam, Pusat Sains dan Kebudayaan Rusia (RCSC) di Kuala Lumpur.










