Iktibar dari masa yang berubah - Utusan Malaysia

Iktibar dari masa yang berubah

BARISAN Kabinet Persekutuan Tanah Melayu pada 1957. Tunku Abdul Rahman Putra Al- Haj (duduk, tengah) dilantik sebagai Perdana Menteri dengan dibantu timbalannya, Abdul Razak Hussein (duduk, dua dari kiri).
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

POLITIK hari ini tidak sama seperti selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14). Tiada lagi gabungan (coalition) politik yang kuat, waima Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN), Muafakat Nasional (MN), Pakatan Harapan (PH) mahupun Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Tidak ada lagi parti-parti yang dominan mendapat tempat di hati rakyat kala ini seperti mana 10 tahun sudah.

UMNO suatu ketika selesa Pas bersamanya. Ini dibuktikan dengan kemenangan 7-0 berturut-turut dalam siri pilihan raya kecil (PRK) termasuk Slim (kecuali Sandakan dimenangi DAP) menerusi kerjasama MN (UMNO-Pas).

Tetapi secara tiba-tiba Pas beralih arah ‘meninggalkan’ UMNO dan masuk PN tanpa menanyakan UMNO. Pas ‘makan keliling’kah? Wallahualam, hanya Pas sahaja tahu niatnya.

MIC rakan UMNO dalam komponen BN pun sama. Tetapi sudah kembali dalam keadaan masa depan untuk menarik kembali undi masyarakat India ‘cukup meragukan’.

UMNO sudah merasai penangan Pilihan Raya Negeri Sabah 26 September lalu. Dalam merasakan diri cukup kuat mahu menuntut lebih 40 kerusi bertanding, cuma diberi 31 kerusi tetapi terbukti sekadar meraih 14 kerusi. Maka tidak hairanlah Bersatu walaupun meraih 11 kerusi, tetapi disebabkan gabungan PN meraih kerusi terbanyak dari BN (yang menang semua calon UMNO) naiklah Datuk Seri Hajiji Noor ketua menteri.

Apakah UMNO yakin boleh menang jika masuk gelangggang PRU-15 bersendirian atas faktor “aku kuat, aku kuat” tanpa ‘Big Data’ dalam persaingan bukan satu lawan satu, tetapi tiga penjuru atau lebih.

Tempoh 22 bulan PH memerintah merupakan masa terbaik untuk mana-mana parti ambil iktibarnya.

Pengundi muda

Ada pemimpin dan menteri kerajaan, sama ada dalam PH atau kerajaan BN sebelum 9 Mei 2018 ‘terlalu sibuk’ dengan urusan pentadbiran negara. Hal ini sehingga tidak berkesempatan menilai kehendak sebenar rakyat yang sebelum ini menjadi penyokong tegar partinya termasuk pengundi bandar dan pinggir bandar.

Kejatuhan kerajaan terdahulu kerana lupa kehendak rakyat yang semakin rencam dan sentiasa berubah mengikut keadaan tertentu. Ini apabila memperkatakan golongan pengundi muda berumur bawah 40 tahun yang kerap dahagakan satu pentadbiran berintegriti dan dasar baharu elegan yang menjurus terus kepentingan rakyat.

Golongan ini mewakili 40 peratus daripada keseluruhan jumlah pengundi berdaftar di negara ini yang perlu diberi perhatian kerana mereka terdedah dengan maklumat melalui media sosial seperti Facebook, Twitter, YouTube, Instagram dan WhatsApp, sekali gus mampu mengubah landskap politik tanah air.

Kira-kira 80 peratus golongan pengundi muda ini terdedah dengan maklumat benar, separuh benar dan palsu yang boleh mengubah corak pengundian sesuatu pilihan raya.

Ikut sejarah, UMNO memulakan perjuangan fasa pertamanya dengan menuntut kemerdekaan negara dengan kerjasama pemimpin parti MCA dan MIC.

Melalui parti Perikatan yang disertai UMNO, MCA dan MIC, perjuangan pemimpin terbabit berjaya membebaskan negara ini daripada penjajahan Inggeris pada 31 Ogos 1957.

PEMBANGUNAN

Presiden UMNO yang juga Perdana Menteri pertama Malaysia, Tunku Abdul Rahman Putra Al- Haj bersama timbalannya, Tun Abdul Razak Hussein mula menyusun pentadbiran sebaik mencapai kemerdekaan negara dengan menyediakan lebih banyak infrastruktur dan prasarana bagi kemudahan awam dan keselesaan rakyat.

Selepas peristiwa 13 Mei 1969, Tun Abdul Razak mengambil alih pucuk pimpinan negara giat membangunkan tanah pertanian dengan mewujudkan Felda bagi menempatkan golongan keluarga miskin yang mengusahakan tanaman getah dan kelapa sawit secara ladang berskala besar.

Beliau memperkenalkan pertanian secara moden dan menubuhkan lebih banyak sekolah, institusi pengajian tinggi dan pusat penyelidikan pertanian serta ekonomi.

Usahanya membangunkan negara diteruskan Tun Hussein Onn, Tun Dr. Mahathir Mohamad, Tun Abdullah Ahmad Badawi, Datuk Seri Najib Tun Razak, Dr. Mahathir sekali lagi, diikuti Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi memesatkan pembangunan negara.

Pada mulanya parti dukungan Melayu seperti UMNO hanya bersaing dengan parti Parti Islam Se Malaysia (Pas) dalam setiap kali pilihan raya berlangsung.

Bagaimanapun, undi orang Melayu semakin berpecah apabila Tengku Razaleigh Hamzah menubuhkan parti Semangat 46 (S46) tetapi tidak berjaya menggugat kedudukan BN pimpinan Dr. Mahathir ketika itu.

Pemimpin berkenaan kemudian membubarkan parti S46 serta mereka kembali ke pangkuan UMNO.

Berpecah

Pemecatan Dr. Mahathir terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden UMNO pada 1998 menyebabkan perpaduan Melayu kembali goyah dan berpecah.

Menyorot kembali saat manis BN menguasai pentadbiran kerajaan sejak tahun 1957 hingga 2018, dapat disimpulkan bahawa kemenangan parti berkenaan dalam setiap pilihan raya selama 13 penggal berturut-turut adalah kerana faktor sokongan kuat semua kaum terutamanya pengundi Melayu, selain Cina dan India.

Adakah kejayaan berkenaan hanya merupakan kenangan manis yang akan tersimpan dalam lipatan sejarah tanah air yang bakal ditatap generasi akan datang di seluruh dunia terutamanya di Kepulauan Nusantara dan Malaysia sendiri?

Mana-mana parti pun harus bekerja kuat terutama memiliki strategi yang licik untuk menghadapi PRU-15 atau PRU mengejut (snap election).

Jangan ikut cerita Pak Kaduk yang bersorak kerana menang bersabung ayam sedangkan kampung sendiri tergadai berikutan kedangkalan dirinya sendiri.

Liciknya ‘little Napoleon’

Istilah Little Napoleon atau Napoleon Kecil tidak boleh diperkecilkan keberadaannya dalam senario politik semasa.

Suatu ketika ia merujuk kepada penjawat awam yang berada di sesuatu kedudukan (bukannya peringkat tertinggi) tetapi berlagak seolah dia begitu berkuasa seakan-akan ‘pegawai’ yang berada di peringkat tertinggi.

Kadangkala lagak itu didukung oleh persekitaran dan mereka yang berurusan dengannya, lantaran kuatnya hubungan si “Little Napoleon” tadi dengan mereka yang berkuasa di peringkat tertinggi.

Ia diberi gelaran Little Napoleon kerana sifat mereka ini seperti Napoleon Bonaparte. Istilah ini pernah dipopularkan oleh Perdana Menteri kelima, Tun Abdullah apabila beliau memberi amaran tidak mahu melihat wujudnya Little Napoleon dalam kalangan penjawat awam.

Abdullah menyifatkan Little Napoleon sebagai golongan yang kecil tetapi memberikan kesan dan mencemarkan nama baik perkhidmatan awam ibarat kata pepatah ‘sebab nila setitik rosak susu sebelangga’.

‘Napoleon Kecil’ ini wujud di mana-mana, hatta suatu ketika dalam kerajaan terdahulu pun.

Kerjanya membodek pemimpin, cium tangan pemimpin di tengah jalan. Mereka cuba mempengaruhi pemimpin dan apabila masuk mesyuarat-mesyuarat besar, melaga-lagakan orang.

Merit, dedikasi jamin ‘ketuanan’

Orang Melayu tidak boleh lagi terlalu bergantung kepada konsep ketuanan.

Konsep ini lebih kepada perasaan atau ego politik yang tidak disokong oleh kekuatan dalam perjuangan atau peruntukan Perlembagaan negara.

Laungan ketuanan Melayu seharusnya dilihat daripada sudut kebolehan dan kemampuan, merit dan dedikasi terhadap tugas serta tanggungjawab mahupun disiplin politik.

Setakat mempunyai hak-hak keistimewaan seperti terkandung dalam peruntukan 153 Perlembagaan atau kedaulatan Raja-Raja Melayu, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, perkhidmatan awam yang majoriti Melayu, agama Islam sebagai agama rasmi – ini semua belum mampu menjamin kekuatan semula jadi. Jauh sekali mendaftarkan kekuatan Melayu itu sendiri.

Nasib orang Melayu ada di tangan orang Melayu. Kita tidak jadi ‘tuan’ dengan mengungkit sejarah semata-mata. Kita boleh jadi ‘tuan’ jika berani bertindak, sanggup menghadapi risiko, berusaha untuk menguasai semua ilmu dan kecekapan sehingga tidak perlu bergantung kepada sesiapa.

Pernah ada PM dari kaum Cina?

Apabila UMNO diharamkan oleh hakim Datuk Harun Hashim pada 1988, beberapa implikasi yang besar telah berlaku di negara ini. UMNO 11 (yang membawa kes UMNO ke mahkamah) tidak berhasrat mengharamkan parti itu.

Dr. Mahathir ketika itu sendiri tidak menyangka parti itu akan diharamkan selepas beliau menewaskan Razaleigh dalam perebutan jawatan Presiden UMNO pada 1987. Beliau menang dengan majoriti tipis 43 undi.

Meskipun tidak senang semua masalah dalaman parti dibawa ke mahkamah namun mahkamah telah membuat keputusan.

Akibatnya UMNO tidak lagi menjadi parti tunjang kepada parti peme­rintah iaitu BN. Oleh yang demikian, Dr. Mahathir telah menyerahkan tugas Pengerusi BN kepada Presiden MCA ketika itu, Datuk Seri Dr. Ling Liong Sik (sekarang Tun).

Dan sekali gus Dr. Mahathir tidak layak menjadi Perdana Menteri Malaysia kerana parti teras telah diharamkan buat beberapa ketika.

Berlaku kekosongan jawatan Perdana Menteri buat beberapa hari sehinggalah UMNO Baru ditubuhkan. Menurut tafsiran Perlembagaan Persekutuan, Perdana Menteri Malaysia ketika itu ialah Liong Sik.

Walau bagaimanapun, tidak berlaku pelantikan watikah secara rasmi daripada Yang di-Pertuan Agong kepada Liong Sik yang dikatakan menjadi ‘Perdana Menteri’ selama 10 hari dari 4 Februari hingga 13 Februari 1988.

Sesekali tolehlah pada sejarah. Cerdik pandai selalu berkata, sejarah banyak mengajar manusia.

Tetapi manusia biasanya mengulangi perilaku sejarah seperti yang disebut dalam peribahasa Inggeris, “History repeats itself”.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN