Kalau ke Melaka, kunjungilah Kampung Chetti di Gajah Berang. Kita berpeluang mengenali komuniti Chetti yang amat unik tetapi masih kurang diketahui umum.
Komuniti tersebut bermula dengan sejarah kedatangan pedagang dari Kanchipuram, Tamil Nadu, India ke Melaka sejak abad kedua. Ramai lelaki Tamil ini berkahwin dengan wanita Melayu tempatan. Kita boleh melawat muzium di Kampung Chetti untuk mendapatkan pelbagai maklumat yang menarik tentang sejarah dan budaya mereka.
Salah satu fakta penting adalah komuniti tersebut tidak sama dengan golongan Chettiar, iaitu pihak yang sering dikaitkan dengan ceti atau peminjam wang.
Komuniti Chetti Melaka bermula sebagai golongan pedagang yang mewah tetapi peredaran zaman serta penjajahan Portugis, Belanda, Britis dan Jepun membuatkan kumpulan minoriti ini menjadi petani miskin.
Saya mengunjungi Kampung Chetti sejak 2006 dan berpeluang bergaul dengan perlbagai peringkat umur masyarakat itu. Masing-masing mempunyai pelbagai kisah menarik yang wajar didokumentasi. Mereka memiliki rupa paras kaum India tetapi tidak tahu berbahasa Tamil. Apabila mendalami sejarah dan asal-usul, kita akan faham bahasa ibunda mereka adalah bahasa Melayu.
Bagaimanapun, komuniti Chetti Melaka berpegang teguh kepada agama Hindu. Kuil Hindu pertama di negara ini dibina oleh mereka. Kuil Sri Poyatha Venayagar Moorthi dibina pada 1781 iaitu semasa penjajahan Belanda dan masih menjadi tempat tumpuan penganut Hindu.
Komuniti Chetti Melaka bersembahyang dan berdoa menggunakan bahasa Melayu. Namun begitu, identiti budaya sebagai penganut Hindu tetap dipertahankan. Misalnya, nama dewa-dewi Hindu lazim diberi kepada anak-anak seperti Moorthy, Subramaniam, Letchumi, Abhirami dan Krishna.
Mereka juga mengekalkan nama keluarga (surname) seperti Pillay, Naiker, Padayachi, Mudaliar, Konar, dan Kullen. Memandangkan komuniti ini sangat kecil, mereka sebenarnya ada pertalian darah melalui perkahwinan. Kini terdapat sekitar 350 orang daripada kira-kira 50 keluarga Chetti Melaka.
Sambutan pesta menuai iaitu ponggol (ponggal) terus menjadi upacara penting dalam komuniti kecil ini. Tambahan pula, nenek-moyang mereka pernah menjadi pesawah padi semasa penjajahan Belanda. Agak menarik kerana beberapa hari sebelum sambutan ponggol, mereka membersihkan kubur nenek-moyang dan mengadakan upacara sembahyang khas di sana.
Sesungguhnya, komuniti Chetti Melaka adalah hazanah negara yang amat unik dan wajib dipelihara. Walaupun Kampung Chetti diwartakan sebagai perkampungan warisan pada Julai 2002, ia masih berdepan pelbagai cabaran yang dikhuatiri akan menghakis sejarah komuniti ini.
PENULIS ialah pengasas Kumpulan Sasterawan Kavyan.










