Pilihan warga kota sambung pengajian - Utusan Malaysia

Pilihan warga kota sambung pengajian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH
UNIVERSITI Malaya (UM) sering menjadi pilihan untuk orang awam melanjutkan pengajian di peringkat lebih tinggi sekali gus menjadi seorang yang berdaya saing dalam pelbagai bidang.

Walaupun institusi pengajian tinggi (IPT) itu dikenali ramai, namun masih ada lagi dalam kalangan masyarakat yang tidak mengetahui tentang kewujudan Pusat Pembelajaran Berterusan Univerisiti Malaya (UMCCed) yang dilihat membantu pelajar membina kerjaya idaman yang diinginkan.

Sebagai antara universiti terbaik di Malaysia dengan menduduki tangga ke-59 dunia berbanding ke-70 pada tahun lalu berdasarkan Quacquarelli Symonds (QS) World University Rankings 2021, jenama UMCCed terus meniti di bibir calon pelajar yang mahu mengembangkan kerjaya.

Pemangku Pengarahnya, DR. AMIRRUDIN KAMSIN berkongsi bersama wartawan Utusan Malaysia, AQILAH MIOR KAMARULBAID tentang keistimewaan UMCCed yang menjadi pilihan utama ramai calon untuk melanjutkan pengajian.

UTUSAN: UMCCed ditubuhkan sejak 1998. Boleh jelaskan matlamat penubuhan pusat ini khususnya pendidikan sepanjang hayat?
AMIRRUDIN: UMCCed memiliki peranan yang sama seperti fakulti lain di UM iaitu sebagai Pusat Tanggungjawab (PTj) akademik di bawah Canselori Universiti Malaya, iaitu menyediakan program-program akademik dan bukan akademik.

Antara kelebihan dari sudut program bukan akademik adalah kursus jangka pendek dan profesional bagi memenuhi keperluan tempatan dan antarabangsa selain sektor awam serta swasta. Selain itu, program yang ditawarkan menepati kehendak pekerjaan dan orang awam untuk melanjutkan pelajaran secara kursus pendek dari beberapa hari sehinggalah beberapa bulan selain menerima sijil kecekapan dan profesional yang diiktiraf.

Apakah perbezaan UMCCed dan fakulti lain di UM?
UMCCed dianggap adik-beradik dengan fakulti di UM, cumanya di sini mempunyai automoni tersendiri yang bermaksud kita boleh dan perlu menjana serta mempromosi pendapatan sendiri untuk berkongsi serta membangunkan program sedia ada dan baharu.

Berapa banyak program yang ditawarkan?
Terdapat 10 program di peringkat diploma eksekutif secara sambilan ataupun secara sepenuh masa untuk golongan yang bekerja dan empat program diploma setakat ini.

Sementara untuk program jangka pendek dan profesional, terdapat lebih 23 kursus antaranya bidang pengurusan, kewangan, pendidikan, kaunseling, teknologi maklumat (IT), pengajian Islam dan lain-lain yang sesuai dan mengikut keperluan negara.

Program paling popular?
Kursus diploma eksekutif kerana dari sudut pelaksanaan, ia dijalankan pada hujung minggu. Jadi, kursus itu berjaya menarik peluang mereka yang sebelum ini tidak pernah mendapat sebarang kelayakan di peringkat diploma dan sebagainya ataupun mereka yang sudah memiliki diploma atau peringkat lebih tinggi tetapi mahu menyambung di peringkat kemahiran baharu. Jadi, mereka boleh datang (ke kelas) pada hujung minggu.

Program ini mendapat sambutan amat menggalakan dari sudut perjalanan pembelajaran yang fleksibel di hujung minggu. Ini memudahkan golongan yang bekerja untuk mengikuti kelas pada hujung minggu. Inilah yang menjadi tarikan kepada mereka walaupun sibuk dengan pekerjaan dan keluarga, namun masih berminat untuk menempuh sebarang cabaran sepanjang tempoh pembelajaran.

Bagaimana pula dengan pemilihan pelajar?
Bagi calon diploma eksekutif, calon pelajar harus memiliki sekurang-kurangnya tiga kredit dan pengalaman bekerja selama setahun. Jika berminat, mereka boleh mendaftar secara dalam talian.

Apakah bahasa pengantar dalam program ini?
Di sini kami menggunakan bahasa Melayu, namun diselitkan juga bahasa Inggeris mengikut kesesuaian atau keselesaan pelajar dan pensyarah. Ini kerana terdapat beberapa kursus dihadiri oleh pelajar antarabangsa.

Berapa ramai graduan yang telah dilahirkan oleh UMCCed?
Sejak ditubuhkan, UMCCed berjaya melahirkan 23,000 graduan dengan antara 2,000 hingga 3,000 pelajar pada setiap pengambilan.

Perancangan untuk program ijazah sarjana muda dan sarjana?
UMCCed merancang enam program baharu, antaranya Sains Kesihatan, Pengurusan dan Teknologi Maklumat. Apabila merancang program baharu, kita perlu mengikut kehendak pasaran serta keperluan semasa dan masa depan selain memastikan ia mendapat permintaan yang tinggi.

Program baharu yang dirancang mestilah berbeza daripada program sedia ada di fakulti lain. Inilah keunikan kita dan kerana kelebihan ini, UMCCed mendapat permintaan yang tinggi. Selain itu, kita perlu pastikan kelangsungan bukan sahaja dalam menjana kemasukan pelajar yang tinggi tetapi mampu bertahan lama.

UMCCed akan sentiasa menambah baik program sedia ada. Setiap tiga hingga lima tahun akan ada semakan kokurikulum. Dari situ kita akan melihat untuk menambah elemen baharu yang lebih mampu bersaing dan diperlukan iaitu dengan membangunkan semula program lama dan pada masa sama turut menghasilkan program-program baharu.

UMCCed menjadi pilihan golongan yang berminat untuk menyambung pengajian. Jadi, apakah keunikan UMCCed sehingga menjadi buah mulut dalam kalangan masyarakat?
UMCCed telah menerima pengiktrafan daripada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Kerangka Kelayakan Malaysia (MQF) dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sekali gus memberi keyakinan kepada orang awam terhadap program yang ditawarkan. Ini kerana pengiktirafan tersebut diperoleh melalui kriteria-kriteria yang ketat dari peringkat universiti sehingga peringkat kementerian.

Selain itu, program yang ditawarkan juga mengikut keperluan semasa dan kehendak pasaran negara.

Bagaimana pula dengan kualiti pensyarah? Apakah kelayakan mereka untuk bergelar pensyarah di UMCCed?
Kualiti pensyarah sambilan dari sudut kelayakan amat ketat kerana kebanyakan mereka terdiri daripada ijazah doktor falsafah (PhD) dan sarjana selain merupakan pengamal akademik atau pengamal dalam industri berkaitan. Kualiti mereka akan meningkatkan lagi mutu sesuatu pengajaran supaya lebih berkesan dengan kandungan pembelajaran yang dikawal oleh standard ditetapkan.

Apakah kelebihan lain sekiranya calon pelajar mengambil program di UMCCed?
Dari sudut sijil yang diterima itu sendiri adalah sijil yang dikeluarkan dan diiktiraf oleh UM selain pelajar akan diraikan dalam istiadat konvokesyen.

Bukan itu sahaja, lokasi UMCCed yang strategik di tengah-tengah ibu kota memudahkan warga kota menghadiri kelas pada hujung minggu.

Selain di Kuala Lumpur, pusat pengajian UMCCed turut disediakan di Alor Setar, Kedah; Bayan Lepas, Pulau Pinang; Johor Bahru, Johor; Bachok, Kelantan dan Kuantan, Pahang selain akan dibuka di Sabah dan Sarawak tidak lama lagi.

Negara sedang berhadapan pandemik Covid-19. Adakah penularan virus itu memberi kesan kepada pengajaran dan pembelajaran?
Dari sudut pengajaran dan pembelajaran sebelum ini dilaksanakan secara bersemuka iaitu pelajar perlu menghadiri kelas. Namun, disebabkan pandemik Covid-19, sesi kuliah dijalankan secara dalam talian. Ini membolehkan tenaga pengajar berinteraksi dengan pelajar.

Kebergantungan teknologi tidak lagi boleh disangkal. Justeru, apabila kita merancang sesuatu program baharu perlu menggabungkan elemen bersemuka dan dalam talian supaya sesi pembelajaran berjalan dengan lancar.

Terdapat beberapa pandangan berhubung sesi pembelajaran secara maya yang dilihat ‘tidak sampai’ kepada pelajar khususnya melibatkan aktiviti praktikal. Bagaimana UMCCed mengatasi masalah ini?
Walaupun secara maya, pensyarah akan menunjukkan model dan langkah-langkah melibatkan praktikal secara langsung melalui demonstrasi. Di sini pelajar boleh melihat dengan jelas dan mengikuti setiap langkah dengan baik.

Mungkin terdapat beberapa kursus seperti Pengajian Islam yang memerlukan pembelajaran secara bersemuka kerana pelajar memerlukan lebih perhatian daripada pensyarah terutama untuk belajar menyebut perkataan Arab secara betul yang memerlukan mereka melihat pergerakan mulut dan mendengar dengan jelas.

Pelajar kami terdiri daripada mereka yang berusia 20-an hingga pesara kerajaan dan swasta. Ini adalah perkara yang kita kaji dan akan ditambah baik dari semasa ke semasa bagi memudahkan setiap peringkat umur mengikuti pengajian.

Setakat ini, projek akhir pelajar berjaya dilaksanakan dengan baik walaupun dalam keadaan norma baharu, malah pelajar lebih ke depan dari segi teknologi.

Siapakah tokoh-tokoh kelahiran UMCCed yang berjaya dalam bidang masing-masing?
Antaranya, Ahli Majlis Tertinggi UMNO yang juga Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah; atlet lempar cakera, Muhammad Irfan Shamsuddin dan beberapa lagi ahli perniagaan dan korporat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN