Bayangkan, melekit. Kaki terbenam hingga paras lutut sebaik sahaja memijak kawasan pesisir Pantai Cermin, Batu 10 di Port Dickson, Negeri Sembilan yang ditumpahi minyak, baru-baru ini.
Itu pengalaman berharga yang akan diingati sampai bila-bila apabila saya ditugaskan untuk membuat liputan harian mengenai insiden tumpahan minyak sepanjang lapan hari di situ.
Setiap hari terpaksa menghidu bau minyak yang sangat tengit di sepanjang tiga meter pantai melibatkan sempadan antara Melaka dan Negeri Sembilan. Kedua-dua negeri hanya dipisahkan oleh sebatang longkang.
Paling tidak dapat dilupakan apabila perlu berjalan kaki di kawasan paya bakau yang berbatu untuk mendapatkan sudut gambar yang menarik, selain mahu menemu bual sukarelawan yang terlibat dengan kerja-kerja pembersihan. Pada masa sama, perlu berhati-hati kerana kawasan tersebut diliputi minyak tebal yang menambahkan kesukaran untuk setiap langkah saya. Itu belum lagi cuaca panas terik.
Melalui pemerhatian saya, permukaan berbatu di kawasan paya bakau lebih sukar dibersihkan berbanding operasi pembersihan di pesisiran pantai.
Air pasang surut juga menjadi penentu berapa cepat operasi dapat dijalankan pada setiap hari. Pada hari keenam operasi, air pasang besar setinggi 3.4 meter membantu mempercepatkan proses pemulihan secara semula jadi.
Namun, saya memuji semangat sukarelawan pelbagai agensi kerajaan dan swasta yang berganding bahu. Sentiasa senyum dan ceria melaksanakan tugasan operasi pembersihan walaupun dalam keadaan mencabar sedemikian. Muka mereka tampak letih dan basah kuyup kerana memakai sut perlindungan diri (PPE) di bawah terik matahari. Namun setiap kali menghampiri untuk ditemubual, mereka melayan dengan penuh mesra disusuli gelak tawa. Tidak langsung bersungut.
MARIN
Kira-kira 250 anggota pembersihan daripada pelbagai agensi terlibat. Antaranya Jabatan Pengairan dan Saliran, Majlis Perbandaran Port Dickson, Ibu Pejabat Polis Daerah Port Dickson, Jabatan Kerja Raya, Jabatan Alam Sekitar, Angkatan Pertahanan Awam, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Tenaga Nasional Berhad serta Jabatan Sukarelawan Malaysia.
Sepanjang lapan hari tugasan di lokasi insiden tumpahan minyak, saya juga dapat melihat bagaimana sukarelawan terbabit menyelamatkan hidupan marin yang turut menjadi mangsa. Ada udang kara dan ketam yang berjaya diselamatkan petugas di sekitar paya bakau dan berbatu.
Malah, pada hari terakhir operasi pembersihan kelmarin, saya berpeluang melihat burung camar dan hidupan marin seperti ikan todak kecil sudah mula mendekati lokasi habitat asal mereka.
Mungkin juga disebabkan ‘rumah’ mereka sudah dibersihkan daripada sisa minyak.
Saya berharap dengan berakhirnya operasi pembersihan ini, kita dapat mengetahui siapa dalang penjenayah alam sekitar dan dijatuhkan hukuman yang setimpal bagi mengelakkan kejadian tumpahan minyak seperti ini berlaku lagi pada masa depan.










