Punjabi juga kaum India - Utusan Malaysia

Punjabi juga kaum India

PERKAHWINAN campur melunturkan agama, budaya dan identiti komuniti Punjabi-Sikh. – GAMBAR HIASAN/AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADA awal 2018, sebanyak 1.5 bilion unit Amanah Saham 1Malaysia (AS1M) diperuntukkan khusus bagi kaum India. Bagaimanapun, komuniti Punjabi menghadapi masalah untuk membeli saham berkenaan kerana sistem yang diguna pakai oleh Permodalan Nasional Bhd. (PNB) hanya membenarkan kaum India membuat permohonan. Mujurlah masalah teknikal itu berjaya diselesaikan.

Mengikut perangkaan 2016, jumlah penduduk kaum India di Malaysia adalah 1.8 juta orang dan majoriti merupakan orang Tamil. Akan tetapi, terdapat juga orang Malayali (170,000), Telugu (113,000) dan Punjabi (65,000) yang memiliki identiti bahasa, budaya, pakaian dan perayaan tersendiri.

Sejak dahulu, komuniti Punjabi sering dilihat secara berasingan daripada kaum India. Misalnya dalam iklan, selain individu Tamil (yang dipastikan berkulit gelap) akan cuba ditampilkan lelaki berserban mewakili orang Punjabi.

Ramai juga dalam kalangan kita yang masih merujuk kepada orang Punjabi sebagai Benggali. Amalan ini ada kaitan dengan sejarah kedatangan migran India ke negara ini lebih 100 tahun dahulu.

Orang Tamil dan Telugu dibawa dalam jumlah yang besar menaiki kapal laut dari pelabuhan di bahagian selatan India.

 

SIKH

Orang Punjabi dari wilayah Punjab di bahagian utara India pula berkumpul di Teluk Bengal sebelum menaiki kapal laut. Maka mereka dirujuk sebagai orang Benggali. Sepatutnya istilah Benggali sesuai bagi warga Bangladesh yang kini begitu ramai di Malaysia.

Mengikut sejarah, dalam kalangan orang Tamil dan Telugu sendiri jarang berinteraksi satu sama lain di negara asal. Apabila mereka ditempatkan di estet-estet getah di Tanah Melayu (Malaya), barulah mereka mula saling mengenali.

Bagi orang Punjabi pula, mereka terlibat dalam bidang pekerjaan berbeza, misalnya polis, tentera dan pengangkutan. Maka, kurang interaksi dengan orang Tamil dan Telugu.

Kita juga sering mengaitkan orang Punjabi dengan agama Sikh. Wanita beragama Sikh mudah dikenali menerusi penggunaan kaur (puteri) pada nama, manakala lelaki beragama Sikh memiliki singh (singa) pada nama. Amalan Khalsa diperkenalkan pada 1699 oleh Guru Gobind Singh.

Akan tetapi walaupun majoriti orang Punjabi di Malaysia beragama Sikh, ada juga kumpulan minoriti orang Punjabi beragama Islam atau Hindu.

Amat menarik apabila orang Punjabi beragama Islam masih mengekalkan bahasa, pakaian, dan budaya Punjabi yang tidak bercanggah dengan ajaran Islam.

Orang Punjabi yang beragama Hindu pula tentulah tidak memiliki singh atau kaur pada nama dan golongan lelaki tidak memakai serban. Maka, kita mungkin tidak menyedari mereka berketurunan Punjabi.

Pada masa sama, timbul juga kebimbangan dalam kalangan orang Punjabi-Sikh kerana generasi muda didapati tidak gemar memakai serban yang merupakan satu daripada identiti wajib bagi lelaki beragama Sikh.

Rumah ibadat orang Sikh disebut gurdwara dan turut menjadi pusat aktiviti kemasyarakatan. Sesiapa sahaja dibenarkan memasuki gurdwara, asalkan mematuhi peraturan.

 

MIC

Misalnya, lelaki dan wanita wajib menutup rambut. Selendang dan kain pengikat kepala disediakan jika perlu. Dapur yang dinamakan ‘langgar’ menyajikan makanan nabati (vegetarian) dan dibuka kepada sesiapa sahaja tanpa mengira kaum dan agama.

Semasa berlaku bencana seperti banjir, kita sering mendengar dan membaca berita tentang komuniti Sikh turun padang untuk membantu dan menyediakan makanan kepada mangsa tanpa mengira kaum dan agama. Amalan ini bukan hanya berlaku di Malaysia tetapi turut dilaporkan di seluruh dunia.

Walaupun pada masa kini, orang Punjabi dilihat secara berasingan daripada orang India di Malaysia, komuniti Punjabi memainkan peranan besar dalam gerakan awal menyatukan kaum India.

MIC diasaskan oleh John Thivy pada Ogos 1946 dan Budh Singh menjadi presiden pada 1947. Hanya selepas VT Sambanthan menjadi presiden pada Mei 1955, MIC dikatakan menjadi parti politik eksklusif untuk orang Tamil, bahasa Tamil dan budaya Tamil.

Para pengkaji seperti Sarjit Singh Gill dan Charanjit Kaur menyenaraikan beberapa cabaran yang dihadapi komuniti Punjabi-Sikh di Malaysia.

Golongan pemuda didapati tidak mementingkan pemakaian serban. Bahasa ibunda iaitu Punjabi semakin terpinggir. Perkahwinan campur melunturkan agama, budaya dan identiti. Politik dalam institusi gurdwara juga dilihat sebagai suatu ancaman yang perlu ditangani segera.

PENULIS ialah pengasas Kumpulan Sasterawan Kavyan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×