Sebut sahaja Putin, pasti ramai kagum. Nama ini begitu sinonim dengan masyarakat kita memandangkan Putin atau nama sebenarnya, Vladimir Vladimirovich Putin dilihat bukan sahaja sebagai seorang Presiden Rusia tetapi juga seorang pemimpin terkemuka dunia. Namanya disegani di pentas antarabangsa kerana sikap dan caranya yang tenang, santai, tegas tetapi berprinsip.
Ayuh, kita terokai secara ringkas biodata pemimpin Rusia ini. Putin yang dilahirkan pada tanggal 7 Oktober 1952 di St. Petersburg merupakan Presiden Rusia kedua dari 7 Mei 2000 hingga 7 Mei 2008 menggantikan Boris Yeltsin. Kemudian beliau menjadi Perdana Menteri Rusia dari 8 Mei 2008 hingga 7 Mei 2012. Pada 7 Mei 2012 pula, beliau kembali menjadi Presiden Rusia sehingga kini.
Setelah Rusia moden terbentuk pada 1991 menggantikan Kesatuan Soviet yang dibubarkan, negara terbesar di dunia ini mendapat kunjungan rasmi daripada Yang-Dipertuan Agong ke-10, Al-Marhum Tuanku Ja’afar Tuanku Abdul Rahman pada 1997 di St. Petersburg. Putin pula berkunjung ke Malaysia sebanyak dua kali bagi menyertai program-program rasmi.
Semenjak beliau menjadi pemimpin, hubungan Malaysia dan Rusia sentiasa dalam keadaan stabil dan baik. Aktiviti ekonomi antara kedua-dua negara begitu rancak. Sebagai contoh, pembelian 18 pesawat Sukhoi-30MKM buatan Rusia oleh Malaysia pada 2003.
Pada 2005, Vladimir mengadakan perbincangan di Kuala Lumpur bersama Perdana Menteri kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi. Kemudian pada Jun 2007, Abdullah mengadakan kunjungan rasmi bertemu Putin di Rusia.
Antara kejayaan besar hubungan Malaysia dan Rusia ialah program angkasawan. Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor dan Dr. Faiz Khaleed dihantar menjalani latihan di Pusat Latihan Angkasa Yuri Gagarin, Moscow. Kemudian, pada 11 Oktober 2007, Sheikh Muszaphar terpilih menjadi angkasawan pertama Malaysia ke angkasa lepas dengan pesawat Soyuz TMA-11.
Mungkin kali terakhir pertemuan pemimpin Malaysia dan Putin adalah pada 2019 di Vladivostok, sebuah kota yang mempunyai hubungan terus dengan Kota Kinabalu. Pertemuan ini dengan Tun Dr. Mahathir Mohamad. Apa yang menarik, Putin berkongsi cadangannya untuk menubuhkan Universiti Aeroangkasa di Malaysia kepada Dr. Mahathir.
Sepak terajang Putin dalam dunia politik antarabangsa sangat menarik perhatian para pengkaji seluruh dunia. Segala percaturannya nampak berkesan dan sentiasa dilihat sebagai seorang yang mampu bertindak ke atas sesuatu isu dengan baik. Pengaruhnya di Malaysia agak tinggi, sebagai contoh menyerang peribadi Putin di media sosial bakal mendapat kecaman oleh netizen.
Antara ungkapan terbaik Putin yang saya berminat untuk kongsikan ialah dalam Mesyuarat Kelab Perbincangan Antarabangsa Valdai pada 24 Oktober 2014 di Soshi. Kata Putin: “Rusia ialah negara yang mampu berdiri sendiri. Kami akan berusaha dalam keadaan ekonomi antarabangsa sedia ada, membangungkan pengeluaran dan teknologi domestik serta bertindak dengan lebih tegas untuk melaksanakan transformasi. Tekanan dari luar sebagaimana yang pernah terjadi pada masa-masa lalu akan hanya menyatupadukan masyarakat kami, membuatkan kami sentiasa berjaga-jaga dan memberi tumpuan kepada matlamat pembangunan kami yang utama.”
Selain Putin, Khabib juga merupakan figura Rusia yang mendapat tempat di hati masyarakat kita. Khabib Abdulmanapovich Nurmagomedov yang juga digelar ‘Si Helang’ dilahirkan pada 20 September 1988 di perkampungan Sildi, Tsumadinsky, Dagestan. Beliau dilatih sebagai penggusti oleh ayahnya, Nurmagomedov semenjak berumur lima tahun lagi.
Sekiranya pembaca masih ingat, beberapa tahun lalu, tersebar video Khabib sedang bergusti dengan seekor beruang di sebuah pergunungan. Video ini bukan sahaja mengejutkan orang awam, bahkan ahli sukan lasak yang berasa kagum dengan keberanian dan kegagahan Khabib bertarung dengan seekor beruang yang bersaiz besar.
Nama Khabib bersinar setelah beliau menewaskan seterunya, Conor McGregor dalam pertarungan seni bela campuran (MMA) di T-Mobila Arena, Las Vegas, Amerika Syarikat (AS) pada 3 Ogos 2018. Pertarungan ini dihadiri lebih 20,000 penonton dan mendapat kutipan melebihi 17 juta dolar AS!
Sikap dan personalitinya yang sentiasa merendah diri dan tidak menggunakan perkataan kesat terhadap pencabarnya membuatkan ramai peminat di seluruh dunia menghormatinya, baik Muslim atau bukan. Ini boleh dilihat dengan sikap tenangnya ketika berhadapan McGregor yang melakukan provokasi melampau ke atasnya dengan menghina agama Islam dan negaranya.
Antara kata-kata Khabib yang menarik ialah: “Saya tak lawan kerana duit. Saya lawan untuk legasi saya. Saya lawan untuk sejarah. Saya lawan untuk rakyat saya. Itu sebab saya berada di sini.”
Namun, tahun ini sedih buatnya apabila Khabib kehilangan bapa yang juga jurulatihnya, Nurmagomedov, 57, akibat jangkitan Covid-19.
Sehingga hari ini, Khabib tidak pernah tewas dalam kesemua 28 pertarungan. Nama beliau menjadi mimpi ngeri bagi petarung-petarung MMA. Putin telah bertemu Khabib sebaik sahaja beliau pulang ke Rusia bagi meraikan kemenangan bersejarahnya itu. Pada masa sama menaikkan imej Rusia di pentas dunia. Mungkinkah satu hari nanti Khabib akan berkunjung ke Malaysia?
PENULIS ialah penulis buku dan pengkaji hubungan Malaysia-Rusia.










