MINGGU ini, rakyat Amerika Syarikat (AS) meratapi kehilangan Hakim Mahkamah Agung, Ruth Bader Ginsburg yang juga dikenali sebagai RBG, seorang juara perundangan dan kesamarataan jantina.
Ibu saya dan RBG, kedua-duanya dilahirkan pada 1932, sama-sama menghadapi diskriminasi dan halangan terhadap gadis dan wanita.
Pada 1959, RBG berjaya menamatkan pengajiannya di tempat pertama dalam kelas pengajian undang-undang Columbia. Namun tiada firma guaman di New York yang mengambilnya bekerja kerana beliau seorang wanita, sudah berkahwin dan seorang ibu.
Berikutan itu, beliau menjadi profesor undang-undang. Beliau dibayar lebih rendah daripada rakan sejawat lain dan terpaksa menyembunyikan kehamilan dengan pakaian longgar agar tidak kehilangan pekerjaan sebagai pengajar.
Pada 1970-an, dengan kerjasama Kesatuan Kebebasan Sivil Amerika (ACLU), RBG dengan kehebatan hujahnya memenangi beberapa kes berdasarkan klausa perlindungan sama rata daripada pindaan ke-14 Perlembagaan AS yang menetapkan wanita dan lelaki mempunyai hak sama rata di bawah undang-undang.
Kes-kes ini memberi wanita hak untuk memiliki akaun bank, kad kredit atau melakukan gadaian tanpa memerlukan tandatangan daripada lelaki, hak untuk tidak dipecat kerana status perkahwinan, kehamilan, atau keibuan, hak bagi seorang lelaki untuk menerima manfaat selepas kematian isteri dan hak bagi wanita untuk duduk
sebagai juri.
Berhujah di depan sembilan hakim lelaki Mahkamah Agung, RBG menyimpulkan satu hujah lisan yang cukup terkenal iaitu dengan memetik Sarah Moore Grimke, seorang aktivis penghapusan hamba abdi dan hak wanita abad ke-19: “Saya tidak meminta pertolongan disebabkan jantina saya. Yang saya minta ialah saudara-saudara lelaki kita melepaskan cengkaman mereka pada leher kita.”
BINTANG ROCK
Dilantik ke Mahkamah Agung AS pada 1993, RBG menjadi hakim wanita kedua. Pada 1996, beliau menulis pendapat perundangan penting yang membatalkan dasar kemasukan lelaki sahaja ke Institut Ketenteraan Virginia dan menyertai pendapat majoriti 2015 yang memberikan kesamarataan perkahwinan untuk pasangan sama jantina.
Selama 28 tahun di Mahkamah Agung, RBG menjadi ikon dan bintang rock popular sistem kehakiman. Ribuan rakyat AS pergi ke Mahkamah Agung pada minggu lalu, meletakkan bunga dan kad serta berkabung untuk seorang wanita yang memberi dedikasi berterusan dalam perundangan.
Beliau memperjuangkan komitmen keadilan yang sama rata di bawah undang-undang untuk semua warganegara. Hakim Ginsburg merupakan wanita pertama yang diberi penghormatan terakhir di Capitol AS, satu penghormatan yang dikhaskan untuk pemimpin kerajaan dan tentera yang terunggul – dan menjadi bukti sebenar terhadap warisan tinggalan beliau.
SURI TELADAN
Malaysia mempunyai banyak suri teladan wanita terkemuka yang kerja mereka menjadi perintis. Dalam bidang kehakiman, Malaysia kini mempunyai lapan orang hakim wanita di Mahkamah Persekutuan – lebih daripada separuh termasuk presiden Mahkamah Rayuan. Di samping itu, Malaysia telah mencatat kejayaan baharu dalam kesamarataan jantina dengan pelantikan Ketua Hakim wanita pertama, Tun Tengku Maimun Tuan Mat pada 2019.
Sebagai duta besar wanita, saya memahami pentingnya suri teladan. Saya terhutang banyak kejayaan kepada mentor dan suri teladan yang hebat, baik lelaki mahupun wanita. Terdapat ramai diplomat wanita yang berani sebelum saya, yang membuka jalan kepada kita dalam profesion hari ini.
Banyak momen paling penting dan bermakna semasa saya menjadi Duta Besar AS ke Malaysia terutama yang terukir sejak tiga tahun kebelakangan ini membabitkan isu berkaitan wanita dan gadis.
Saya bangga dengan semua yang dicapai oleh pasukan kedutaan kami. Di Kedutaan AS, kami berusaha untuk menyokong matlamat kerajaan Malaysia bagi meningkatkan kualiti hidup wanita melalui pendidikan, bengkel perniagaan dan latihan keusahawanan, serta peluang jalinan untuk mempromosikan kesamarataan dan keselamatan gender.
Sempena sambutan Hari Kesamarataan Wanita pada Ogos lalu, Kedutaan AS melancarkan kempen Wanita Empowered bagi menyokong wanita Malaysia melalui program peningkatan kapasiti dan kempen peningkatan kesedaran, memberikan mereka akses kepada pendidikan dan kemahiran lanjutan serta alat untuk mencapai kesamarataan ekonomi.
Apabila kita meraikan warisan Hakim Ginsburg dan merenung kembali kehidupan dan kerjanya, saya tahu inisiatif ini akan membuat beliau bangga. Dengan semangat RBG, saya mengajak anda semua untuk memikirkan tentang suri teladan dalam hidup anda. Juga, cara anda boleh menjadi suri teladan kepada orang lain.
Seperti yang dijelaskan oleh Hakim Ginsburg: “Perjuangkan perkara-perkara yang anda sayangi, lakukanlah dengan cara yang akan mendorong orang lain untuk menyertai anda.”
penulis ialah Duta Besar Amerika Syarikat ke Malaysia.










