Jangan takut pertahan Jawi - Utusan Malaysia

Jangan takut pertahan Jawi

Pameran Jawi Jiwa Bangsa berlangsung setiap hari kecuali Ahad. Masuk adalah percuma. – UTUSAN/FAUZI BAHARUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“KITA (orang Melayu) tidak boleh takut kerana Jawi adalah asas kepada orang Melayu dan tidak perlu takut jika ada pihak-pihak tertentu yang membantah atau menegur tentang tulisan Jawi!”

Itu ketegasan Pengerusi Yayasan Budi, Senator Tan Sri Dr. Rais Yatim ketika berucap dalam majlis penyampaian hadiah pertandingan fotografi di Kuantan, Pahang, baru-baru ini.

Bagi menyemarakkan kembali budaya Jawi dalam masyarakat, Yayasan Budi dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) kini menganjurkan pameran seni khat Jawi untuk orang ramai di Galeri Budi, Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur sehingga 3 November ini.

Di galeri berkenaan, dipamerkan pelbagai seni khat Jawi dalam bentuk lukisan yang sangat indah dan artifak-artifak yang diterbangkan khas dari Acheh, Indonesia. Bukan hanya itu, galeri ini turut mempamerkan beberapa koleksi peribadi milik Rais sendiri seperti keris dan lembing.

Orang ramai juga berpeluang membeli lukisan yang dipamerkan jika berminat.

Pameran bertemakan Jawi Jiwa Bangsa itu bertujuan membangkitkan semula tulisan Jawi dan mempertahankannya sebagai identiti orang Melayu sejak zaman berzaman.

Menurut Rais, tulisan Jawi hanya dilihat sebagai satu bentuk budaya dan warisan orang Melayu semata-mata tetapi tidak sebagai artifak warisan kebangsaan. Oleh itu, pameran sedemikian mampu membangkitkan semula tulisan Jawi seterusnya memupuk semangat untuk mejiwainya dalam kehidupan seharian masyarakat.

“Jawi menjadi asas kepada orang Melayu. Kita perlu mempertahankan dan memperkasakan dalam pelbagai usaha dan keadaan,” kata Rais lagi dalam majlis tersebut.

PIAGAM

Pengajuran pameran itu juga adalah lanjutan kepada Piagam Warisan dan Budaya Tanah Air yang dilancarkan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 20 September 2019. Ia sebagai kesedaran dan kelestarian rakyat menerusi pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mewakili kepentingan rakyat dalam bidang warisan dan budaya untuk memajukan, mempromosi, menjana dan membina kesedaran, kefahaman serta melaksanakan program dan projek termampu berkaitan warisan dan budaya tanah air.

Piagam tersebut juga akan membantu kerajaan dan rakyat dalam pelbagai kegiatan jaringan sukarela yang cintakan negara demi menyemarakakan khazanah warisan dan budaya tanah air seterusnya mengutuhkan masyarakat ke arah budaya tinggi dan binaan budi sebagai asas tamadun.

Jika dilihat sejarah negara, sebahagian besar perjanjian dibuat antara kerajaan kesultanan di Tanah Melayu dan pihak British adalah menggunakan tulisan Jawi. Malah, dokumen pengisytiharan kemerdekaan turut ditulis Jawi. Ini bermakna tulisan Jawi mempunyai asas lebih kukuh dari sudut sejarah berbanding tulisan Rumi.

Kedudukan tulisan Jawi juga sangat tinggi dan berkait rapat dengan identiti dan jati diri negara. Sebab itu, jika melihat konteks lebih luas, negara mempunyai jati diri yang terangkum melalui beberapa peruntukan Perlembagaan.

Bukan hanya itu, perjuangan awal politik tempatan di Tanah Melayu dan pergerakan akhbar juga menggunakan Jawi. Dalam perkembangan ini, akhbar Melayu Peranakan (1907) dan Utusan Melayu yang diterbitkan pada 1939 turut menggunakan tulisan Jawi sebagai penulisan.

Dengan menghidupkan kembali kehebatan dan kelangsungan tulisan Jawi dalam media massa dan pendidikan negara, apa yang diharapkan ialah pisang tidak akan berbuah dua kali.

Kelahirannya mestilah dibela, disanjung, dijunjung dan ditatang dengan penuh tanggungjawab.

Apa yang amat penting sekali mengenai tulisan Jawi, penerimaannya oleh masyarakat suatu ketika dahulu, kita dapat lihat orang Cina dan India turut bangga membaca akhbar bertulisan Jawi.

Tulisan Jawi bukan sekadar simbol tetapi juga menggambarkan identiti dan jati diri negara. Ia seiring dengan pengumuman yang dibuat dahulu oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang menjadikan hari Jumaat sebagai Hari Jawi.

Berikutan itu, Yayasan Budi akan giat mengadakan pameran Jawi bagi mengetengahkan kembali tulisan tersebut sebagai warisan bangsa dan negara. Jika tidak dipelihara dan diajarkan kepada generasi muda, ia mungkin pupus suatu hari nanti.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN