Kecoh Rusa pakai pelitup muka? - Utusan Malaysia

Kecoh Rusa pakai pelitup muka?

ADA yang kata, logo baharu pasukan bola sepak Negeri Sembilan macam ‘rusa pakai pelitup muka’! – MEDIA SOSIAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SELEPAS tertangguh akibat pandemik Covid-19, saingan bola sepak Liga Super dan Liga Perdana musim ini akhirnya tamat selepas berlangsung hanya dengan satu pusingan.

Selepas 11 perlawanan, pasukan Johor Darul Ta’azim (JDT) mengungguli Liga Super buat musim ketujuh berturut-turut meninggalkan pasukan Kedah di tangga kedua. Liga Perdana pula dijuarai pasukan Pulau Pinang diikuti Kuala Lumpur, sekali gus dua pasukan ini berjaya menempah tiket beraksi di Liga Super 2021. Liga Malaysia dijadual bersambung pada 26 Oktober ini menerusi saingan Piala Malaysia.

Apa khabar pula nasib pasukan Negeri Sembilan? Ya, pasukan yang pernah digeruni 10 tahun lalu kini menduduki tangga kedua tercorot Liga Perdana musim 2020. Nasib baik, Liga M3 dibatalkan musim ini, jika tidak, Negeri Sembilan sudah pasti beraksi di saingan taraf ketiga dalam negara.

Sayang seribu kali sayang, walaupun menjadi antara yang terawal berjaya menyelesaikan proses penswastaan pasukan, namun kecemerlangan itu gagal diterjemahkan pula di atas padang.

Pemain saban tahun bertukar, jurulatih pun begitu juga namun prestasi tetap tidak berubah mana malah makin teruk pula. Ada yang kata, itulah hasil daripada pelaburan yang tidak seberapa.

Mungkin itu ada benarnya, apa yang dilabur itulah keputusan yang diperoleh. Pemain tempatan, pemain import, jurulatih semua dengan standard asal ada sahaja, mana mungkin dapat bersaing dengan pasukan lain yang berbelanja besar.

Jadi, adakah itu salah pemain, jurulatih? Sedikit sebanyak tentulah ada. namun yang perlu mengambil tanggungjawab ialah pengurusan. Mereka ini yang membuat keputusan, pemain pula hanya menjalankan tugas di atas padang, sepenuh tenaga dengan tahap dan kualiti yang mereka ada.

 

UNDUR

Kalau pengurusan puncanya, muhasabahlah diri. Jika terasa sudah terlalu lama berada dalam persatuan dan kelab, ambillah tanggungjawab berundur dan beri peluang kepada idea dan tenaga muda yang mempunyai semangat untuk mengembalikan Negeri Sembilan ke saingan tertinggi bola sepak negara.

Prestasi pasukan satu bab, belum lagi disentuh logo baharu pasukan yang setelah diswastakan akan disebut sebagai Negeri Sembilan FC. Apalah nasib yang menimpa peminat dan penyokong pada tahun ini, sudahlah pasukan kesayangan tercorot, logo pasukan pula buat geleng kepala.

Ada yang kata, macam ‘rusa pakai pelitup muka’! Sudah pupuskah pereka grafik di negeri ini sehingga pihak bertanggungjawab tidak dapat menghasilkan logo yang boleh dibanggakan peminat dan penyokong?

Apalah salahnya buka dan buat satu pertandingan kepada peminat untuk buat rekaan, kemudian pilihlah yang terbaik. Berikanlah hadiah sedikit buat saguhati, peminat boleh terima. Percayalah, bukan nilai hadiah itu yang mereka mahukan tetapi rasa bangga rekaan mereka dipilih, dipakai dan tersemat di jersi pasukan kesayangan.

Pemain, jurulatih datang dan pergi tetapi penyokong dan peminat tetap kekal selamanya. Buat kali ini, dengarlah pandangan mereka. Hobin Jang, Bongka Dogheh!

PENULIS ialah Koresponden Utusan Malaysia Negeri Sembilan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN