Persidangan Halal Sedunia Ke-12 (WHC) anjuran Halal Development Corporation Malaysia (HDC) berlangsung pada 6 Oktober lalu dengan tema Komuniti Halal Pemacu Ekonomi Dunia Baharu. Persidangan itu menumpukan perbincangan kepada beberapa komponen antara lainnya memaju ekonomi halal melalui kewangan Islam. Persidangan itu turut dihoskan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia (MITI).
Sudah pasti terdapat banyak cadangan dan inisiatif bagaimana kewangan Islam boleh membantu memajukan industri halal terutama di peringkat antarabangsa. Antara faktor utama kejayaan kewangan Islam di Malaysia ialah kerangka perundangannya yang mantap dan komprehensif. Ia juga membina keyakinan pelabur-pelabur luar untuk menggunakan sistem kewangan Islam Malaysia.
Sebagaimana kewangan Islam, kerajaan ingin menjadikan Malaysia sebagai hab halal antarabangsa. Tidak dapat dinafikan sijil Halal Malaysia merupakan tanda perniagaan yang diyakini di peringkat antarabangsa. Kejayaan sijil Halal Malaysia banyak bergantung kepada kualiti dan standard tinggi serta proses dan prosedur pematuhan halal yang ketat dilaksanakan terutama oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim). Setakat ini, fungsi yang dimainkan oleh Jakim adalah bersifat pentadbiran yang disokong sedikit sebanyak oleh Akta Perihal Dagangan 2011, terutama perintah yang dibuat di bawah akta ini iaitu Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) dan Takrif Halal 2011. Perintah berkenaan mengiktiraf Jakim dan Majlis Agama Islam negeri-negeri sebagai pihak berkuasa berwibawa bagi perakuan dan penandaan halal di negara ini.
KUKUH
Dari aspek ini terdapat sedikit perbezaan antara industri halal dan kewangan Islam. Ketiadaan undang-undang khusus dan lengkap mengenai halal setakat ini tidak menimbulkan permasalahan besar memandangkan kerjasama kukuh antara pihak-pihak terlibat serta sokongan kuat dan dasar yang jelas daripada Kerajaan Persekutuan. Namun begitu, dalam jangka masa panjang, tanggungjawab yang dipikul oleh Jakim perlu mendapat jaminan dan legitimasi perundangan. Perkara ini penting terutama dalam konteks untuk mencapai wawasan kerajaan menjadikan Malaysia sebagai hab halal antarabangsa.
Cadangan menggubal Akta Halal bukanlah perkara baharu memandangkan sudah terdapat usaha ke arah itu sejak 2012 lagi. Halangan utama penggubalan undang-undang ini adalah berkaitan kuasa negeri yang dikatakan termasuk dalam urusan halal. Perkara ini perlu kepada maklumat lengkap memandangkan urusan halal yang dimaksudkan dalam konteks Malaysia sebagai hab halal antarabangsa melibatkan pihak-pihak di luar negara dan import eksport serta sudah tentu orang dan syarikat bukan Islam.
Jika kita melihat kepada peruntukan Perlembagaan di Jadual Kesembilan, Senarai 1 Para 8 (b) dan (g) menyatakan, urusan import ke dalam Persekutuan dan eskport dari Persekutuan adalah di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan.
Begitu juga pada senarai tersebut menyatakan, hal-ehwal berkaitan luar negeri juga terletak di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan. Apa yang menarik ialah urusan ziarah keagamaan (pilgrimages) ke luar negara turut diletakkan di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan. Sebagaimana diketahui, Lembaga Urusan Tabung Haji ialah sebuah agensi ditubuhkan oleh Akta Parlimen bagi menguruskan urusan perjalanan jemaah haji ke Tanah Suci.
Seterusnya tidaklah terdapat secara tuntas menyatakan, urusan halal di bawah bidang kuasa negeri. Ini ditambah dengan urusan halal turut melibatkan pihak-pihak bukan beragama Islam yang mana Jadual Sembilan Senarai 2 tidak membolehkan mana-mana perkara di bawah senarai undang-undang Islam terpakai kepada orang bukan Islam.
Oleh yang demikian, kedudukan perakuan dan penandaan halal ini sekurang-kurangnya bagi tujuan pengantarabangsaan mempunyai persamaan dengan sistem kewangan Islam. Perkara berkaitan kewangan Islam dinyatakan sebagai perkara Persekutuan memandangkan perbankan dan perdagangan diletakkan di bawah Jadual Sembilan Senarai 1 Perlembagaan. Berikutan itu, Akta Bank Islam 1983 dan Akta Takaful 1984 digubal oleh Parlimen bagi menjamin legitimasi dan pelaksanaan perbankan Islam. Kini, kedua-dua akta berkenaan dimansuhkan dan diganti dengan Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 yang lengkap dan komprehensif bagi menjamin kesahihan penubuhan, pelaksanaan dan tadbir urus institusi perbankan dan takaful di Malaysia.
INISIATIF
Pengenalan Akta Halal yang menjamin fungsi dan tanggungjawab Jakim akan memperkukuhkan lagi inisiatif dan kerjasama halal dan kewangan Islam sebagaimana yang dihasratkan oleh WHC 2020. Pengenalan akta ini akan menjadikan Malaysia tidak ketinggalan dengan negara-negara lain terutama Indonesia yang sudah mempunyai undang-undang khusus halal iaitu Undang-Undang Jaminan Produk Halal 2014.
Sebagaimana diketahui, terdapat pelbagai institusi di peringkat global yang mengeluarkan sijil halal. Keadaan sebegini secara tidak langsung menyebabkan persaingan memandangkan pertumbuhan tahunan produk halal yang tinggi iaitu sebanyak 20 peratus dengan nilai USD560 bilion.
Pandemik Covid-19 pada masa ini juga tidak menjejaskan sektor pengeluaran halal kecuali pelancongan dan penerbangan. Dalam suasana persaingan perniagaan global hari ini, langkah memperkukuhkan Jakim melalui jaminan perundangan sebagai pihak utama perakuan dan penandaan halal dalam konteks menjadikan Malaysia sebagai hab halal antarabangsa adalah sesuatu yang kritikal dan perlu diberi perhatian serius.
PROFESOR Datuk Dr. Ahmad Hidayat Buang ialah Penyelidik Projek Halal Dana IIRG Cycle 3/2020, Jabatan Syariah dan Undang-undang, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya.










