Fenomena sosiobudaya Cina Peranakan Kelantan yang berupa asimilasi seperti yang dikaji sarjana luar dan tempatan semenjak puluhan tahun dahulu, kini cuba dinafikan Cina totok yang tidak pun dilahirkan di Kelantan, apatah lagi bermastautin di sana.
Ia didakwa sebagai kepelbagaian, yakni keadaan wujudnya pelbagai kaum berbeza yang tarafnya sama rata antara satu sama lain. Sudah tentu ini berbeza dengan asimilasi yang berupa keadaan sesuatu kelompok yang setelah menerima cara hidup kelompok lain disifatkan sebagai berada di bawah pengaruh sosiobudaya kelompok lain itu. Justeru, tidak bertaraf sama rata lagi!
Komuniti Cina Peranakan Kelantan bermula dengan lelaki Cina yang berhijrah ke Kelantan dari China pada abad ke-18 mengahwini wanita Siam. Sosialisasi etnik Cina Siam ini dengan kaum Melayu menyebabkan cara hidup mereka menerima amalan Melayu. Inilah identiti etnik Cina Peranakan Kelantan semenjak sekitar 10 generasi lalu.
Dengan ini, mereka mencebok, makan nasi dengan tangan, mandi pada waktu pagi yang merupakan amalan Melayu dan bertutur dalam bahasa Hokkien yang banyak dipengaruhi nahu bahasa Melayu, selain menggunakan kata dialek Melayu Kelantan dan bahasa Siam Kelantan. Begitu juga cara masakan mereka yang banyak menggunakan ramuan dan cara Melayu dan Siam. Fenomena begini, iaitu menggunakan amalan kaum lain sebagai identiti etnik sendiri adalah asimilasi yang terdiri daripada pelbagai bentuk.
Asimilasi boleh bersifat sebahagian sahaja. Dengan ini, Cina Peranakan Kelantan tidak sesekali meninggalkan agama asal mereka, iaitu sistem kepercayaan tradisional Cina di samping menganuti agama Buddha. Mereka masih Cina dari segi etnisiti dengan menggunakan nama Cina walaupun kuat beridentiti Melayu dan Siam dari banyak segi lain.
Sehubungan ini, mereka digelar Orang Cina Bukan Cina oleh Cina totok Kelantan sendiri mahupun di luar Kelantan. Gelaran ini merupakan pengkategorian bahawa mereka merupakan Cina yang terpesong ‘akidah Cina’ setelah berasimilasi dengan Melayu dan Siam. Oleh sebab ini, mereka dihina Cina totok kerana tidak mempunyai pengetahuan bahasa Mandarin untuk membantu mengembangkan budaya Cina.
Mengapa kini Cina Peranakan Kelantan mahu dibela Cina totok melalui pertubuhan Cina, Hua Zong dan Jiao Dong, dengan mendakwa fenomena sosiobudaya mereka itu kepelbagaian dan bukannya asimilasi?
Sesungguhnya asimilasi adalah ramuan bestari untuk perpaduan nasional berbanding kepelbagaian. Ini kerana pada asimilasi Cina Peranakan Kelantan, terdapat kesediaan untuk mengindentifikasikan diri, yakni berasosiasi dengan kaum Melayu yang merupakan kaum majoriti dan dominan di tempat mereka bermastautin. Ini fitrahnya apabila berhijrah ke tempat orang, iaitu perlu bercampur mesra dengan orang tempatan.
Namun, inilah yang cuba dielakkan Cina totok agar unsur Melayu itu langsung tidak menjadi sebahagian identiti mereka meskipun bernaung di Tanah Melayu. Sebaliknya Cina totok ini apabila berhijrah ke Australia misalnya, didapati mahu pula segera berasimilasi dengan kelompok tempatan. Ini menunjukkan mereka tidak menghormati tuan punya Tanah Melayu seperti yang dilakukan komuniti peranakan Malaysia!
Inilah persoalan utama lagi serius. Sehubungan ini, Cina totok mahu menganjurkan kepelbagaian bagi memperoleh kesamarataan dalam proses pembentukan negara bangsa, khususnya dari segi sosiobudaya selain sosiopolitik. Dalam hal ini, asimilasi Cina Peranakan Kelantan yang sudah wujud sekian lama mahu dipadamkan dan menggantikannya dengan istilah kepelbagaian.
Fenomena peranakan, iaitu penerimaan budaya Melayu sebagai identiti etnik kaum bukan Melayu, ikut wujud di Melaka dalam kalangan Cina Baba Nyonya, India Chetti, selain Cina luar bandar di Terengganu. Dalam hal ini, pelbagai unsur budaya Melayu menjadikan identiti Cina Baba Nyonya Melaka. Antaranya menuturkan bahasa Melayu sebagai bahasa ibunda, mahir berpantun Melayu semasa berkesenian dondang sayang Melayu, selain berpakaian sarung, kebaya bersekali kerongsang.
Ini berbeza dengan amalan Cina totok yang didakwa kepelbagaian itu. Sehubungan ini, mereka tidak sesekali berbahasa Melayu sesama Cina kerana dianggap unchinese, tidak pun begitu semasa berbahasa Inggeris. Tidak mengenakan pakaian Melayu, misalnya sarung batik selaku identiti etnik Cina, melainkan sebagai fesyen sahaja apabila memakai baju kurung dan hanya menikmati hidangan Melayu bukan sehingga menjadi sebahagian daripada ritual agama tradisional Cina.
Itu hak mereka dan perlu dihormati walaupun tidak baik sebagai proses pembentukan negara bangsa dalam konteks perpaduan nasional. Sehubungan ini, fenomena peranakan yang memang asimilasi sifatnya hendaklah juga dihormati. Namun, ia cuba dikelirukan sebagai kepelbagaian untuk hasrat politik Cina totok yang memang mahukan kesamarataan di negara ini, iaitu semua kaum sama rata dan tiada kaum boleh melebihi yang lain. Dalam pada itu, asimilasi Cina Peranakan Kelantan perlu ditolak kerana implikasinya bertentangan dengan kepelbagaian.
Sehubungan soal asimilasi pada Cina Peranakan Kelantan, Cina totok yang ‘jaga tepi kain orang’ diminta bermunasabah diri dalam hidup bernegara di Tanah Melayu dengan kesedaran di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung.
PROFESOR Datuk Dr. Teo Kok Seong ialah Felo Universiti Kebangsaan Malaysia dan Majlis Profesor Negara.










