Adakah benar terdapat komuniti Islam di Rusia? Soalan itu sering terungkap di bibir masyarakat kita tatkala penulis menceritakan tentang umat Islam di bumi Rusia. Mereka seolah-olah tidak percaya dengan hakikat tersebut memandangkan kita telah diasuh oleh media bahawa Rusia itu anti-Islam dan berfahaman komunis. Malangnya tuduhan tersebut tidak berasas dan tanpa sebuah pengkajian yang kukuh dan adil.
Rusia merupakan negara terbesar di dunia mencakupi dua benua, Asia dan Eropah atau istilah lainnya, Eurasia. Masyarakatnya terdiri daripada pelbagai jenis latar belakang seperti bangsa Rusia selaku majoriti, Tatar, Bashkir, Chuvash, Chechnya dan Armenia. Pegangan kebanyakan warganya ialah Kristian Ortodox, sementara Islam sebagai agama kedua terbesar dipraktikkan.
Daripada 146 juta rakyat, sekurang-sekurangnya 20 juta atau 10 peratus beragama Islam. Apa yang lebih menarik, di Rusia sendiri terdapat lapan republik yang diperintah oleh orang Muslim seperti Tatarstan, Bashkortostan, Chechnya, Ingushetia, Dagestan, Kabardino-Balkaria, Karachay-Cherkessia dan Adygeya. Setiap republik ini mempunyai polisi dan undang-undang Islam mereka tersendiri.
Dari sudut mazhab, majoriti umat Islam Rusia berfahaman Sunni sementara 10 peratus berfahaman Syiah. Majlis Mufti Rusia ditubuhkan pada 2 Julai 1996 dengan objektif utamanya untuk menjaga hal ehwal umat Islam seperti peruntukan slot bagi jemaah haji.
SIMBOL
Masjid merupakan simbol kepada agama Islam. Di mana sahaja kawasan orang Muslim yang kita kunjungi, pasti akan terdapat paling tidak sebuah masjid. Di seluruh Rusia terdapat lebih 8,000 buah masjid! Kebanyakan masjid dibina dan dibaik pulih sewaktu pemerintahan Presiden Rusia terkini, Vladimir Putin.
Realitinya, Rusia sangat memelihara hak kebebasan beragama kepada rakyatnya. Sehingga ke hari ini, kita tidak pernah mendengar diskriminasi terhadap umat Islam di Rusia seperti berlaku di Amerika Syarikat dan negara-negara Eropah yang sememangnya sangat bencikan apa sahaja berkaitan dengan Islam.
Antara beberapa masjid tersohor ialah Masjid Katedral Moscow yang dibina pada 1904 oleh arkitek terkenal, Nikolay Zhukov. Pada 2005, komuniti Islam Rusia mengambil keputusan untuk mengubahsuainya bermula 2011 dengan bentuk rekaan diilhamkan oleh Ilias Tzieva dan Alexei Kolenteeva. Masjid yang menelan belanja USD170 juta dolar ini siap sepenuhnya pada 2015 dan boleh memuatkan sehingga 10,000 jemaah.
Selain itu, Masjid Kul Sharif dibina pada abad ke-16. Kul Sharif merupakan nama kepada seorang penyair dan guru agama berbangsa Tatar. Beliau dikenali sebagai pahlawan yang mempertahankan kota Kazan dari Tsar Empayar Rusia, Ivan IV Vasilyevich yang turut digelar sebagai Ivan Yang Ganas. Masjid ini dimusnahkan sewaktu penawanan Kazan pada 1552.
Bagaimanapun, ia kembali dibina semula pada 1996 dan siap sepenuhnya, 2005. Tahukah anda, terdapat sebuah replika Masjid Kul Sharif di Taman Tamadun Islam, Terengganu?
IDEA
Selain itu, di Malaysia juga terdapat sebuah Masjid Rusia! Ya, Masjid Rusia atau nama sebenarnya Masjid Lapan Kubah terletak di Kampung Lapan Kotak, Kerteh, Terengganu. Masjid ini mendapat jolokan Masjid Rusia kerana seni binanya yang menyerupai Katedral St. Basil di Moscow. Idea pembinaan masjid ini dicetuskan oleh Ahli Parlimen Besut, Datuk Seri Idris Jusoh dengan menelan belanja sebanyak RM4 juta menerusi sumbangan orang ramai. Masjid ini boleh menampung sekitar 500 jemaah. Ramai warga Rusia begitu terkejut dengan kewujudan masjid ini. Mungkin tidak lama lagi masjid ini bakal menjadi pusat tumpuan para pelancong dari Rusia.
Kewujudan Masjid Rusia ini sebenarnya sedikit sebanyak membuktikan hubungan Rusia dan Malaysia semakin akrab. Dari sudut lain pula, ia menunjukkan jalinan kebudayaan di antara Rusia dan Malaysia juga semakin berkembang baik.
Di Malaysia terdapat beberapa pensyarah dari Rusia yang beragama Islam seperti Profesor Dr. Elmira Akhmetova di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Profesor Dr. Tatiana Denisova yang pakar dalam sejarah Melayu di Universiti Teknologi Malaysia (UTM).
Di akhir penulisan ini, saya menyeru kepada para pembaca dan cendekiawan agar dapat memulakan pengkajian tentang Islam di Rusia.
THAQIB Shaker ialah penulis buku dan pengkaji hubungan Malaysia-Rusia.










