Pada Jun lalu, Dr. Bahari Belaton dilantik sebagai Dekan Pusat Pengajian Sains Komputer, Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang. Perkara yang membanggakan adalah dia merupakan anak kelahiran suku kaum Semai dari Kampung Orang Asli Tangkai Cermin, Perak.
Dari semasa ke semasa, kita berpeluang membaca berita mengenai kejayaan Orang Asal (Orang Asli) dalam pelbagai bidang. Misalnya, Zumika Azmi dan Sasha Azmi dari suku kaum Temiar mengharumkan nama negara sebagai pemain kriket. Mereka berasal dari Kampung Orang Asli Pos Gob, Gua Musang, Kelantan.
Orang Asli merupakan khazanah negara yang mungkin kurang diberi perhatian, pengiktirafan dan pembelaan sewajarnya. Sering kali kita membaca pelbagai berita menyedihkan mengenai nasib malang yang menimpa kumpulan ini. Tentu sahaja minoriti yang merupakan penghuni asal negara ini perlu dibela dan diberi hak yang sewajarnya.
Mengikut perangkaan 2016, terdapat sekitar 178,200 individu Orang Asli mewakili 0.6 peratus penduduk Malaysia. Terdapat 18 suku kaum Orang Asli yang diiktiraf dan tinggal di pelbagai lokasi di Semenjung. Taburan penduduk Orang Asli paling ramai di Perak dan Pahang, manakala hampir tiada atau terlalu sedikit di Pulau Pinang dan Perlis.
NEGRO KECIL
Ada tiga kategori Orang Asli yang diiktiraf. Pertama, suku Senoi yang mewakili 55 peratus Orang Asli di Semenanjung. Perkataan ‘Senoi’ membawa makna ‘orang’ dalam bahasa Semai dan Temiar. Suku kaum terbesar ialah Semai yang juga kelompok Orang Asli paling ramai di negara ini. Orang Semai tinggal di Perak, Pahang dan Selangor.
Kumpulan kedua terbesar ialah Temiar yang tinggal di Perak, Selangor dan Kelantan. Dua lagi suku di Pahang ialah Che Wong dan Jahut, manakala Mah Meri di Selangor. Suku Semaq Beri pula ada di Pahang dan Terengganu.
Kedua, kaum Melayu-Proto (Melayu Asli) yang mewakili sekitar 43 peratus penduduk Orang Asli di Semenanjung. Suku kaum di bawah kumpulan ini ialah Jakun (Pahang, Johor) yang juga kaum Orang Asli kedua terbesar. Terdapat juga suku kaum Orang Kuala, Orang Seletar (Johor), Semelai (Pahang, Negeri Sembilan) dan Temuan (Selangor, Pahang, Johor, Negeri Sembilan, Melaka).
Dan ada sedikit sahaja Orang Kanaq (Johor) dan Temoq (Pahang).
Ketiga, kaum Semang atau Negrito yang hanya mewakili sekitar tiga peratus. Istilah ‘Negrito’ bermakna ‘Negro Kecil’ dalam bahasa Sepanyol dan kumpulan ini dikatakan berasal dari Afrika serta tiba di sini sekitar 25,000 tahun dahulu.
Kaum Semang terdiri daripada suku kaum Bateq (Kelantan, Pahang, Terengganu), Jahai (Perak, Kelantan), Kensiu (Kedah), Kintak (Kedah, Perak), Lanoh (Perak), dan Mendriq (Kelantan). Di Perak, Kedah, dan Pahang ada orang Sakai yang dikatakan pernah menjadi ‘hamba berhutang’ kepada orang Melayu pada zaman dahulu.
Dalam pada kita melaungkan slogan Malaysia Prihatin, amat wajar kita mengenali Orang Asli. Kejayaan dan keunikan mereka perlu didokumentasi dan dikongsi secara meluas menerusi media sosial.
PENULIS ialah pengasas Kumpulan Sasterawan Kavyan.










