Perancis digegarkan lagi oleh protes besar-besaran di seluruh negara itu. Kali ini, mereka bukan berkumpul untuk membantah dasar kerajaan, tetapi bagi menunjukkan solidariti warga Perancis berikutan pembunuhan seorang guru, Samuel Paty. Menurut laporan akhbar, Samuel Paty dipenggal kepalanya pada Jumaat lalu di luar sekolahnya di Saint-Honorine, terletak di pinggir Paris oleh seorang lelaki Chechen berusia 18 tahun yang kemudiannya ditembak mati oleh polis. Sebelum kejadian, seorang bapa kepada pelajar dikatakan mengadu kepada pihak sekolah tentang perbuatan Paty. Menurutnya, Paty telah menunjukkan kepada para pelajar dalam kelasnya yang membincangkan isu kebebasan bersuara, gambar kartun memaparkan seorang lelaki bogel yang didakwanya sebagai ‘Nabi orang Islam.’ Perbuatannya itu menimbulkan kemarahan ramai ibu bapa dan dikatakan sebagai punca kepada pembunuhannya.
MENYERANG
Pembunuhan Paty sebenarnya tidaklah mengejutkan memandangkan sebelum ini pada 2015, dua lelaki bersenjata menyerang pejabat Charlie Hebdo, sebuah majalah satira berikutan penyiaran kartun yang mempersendakan Nabi Muhammad. Dalam kejadian itu, beberapa orang dibunuh.
Kesemua itu berlaku atas nama ‘kebebasan bersuara’ dan ‘hak asasi manusia’ apabila Islam sering diletakkan dalam kandang orang yang dituduh kerana didakwa tidak menghormati hak asasi manusia dan kebebasan bersuara yang merupakan antara perkara-perkara asasi dalam falsafah liberal. Barangkali bagi Samuel Paty, Charlie Hebdo, dan semua pendukung fahaman liberalisme sekular, mereka hanya menzahirkan ‘hak’ dan ‘kebebasan’ melalui kartun yang bertujuan menghina seorang yang dianggap Nabi dan utusan Allah oleh kira-kira seperempat penduduk dunia.
Barangkali bagi mereka, perbuatan itu wajar dan tiada yang salah kerana tiada pun Tuhan dipercayai wujud, maka sudah tentulah tiada nabi atau rasul yang diutuskan. Maka, sesiapa pun yang mendakwa dirinya nabi atau rasul pada pandangan mereka hanyalah pembohong semata-mata. Oleh itu, tiada salahnya mempersendakan orang tersebut.
Bagi kaum Muslimin, sudah tentulah penghinaan ini tidak boleh diterima. Tidak semestinya apabila kita tidak mempercayai sesuatu, kita berhak menghina dan mempersendakannya. Bahkan menurut ajaran Islam sendiri, haram hukumnya menghina atau mencerca sembahan orang-orang kafir walaupun perbuatan itu bertentangan dengan akidah Islam. Maka kita lihat dalam masyarakat Islam, orang bukan Islam bebas mengamalkan agama dan adat resam masing-masing sebagaimana dibuktikan dengan kewujudan mereka sehingga ke hari ini walaupun setelah beratus tahun berada di bawah pemerintahan Islam.
MORAL
Perancis dan negara-negara Barat menurut Presiden Turki, Recep Tayyib Erdogan, tidak memiliki hak dari segi moral untuk mengajar orang lain tentang kebebasan dan hak asasi manusia.
Mereka seharusnya mencermin diri dengan melihat sejarah sendiri dan apa yang telah mereka lakukan kepada manusia. Semua orang tahu, Perancis adalah bangsa penjajah yang rakus dan kejam dan jutaan nyawa terkorban hasil daripada peperangan yang mereka lancarkan ke seluruh dunia, penjajahan di Afrika dan campur tangan yang tidak sudah-sudah hingga ke hari ini.
Bagi sesiapa yang mengkaji sejarah, penghinaan terhadap Rasulullah dan orang-orang beriman bukanlah perkara baharu atau mengejutkan. Apa yang membezakan penghinaan dahulu dengan sekarang adalah kesannya kepada masyarakat umum berikutan kecepatan tersebarnya maklumat hasil daripada kewujudan platform media sosial. Akibatnya, apa yang pada asalnya berlaku di sebuah bilik darjah di Perancis boleh tersebar ke seluruh dunia dalam masa beberapa jam sahaja. Kita hanya boleh bayangkan kemungkinan-kemungkinan tindak balas yang boleh berlaku.
2 BILION
Tidak dapat dinafikan, seluruh umat Islam marah dengan penghinaan itu dan tentulah tidak menghairankan kalau dalam kalangan dua bilion umat Islam, ada seorang dua yang sanggup bertindak sehingga ke tahap membunuh dan dibunuh. Barangkali tindakan mereka itu dianggap melampau berdasarkan kepada kayu ukur sekarang, akan tetapi ia adalah tindak balas terhadap perbuatan yang juga melampaui batas. Kita tidak boleh menafikan dalam kalangan mereka yang mendukung ideologi dan cara hidup sekular itu. Tidak kurang juga mereka yang berlagak melampau dan Charlie Hebdo dan Samuel Paty telah membayar akibat perbuatan mereka yang melampau itu dengan nyawa mereka. Sebenarnya tidak sukar untuk kita memahami perkara tersebut. Apakah yang kita boleh fahami daripada ‘bahasa penghinaan?’ Sesiapa pun tidak boleh menerima maruah diri, bangsa atau agamanya dihina dan diperlecehkan apabila ia dilakukan secara berterusan, maka ia dianggap suatu provokasi yang mesti dijawab. Charlie Hebdo dan Samuel Paty telah memilih untuk mencemarkan kehormatan orang. Mereka tidak seharusnya mengharapkan orang yang penghormatannya mereka cemari itu akan membalas perbuatan tersebut dengan penghormatan.
Bahasa yang lebih baik dalam menangani perbezaan tentulah dialog dan asas kepadanya adalah hormat-menghormati. Hanya yang tahu menghormati orang lain yang boleh dibawa berbincang sedangkan yang tahu menghina hanya layak menerima penghinaan.
PENULIS ialah Felo Kanan, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).










