MENGHINA dan membuat tohmahan melulu terhadap individu atau waris yang dijangkiti mahupun dikuarantin akibat Covid-19 seolah-olah menjadi budaya baharu dalam masyarakat hari ini.
Sikap berlebih-lebihan itu sekali gus menyebabkan kelompok yang bekerja di premis sama, turut menerima tempias dipulaukan orang ramai, walaupun hakikatnya mereka tidak mempunyai sebarang kontak rapat dengan mangsa.
Salah faham melampau masyarakat sebegitu berulang kali ditegur Pengarah Kesihatan Terengganu, Dr. Nor Azimi Yunus menerusi hantaran di laman Facebook miliknya pada Julai lalu dan terbaru, Khamis, 8 Oktober.
Dalam perkongsiannya Nor Azimi berkata, ada segelintir individu dilarang masuk ke kedai, tidak terkecuali ibu bapa yang diminta segera mengambil anak masing-masing di sekolah atas alasan mereka bekerja di premis ‘X’ yang ditutup akibat pandemik. Lebih menyedihkan apabila ada yang disindir dengan gelaran ‘anak’ atau ‘bapa’ Covid-19.
Turut terpalit dengan diskriminasi itu ialah Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza). Baru-baru ini, sebuah klinik panelnya di Kuala Terengganu mengeluarkan notis enggan merawat kakitangan universiti berkenaan dan keluarga mereka bermula 4 hingga 18 Oktober lalu berikutan kes Covid-19 membabitkan salah seorang warganya.
Setelah lebih enam bulan kita berperang dengan Covid-19, tidak sepatutnya isu salah faham tentang wabak penyakit ini masih menghantui masyarakat. Adalah lebih baik jika mendoakan kesejahteraan mereka yang terjejas kerana kita tidak pernah tahu, mungkin ada yang terpaksa mendapatkan pil hipertensi buat kali pertama dalam hidup semata-mata trauma dengan penghinaan dan diskriminasi yang perlu dilalui setiap hari.
PENULIS ialah Koresponden Utusan Malaysia Terengganu.










