Ini cerita PKPB - Utusan Malaysia

Ini cerita PKPB

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEMALAM Selangor mencatat 869 kes Covid-19. Daerah Petaling, tempat tinggal saya pula ada 159 kes itu. Sejak dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor agak lengang. Yang perlu ke pejabat dapat memandu dengan tenang. Mungkin itu sisi yang baiknya.

Sehari sebelum PKPB, saya berkira-kira hendak ke pasar raya. Selasa itu, hari cuti saya. Tetapi bila sampai jalan hendak masuk ke pasar raya, saya berpatah balik. Jalan masuk sesak.

Siapa kata tiada pembelian panik ini? Sebelum ke situ, saya sudah terpengaruh dengan berita salah satu portal. Yang melaporkan, hari ini tiada pembelian panik. Dia buat tinjaun di mana? Dalam guakah? Pandai-pandai saja. Saya membebel sendirian sambil memandu keluar dari kawasan tersebut.

Kemudian saya singgah di sebuah cafe dalam sebuah pusat beli-belah lain yang tidak ada pasar raya. Memesan kopi sambil membaca berita-berita dalam telefon pintar. Memang panas berita seminggu dua ini. Lebih hangat daripada kopi yang saya hirup.

Dah kenapa politikus negara ini? Dalam rakyat bimbang dengan peningkatan kes Covid-19 yang kini masih kekal tiga digit, mereka pula macam cacing kepanasan, tak boleh duduk diam-diam. Berebut nak berkuasa. Masa ini jugalah nak merancang macam-macam.
Kot iya pun tunggulah Covid-19 reda. Lain kali jangan guna lagi lah slogan untuk kepentingan dan memperjuangkan rakyat. Auta sajakah?

Sambil-sambil itu saya melihat ramainya budak berlari dalam shopping kompleks itu. Musim cuti persekolahan ke? Bukankah kerajaan tutup sekolah sebab ibu bapa bimbangkan Covid-19, tapi lepas itu mereka bawa pula anak berjalan-jalan.

Macam sebelum moratorium tamatlah. Mengadu pendapatan terjejas. Tetapi bila ada kemudahan moratorium, boleh pula pergi makan angin setiap bulan. Bukan wang itu digunakan untuk waktu susah. Itu kah wajah sebenar rakyat negara ini?

Bukan. Bukan semua bersikap sebegitu. Tetapi ramai bersikap sedemikian. Pantang ada duit dan anak-anak diberi cuti. Panjang saja langkah hendak pergi ke sana ke sini termasuk balik ke kampung dari zon merah ke zon hijau.

Saya bukan anti budak-budak. Tetapi membawa budak-budak berbelanja membeli barang dapur di kala musim Covid-19 ini memang amat meresahkan. Kadang-kadang terfikir, tidak bolehkah ketua rumah saja pergi membeli walaupun bukan lagi dalam tempoh PKP dan yang lain-lain itu duduk sajalah di rumah sebagai ketua keluarga sepatutnya ada sifat melindungi.

Ya tak akanlah kita mahu kurung anak dalam rumah saja. Kalau tiga tahun ada Covid-19, tiga tahun lah mereka kena berkurung? Tidak. Yang saya maksudkan, kena ikutkan norma baharu. Pakai pelitup muka. Jaga penjarakan fizikal. Jangan tengok kedai itu sudah sendat, lagi mahu tambah sendat.

Apa salahnya, isteri dalam tempoh ini, tak perlu pergi berbelanja. Kalau hendak pergi pun bergilir-gilirlah. Jangan fikir pasal masa berseronok dengan keluarga di luar. Ini adalah soal keselamatan dan nyawa. Kadang-kadang itu, nampak bukan penuh pun troli barang, tak beli apa sangat tetapi satu batalion dibawanya dari rumah dari peringkat bayi hingga ke orang warga emas.

Apalah bayi itu tahu tentang seronok mengikut ibu bapa berbelanja. Kalau tiada orang hendak menjaga bayi itu di rumah, tinggalkan sajalah isteri di rumah. Kadang-kadang orang perempuan pun satu juga. Hendak juga keluar, asalkan dapat keluar.

Semalam pula, ketika saya membeli barang di kedai serbaneka, seorang pekerja di situ bercerita kepada saya, kalau PKPB ini berterusan, pendapatannya akan berkurangan. Sebab mereka sudah diberi cuti rehat, dua kali seminggu. Bukan lagi sekali seminggu. Hasil jualan barang kurang. Sekarang hanya boleh beroperasi sehingga 10 malam saja.

“Pening Kak, gaji kena potong. Macam mana nak bayar sewa bilik. Hari itu dah elok-elok, sekarang kena PKPB pula, jangan PKP sudah,” katanya.

Ramai yang menjerit dalam media sosial, kasi PKPlah apa susah! Seronok sangat dengan PKP, boleh duduk kerja dari rumah, buka komputer riba dan makan sedap-sedap. Tahukah ramai pendapatannya terjejas kerana PKP.

Itulah belum lagi menang, tapi gaya sudah menang. Teringat pada peribahasa yang saya baca dalam media sosial, meletup di sana, di sini bunyinya. Yang bermaksud orang lain yang bersalah, orang lain pula menanggung akibatnya. Ini ada kaitan lah. – MINGGUAN MALAYSIA

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.