Rabu lalu Malaysia diumumkan sebagai negara Islam paling damai di dunia, mengatasi beberapa negara lain termasuk Indonesia dan Arab Saudi. Indonesia pula berada pada kedudukan 49 mengatasi Arab Saudi di tangga 128.
Republika di Jakarta melaporkan, Indeks Kedamaian Global 2020 yang dikeluarkan oleh Institut Ekonomi dan Kedamaian (IEP) menunjukkan Malaysia berada di kedudukan 20 dalam senarai tetapi menjadi negara Islam paling damai.
Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Allah atas pencapaian tersebut. Tahap kedamaian global tahun ini dinilai berdasarkan 23 petunjuk yang dihimpun dalam tiga kategori iaitu keselamatan dan keamanan penduduk, tahap konflik domestik dan antarabangsa serta status ketenteraan.
Bagaimanapun, negara paling damai di dunia didominasi oleh negara bukan Islam iaitu Iceland, berdasarkan jumlah populasi yang kecil iaitu sekitar 365,000 orang. Negara tersebut merekodkan kadar jenayah yang rendah, selain mempunyai sistem pendidikan, pekerjaan, produktiviti dan kesejahteraan yang baik.
New Zealand pula berada di kedudukan kedua dalam senarai dan berjaya mengekalkan kedudukan itu sejak 2017. Dengan populasi kurang 4.9 juta, New Zealand mempunyai kadar penjagaan kesihatan terbaik dunia dan menjadi pilihan kebanyakan pendatang untuk bermastautin.
Sepatutnya negara Islam dan pemerintahnya yang beragama Islam menunjukkan contoh dan tauladan sebagaimana yang diajar oleh Nabi Muhammad SAW. Baginda telah membuktikan kehebatan kepimpinan kerajaan Islam Madinah.
Sebagai imbasan, tahap awal pembentukan kerajaan itu adalah proses untuk mengukuhkan kedudukan sosiopolitik orang Islam di Madinah. Ini termasuk kedudukan Nabi SAW sebagai Ketua Negara. Piagam yang digubal pada 633 Masihi tersebut juga dikenali sebagai Sahifah al-Madinah atau Wathiqat al-Madinah.
Untuk mencapai kestabilan dalam kehidupan masyarakat pelbagai budaya dan bangsa serta agama, kontrak sosial diperlukan sebagai perjanjian yang disepakati oleh setiap kumpulan masyarakat. Ia juga bukan sekadar perjanjian lisan tetapi adalah sebuah perjanjian yang termaktub di dalam dokumen.
Menurut Muhammad Hamidullah dalam bukunya The Prophet’s Establishing a State and His Succession. New Delhi: (Adam Publisher & Distributors 2007: 42-43), Piagam Madinah adalah perlembagaan bertulis pertama di dunia yang digubal oleh sebuah negara berdaulat di bawah kepimpinan Rasulullah SAW.
Ia juga menolak dakwaan yang menyatakan Islam hanyalah agama ibadat yang menumpukan hubungan antara makhluk dengan Tuhan semata-mata. (al-Buti: 1999)
Demikianlah, banyak contoh di dunia yang menunjukkan bahawa Islam itu adil dan tidak menindas mereka yang bukan Islam. Di negara kita misalnya, walaupun kedudukan agama Islam adalah sebagai agama bagi negara sebagaimana dalam Perlembagaan, penganut agama lain bebas mengamalkan ajaran mereka.
Perkara 3(1): Agama bagi Persekutuan. Islam adalah agama rasmi bagi Persekutuan tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan.
Melihat kepada senarai di atas, masih banyak yang perlu dilakukan oleh negara-negara Islam untuk memperbaiki ranking masing-masing. Sepatutnya negara-negara Islamlah yang mendahului senarai negara teratas paling damai di dunia. Sebabnya Islam sudah menggariskan panduan bagaimana mencapai negara yang sejahtera selain contoh yang ditinggalkan oleh baginda SAW.
Allah SWT menjelaskan hal ini menerusi firman-Nya yang bermaksud: Demi sesungguhnya, adalah bagi penduduk negeri Saba’, satu tanda (yang membuktikan kemurahan Allah) yang terdapat di tempat tinggal mereka, iaitu: dua kumpulan kebun (yang luas lagi subur), yang terletak di sebelah kanan dan di sebelah kiri (kampung mereka). (Lalu dikatakan kepada mereka): “Makanlah dari rezeki pemberian Tuhan kamu dan bersyukurlah kepadaNya; (negeri kamu ini adalah) negeri yang baik (aman dan makmur), dan (Tuhan kamu adalah) Tuhan yang Maha Pengampun! (Saba’: 15)
Antara yang perlu dipamerkan oleh umat Islam adalah kehebatan akhlak persis Nabi SAW. Seorang insan yang amat sabar dalam berhadapan dengan kerenah masyarakat jahiliah tetapi amat tegas apabila berhadapan dengan orang yang memperlekehkan Islam.
Lihatlah berapa ramai yang memeluk Islam melihatkan ketinggian akhlak baginda SAW yang terangkum sifat siddiq, amanah, fathanah dan tabligh.
Antara yang masyhur adalah hikmah kisah syarat ‘jangan berbohong’ seorang pemuda ahli maksiat yang diterima oleh Rasulullah SAW memeluk Islam.
Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Luqman Hakim menceritakan pada suatu hari ada seorang lelaki berjumpa Nabi SAW kerana hendak memeluk agama Islam. Sesudah mengucapkan dua kalimah syahadat, lelaki itu lalu berkata: “Ya Rasulullah. Sebenarnya hamba ini selalu sahaja berbuat dosa dan payah hendak meninggalkannya.” Maka Rasulullah SAW menjawab: “Mahukah engkau berjanji bahawa engkau sanggup meninggalkan cakap bohong?” “Ya, saya berjanji,” jawab lelaki. Selepas itu, dia pun pulanglah ke rumahnya.
Menurut riwayat, sebelum memeluk Islam, dia sangat terkenal sebagai seorang yang jahat. Kegemarannya adalah mencuri, berjudi dan minum arak. Maka setelah memeluk agama Islam, dia sedaya upaya cuba meninggalkan segala keburukan itu. Sebab itulah dia meminta nasihat Nabi SAW.
Dalam perjalanan pulang selepas menemui baginda SAW, lelaki itu berkata di dalam hatinya: “Berat juga aku hendak meninggalkan apa yang dikehendaki oleh Rasulullah SAW itu.”
Maka setiap kali hatinya terdorong berbuat jahat, hati kecilnya terus mengejek. “Berani engkau berbuat jahat. Apakah jawapan kamu nanti apabila ditanya oleh Rasulullah SAW. Sanggupkah engkau berbohong kepadanya,” bisik hati kecil.
Setiap kali hendak berbuat jahat, maka dia teringat segala pesan Nabi SAW dan setiap kali hatinya berkata: “Kalau aku berbohong kepada Rasulullah SAW bererti aku telah mengkhianati janjiku padanya. Sebaliknya jika aku bercakap benar bererti aku akan menerima hukuman sebagai orang Islam.”
Marilah kita berusaha mempamerkan akhlak sebenar Islam. Mudah-mudahan Allah mengurniakan baldatun tayyibatun warabbun ghafur kepada negara kita Malaysia.
Antara ciri-cirinya adalah:
Negeri yang selaras antara kebaikan alam dan kebaikan perilaku penduduknya.
Negeri yang penduduknya subur dan makmur, namun tidak lupa untuk bersyukur.
Negeri yang seimbang antara kebaikan jasmani dan rohani penduduknya.
Negeri yang aman daripada musuh, baik dari dalam mahupun dari luar.
Negeri yang maju, baik dalam hal ilmu agama mahupun ilmu dunianya.
Negeri dengan penguasa yang adil dan soleh, dan penduduk yang hormat dan patuh.
Negeri yang di dalamnya terjalin hubungan yang harmoni antara pemimpin dan masyarakatnya, iaitu dengan wujudnya saling menasihati dalam kebenaran dan kesabaran.










