‘Orang lemas kita bagi pelampung’ - Utusan Malaysia

‘Orang lemas kita bagi pelampung’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MAJLIS Tindakan Ekonomi (MTE) yang dibentuk Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 16 Mac lalu bertujuan mengenal pasti isu-isu semasa dan memperakukan tindakan demi memastikan ekonomi kekal mampan serta mengurangkan impak ketidaktentuan ekonomi global.

Sektor ekonomi Malaysia turut menerima tempias akibat pandemik Covid-19 berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Impaknya amat besar termasuk kerugian RM2.4 bilion sehari disebabkam penutupan perniagaan.

Namun, kerajaan tidak mengambil masa lama untuk melakukan pemulihan ekonomi. Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) melibatkan peruntukan RM260 bilion dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) sebanyak RM35 bilion diperkenalkan. Terbaru, RM10 bilion untuk Pakej Kerangka Inisiatif Tambahan Khas, Kita Prihatin.

“Ia seperti kita membantu orang yang sedang lemas. Setelah kita baling pelampung (bantuan Prihatin), kita tarik orang itu ke tepi. Mungkin kita sudah bagi bantuan pernafasan (Penjana) tapi pastinya ada kecederaan. Bererti, penting langkah seterusnya bagi memastikan kecederaan ini dapat dipulihkan dan melaksanakan pembaharuan struktur ekonomi dalam norma baharu,” kata

Pengarah Eksekutif MTE, TAN SRI DR. NOOR AZLAN GHAZALI kepada wartawan Utusan Malaysia, MAISARAH SHEIKH RAHIM dan jurugambar FAISOL MUSTAFA di pejabatnya di Putrajaya, baru-baru ini.

TANDA PEMULIHAN EKONOMI
Apabila kita berdepan Covid-19, ia merupakan krisis luar jangka. Kerajaan terpaksa mengeluarkan beberapa pakej khusus bersifat merangsang ekonomi. Pakej Prihatin lebih menumpukan supaya isi rumah dan industri dapat meneruskan kelangsungan dan meringankan bebanan yang ditanggung. Mudah kata, orang nak lemas, kita bagi pelampung supaya dia boleh survive.

Pakej Penjana pula mula berganjak ke arah pemulihan. Sebagai contoh, banyak peruntukan diberikan untuk pekerjaan supaya rakyat boleh get back into economy.

Kedudukan ekonomi negara mula menyaksikan tanda-tanda pemulihan yang memberangsangkan selepas krisis penularan pandemik Covid-19 biarpun wabak itu masih belum tamat sepenuhnya.

DATA EKONOMI BERFREKUENSI TINGGI
Situasi tersebut dinilai berdasarkan data-data ekonomi berfrekuensi tinggi yang melihat kadar pemulihan industri di sektor-sektor yang terjejas selain keupayaan rakyat untuk kembali bekerja dan memperoleh pendapatan. Sekiranya prestasi berkenaan dapat diteruskan dan dipertingkatkan, pertumbuhan ekonomi negara mampu bergerak ke arah pemulihan sepenuhnya pada tahun depan.

Sebagai contoh, jumlah yang hilang pekerjaan semakin menurun setelah merekodkan kemuncak pada Jun lalu. Selain jumlah penempatan semula pekerjaan semakin meningkat dan setakat 10 September lalu, ia mencapai 25.5 peratus.

Ini petanda ekonomi semakin pulih. Jika tidak, majikan tidak mahu mengambil semula pekerja di samping adanya rangsangan insentif yang diberikan kerajaan menerusi Penjana yang mana peruntukan banyak diberikan untuk tujuan pemulihan.

Kesan-kesan pemulihan ekonomi juga boleh dilihat melalui Community Mobility Reports seperti jumlah pendaftaran kenderaan meningkat dan tertinggi tahun ini melepasi 35,000 unit yang dicatatkan pada Ogos lalu. Penjualan sektor peruncitan juga mula menunjukkan peningkatan sejak Mei lalu walaupun pergerakannya sedikit perlahan. Jumlah kenderaan di lebuh raya juga meningkat beransur-ansur dalam purata 400,000 buah sehari selepas pelaksanaan PKP.

Di samping itu, Laporan Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia dan Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia pada bulan lalu berhubung kajian situasi perniagaan, sebanyak 29 peratus menyatakan mereka telah pulih sepenuhnya, manakala 68 peratus lagi mengatakan boleh pulih dalam tempoh setahun bergantung kepada tahap ‘kecederaan’ masing-masing.

MTE akan meneliti data-data ini secara harian, berbeza dengan laporan agregat ekonomi di bawah Bank Negara Malaysia (BNM) yang mana perbelanjaan hari ini hanya akan dilaporkan dalam tempoh tiga bulan lagi.

Pemantauan data-data ini seperti pertambahan kenderaan di jalan raya menunjukkan rakyat mula berbelanja setidak-tidaknya untuk petrol, tol dan makanan. Begitu juga tahap perbelanjaan rakyat yang bersifat pilihan seperti penginapan di hotel dan pembelian kenderaan baharu turut memberi gambaran keyakinan pengguna terhadap situasi ekonomi dan keupayaan berbelanja semakin baik.

BAJET 2021
Peruntukan Bajet 2021 akan menggunakan pendekatan lebih bersasar melibatkan pemberian rangsangan atau insentif untuk golongan tertentu rakyat. Pendekatan itu berbeza berbanding sebelum ini yang lebih bersifat ‘kosong’ atau secara umum biarpun ada golongan tertentu tidak memerlukan bantuan tersebut.

Pendekatan insentif bersasar itu telah pun dilaksanakan kerajaan dalam melanjutkan moratorium bayaran balik pinjaman institusi kewangan hanya kepada golongan sasar.

Ini cara terbaik bagi kerajaan. Pendekatan tidak boleh lagi bersifat blanked kerana boleh menjejaskan kewangan kerajaan.

Penumpuan Bajet 2021 juga menggandakan peluang pekerjaan dan perniagaan untuk rakyat yang amat ditekankan oleh Perdana Menteri. Tumpuan itu amat penting kerana jika rakyat ada wang untuk berbelanja, maka ekonomi negara akan pulih.

Kerajaan juga akan memberikan insentif pelaburan bersifat ‘tingkap’, iaitu mengikut tempoh tertentu sebagaimana yang dilaksanakan dalam Penjana. Sebagai contoh, pelabur-pelabur luar negara layak mendapat insentif pengecualian cukai sekiranya pelaburan yang dibuat dalam tempoh tiga tahun atau mengikut bilangan tahun yang akan ditetapkan.

Begitu juga cukai keuntungan harta tanah (RPGT), ia mungkin akan dikurangkan atau dikecualikan untuk tempoh tertentu bagi menggalakkan orang yang berkeupayaan berbelanja. Kita nak ada keseimbangan itu. Kita tidak mahu orang berbelanja bukan-bukan tetapi secara berhemah.

COVID-DRIVEN
Krisis pandemik Covid-19 telah ‘menolak’ kepada pelaksanaan beberapa agenda baharu. Covid-driven, ia menyedarkan kita bahawa di samping isu-isu jangka pendek, kita juga mempunyai isu-isu struktural yang bersifat sederhana dan jangka panjang.

Ia mungkin mengambil tempoh masa panjang, tetapi kita kena tanganinya. Sebagai contoh, ia menyedarkan sejauh mana kita telah mengadaptasi aktiviti awam dan swasta dalam konteks digital.

Ketika pejabat-pejabat sektor awam ditutup kerana Covid-19, banyak urusan terhenti. Jadi, kita dapati usaha pendigitalan kerajaan masih lagi belum sepenuhnya diterokai. Ini isu ekonomi berstruktur bersifat jangka panjang yang kerajaan perlu ambil secara serius. Sejauh mana kesediaan industri untuk mengadaptasikan digital dan teknologi terkini, sekali gus menyedarkan kita bahawa infrastruktur internet di luar bandar masih lemah.

Selain itu, kehadiran pendatang asing tanpa izin (PATI) yang selama ini di luar kawalan. Namun, bila berlaku krisis Covid-19, barulah kita tahu kewujudan PATI yang selama ini ‘terselindung.’

Jadi, kerajaan ambil keputusan untuk menangani isu lambakan PATI secara menyeluruh, bukan sahaja dari segi ekonomi tetapi melibatkan isu kesihatan dan keselamatan. Contohnya, pekerja asing duduk di rumah 20 orang, kemungkinan jangkitan penyakit tinggi yang mana kita selama ini tidak ambil berat sangat.

Sumber tenaga kerja kita, sejauh mana bersedia dalam konteks digital berkeusahawanan? Sekarang pekerjaan biasa sudah kurang. Ini satu landskap persekitaran yang berbeza. Jadi, kita perlu menghasilkan graduan universiti yang mempunyai daya keusahawanan yang boleh mengadaptasi teknologi baharu.

Covid-driven ini juga kita mula memahami tahap kadar mudah jejas ekonomi negara. Contohnya, selama ini kalau kita bergantung kepada pelabur asing untuk merancakkan ekonomi negara, tetapi sekarang pelabur asing sudah makin kurang.

Pendapatan rakyat rata-rata berada di tahap menengah ke bawah. Bayangkan pula kalau tiba-tiba suami dia hilang kerja, bekerja pula dengan sektor pelancongan yang mudah terjejas, jadi berlaku kemiskinan baharu.

KEBIASAAN BAHARU EKONOMI
Ini adalah struktural. Sebab itu saya dan pasukan diminta untuk membuat penelitian landskap ekonomi baharu dalam kebiasaan baharu. Banyak orang ingat new normal hanya melibatkan prosedur operasi standard (SOP) kesihatan yang bukan bersifat kekal, sedangkan itu cara hidup sementara ketika dalam tempoh penularan Covid-19.

New normal yang sebenar ialah landskap ekonomi baharu yang akan berkekalan. Adakah Malaysia bersedia untuk berdepannya? Ini dimensi bersifat jangka panjang yang saya percaya dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) yang akan diumumkan pada Januari tahun depan, pasti ada aspek landskap ekonomi baharu.

Perkara seperti ini kita tidak boleh lepas tangan, pemulihan ekonomi tanpa perubahan struktur adalah satu kerugian. Krisis ini memerlukan kita bertindak dalam kelangsungan pemulihan dan pembaharuan struktur kerana cara pembentukan ekonomi kena berubah-ubah. Ini yang lebih susah dan mencabar kerana ia melibatkan semua bidang seperti sistem pendidikan, pasaran buruh, penggunaan teknologi, daya inovasi tinggi dan daya keusahawanan.

Katalah teknologi digital radar sensor atau rakaman litar tertutup (CCTV) semakin baik, kemungkinan suatu masa nanti keperluan pengawal keselamatan akan kurang. Kemajuan teknologi ini boleh menggantikan tugas mereka. Contoh lain ialah kenderaaan tanpa pemandu. Bayangkan suatu masa nanti tidak perlu lagi pemandu kenderaan. Apa jadi kepada pemandu lori, teksi? Hari ini, kita menyaksikan juruterbang pun hilang pekerjaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN