Harta beku ialah harta seseorang yang masih tertahan daripada sebarang transaksi mahupun urusan pengagihan kepada waris selepas kematian pemiliknya sebelum proses pentadbiran sempurna diproses. Harta beku ialah isu yang sedang dihadapi dalam negara kita dan keadaannya dilihat semakin buruk.
Pada 2004, nilai harta beku dalam negara dianggarkan RM15 bilion. Malangnya, jumlah harta beku saban tahun meningkat sehinggalah pada Januari lalu, media menyatakan angkanya mencecah RM70 bilion! Keadaan ini merumuskan sejak 16 tahun lalu, jumlah nilai harta beku secara purata bertambah sebanyak RM3.44 bilion setahun.
Walaupun mungkin angka yang dinyatakan oleh media kurang tepat tetapi isu harta beku adalah permasalahan yang tidak boleh diambil mudah. Apatah lagi dari sudut syariah, urusan melibatkan harta-benda akan disoal di akhirat nanti. Tidak kira walau apa pun kedudukan seseorang sama ada sebagai pemilik harta atau sebagai waris yang menerima, ataupun barangkali sebagai pemegang amanah terhadap harta yang ditinggalkan, setiap orang akan ditanya tentang tanggungjawab yang digalasnya semasa hidup di dunia.
WARIS
Selanjutnya rata-rata golongan profesional dalam bidang ini apabila membicarakan isu harta beku, mempunyai suara sama ketika membangkitkan punca-punca jumlah pertambahannya terutama dalam menguruskan harta pemilik yang telah meninggal dunia. Antaranya, waris tidak mempunyai pengetahuan berkaitan proses membuat tuntutan, pengurusan melibatkan kos yang tinggi, waris tiada muafakat, waris tidak mempunyai peruntukan masa dan berlengah-lengah dalam menguruskannya.
Tiada pengetahuan dalam menguruskan harta boleh dilihat sebagai punca paling signifikan. Dengan wujud pengetahuan yang berkaitan, seseorang boleh dianggap telah berada di separuh jalan dalam menguruskan harta terbabit. Pengetahuan asas itu sudah tentu termasuk mengetahui hukum-hakam dalam pengurusan harta walaupun hanya di peringkat minimum. Bertitik-tolak dari sinilah, seseorang akan mencari jalan untuk menguruskan harta terbabit kerana pengetahuan ini secara dasarnya boleh menerbitkan kesedaran dalam melaksanakan tanggungjawab.
Bermula dengan pengetahuan ini, biasanya seseorang akan mempunyai kesedaran dan kefahaman bahawa bertindak lebih awal adalah langkah bijaksana kerana perkara ini akan mengelakkan timbul sebarang isu apabila dia meninggal dunia. Hal ini membawa maksud, seorang pemilik harta yang bijaksana tidak akan membiarkan hartanya begitu sahaja, bahkan diuruskan dengan sempurna sementara dia masih hidup, sihat dan waras. Kebijaksanaan sebegini juga sudah tentu dapat mengelakkan punca-punca yang mengakibatkan harta diuruskan secara lambat dan lewat.
AGIH
Pengurusan harta secara bijaksana juga bermakna ia dapat diagihkan kepada mereka yang layak sama ada kepada ahli keluarga ataupun bukan dan hak harta dapat ditunaikan dengan sempurna.
Secara tidak langsung, ia juga dapat mengelakkan harta itu daripada menjadi beku serta tidak dapat dimanfaatkan.
Impak pengurusan harta dalam konteks yang lebih luas akan menjamin perkara-perkara seperti ini, iaitu memastikan harta beredar dan bergerak cergas dalam pelbagai sektor kehidupan sehingga memungkinkan pengembangan dan penggunaannya secara meluas dan menyeluruh, merangsang aktiviti ekonomi dan ia dapat meluaskan lingkungan peredaran harta sehingga dapat dinikmati oleh masyarakat secara adil.
Menguruskan harta keluarga secara berkesan adalah ibarat menyediakan payung sebelum hujan. Hujan ialah takdir yang tidak boleh dielakkan tetapi dengan adanya payung, maka ia dapat melindungi mereka daripada ditimpa air hujan yang memberi erti kebajikan mereka yang ditinggalkan akan terus terpelihara.
Apatah lagi jika seseorang pemilik harta mempunyai situasi seperti ini, iaitu dia tidak mempunyai anak lelaki yang kedudukannya menerima baki pusaka, hanya memiliki anak angkat, memiliki anak istimewa atau anak yang terlantar sakit dan memiliki anak di bawah umur 18 tahun yang beberapa keadaan ini memerlukan pemegang amanah.
Dalam hal ini, setiap pemilik harta tidak tahu waktu kematiannya, situasi yang mungkin mengurangkan kemampuannya sebagai orang sihat dan normal, juga sebarang insiden atau perubahan yang boleh menyebabkan ketidakupayaan dari sudut mental. Dalam hal ini, Rasulullah SAW bersabda:
Daripada Ibnu Abbas r.a., Rasulullah SAW bersabda ketika menasihati seseorang, “Gunakan lima perkara sebelum datang lima perkara, iaitu masa mudamu sebelum masa tuamu, masa sihatmu sebelum masa sakitmu, masa kayamu sebelum masa miskinmu, masa lapangmu sebelum masa sibukmu dan masa hidupmu sebelum masa matimu.”(Hadis riwayat al-Hakim)
KUNCI UTAMA
Walaupun pengetahuan berkaitan merupakan kunci utama penyelesaian kepada permasalahan ini tetapi berdasarkan tinjauan penulis, pengetahuan yang perlu ada pada masyarakat Islam di
Malaysia masih belum cukup memberangsangkan. Sesetengahnya walaupun pernah mendengar istilah hibah, wasiat dan faraid, tetapi pengetahuan yang ada belum mencukupi dalam hal bagaimana instrumen-instrumen pengurusan harta ini berfungsi. Keadaan ini perlu diambil perhatian oleh semua pihak supaya pengetahuan kita dapat dipertingkatkan. Harapan kita apabila kefahaman masyarakat meningkat, lama-kelamaan permasalahan berkaitan harta beku dapat dikurangkan.
PENULIS ialah Pegawai Penyelidik Kanan, Pusat Kajian Syariah, Undang-undang dan Politik, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).










