Bukan semua Cina pilih DAP – Wendy - Utusan Malaysia

Bukan semua Cina pilih DAP – Wendy

WENDY SUBRAMANIAM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Mukadimah
TIDAK mudah terpengaruh dengan mainan politik semasa menjadikan wanita ini dilihat sebagai aset kepada Gerakan. Timbalan Setiausaha Agung Nasional Gerakan, WENDY SUBRAMANIAM berdiri teguh dengan perjuangan parti. Sedikit pun tidak berganjak walaupun penubuhan parti baharu Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) menjadi salah satu pesaing terdekat.

Ibu kepada dua anak berusia 39 tahun ini sebaliknya percaya, golongan muda khususnya belia Cina masih teguh dengan parti tradisional yang mewakili pemikiran demokrat serta liberal.

Bercakap kepada wartawan Utusan Malaysia, AQILAH MIOR KAMARULBAID, akauntan bertauliah yang juga Naib Ketua Wanita Nasional Gerakan ini menyatakan pandangan mengenai isu-isu semasa dan berharap golongan belia bijak memilih dan tidak mudah terpedaya dengan dakyah politik keterlaluan.

 

UTUSAN: Pandangan anda berhubung perkembangan politik semasa?
Saya melihat kestabilan politik sesebuah negara amat penting. Malaysia sebagai sebuah negara membangun dengan pesat memerlukan keseimbangan yang nyata demi pembangunan ekonomi dan sosial secara saksama.

Merujuk kepada situasi semasa, penting bagi parti pemerintah untuk bersatu. Ketepikan percanggahan dalam komponen dan bekerja kuat demi negara.

Tiba masanya untuk kita semua menumpukan usaha melawan pandemik Covid-19, menstabilkan semula ekono­mi, mewujudkan peluang pekerjaan dan memberi jami­nan pendapatan isi rumah ti­dak terjejas. Isu politik, tung­gu sajalah sehingga pilihan raya umum (PRU) nanti.

Kestabilan politik adalah asas kepada pembangunan ekonomi dan keharmonian masyarakat sesebuah negara. Kita perlukan sebuah kerajaan yang kukuh dan disokong oleh semua.
Pembangkang pula perlu memainkan peranan semak dan imbang yang sewajarnya, bukannya asyik berpolitik secara keterlaluan.

Kematangan dalam politik perlu dalam kalangan politikus. Malaysia perlu mara ke hadapan. Kita perlu berhadapan dan mengatasi pandemik ini secara bersama serta pada masa sama memperbaiki ekonomi negara untuk kembali bersinar.

Golongan muda Cina dilihat lebih tertarik kepada DAP. Komen anda?
Kita tidak boleh melabelkan keseluruhan belia Cina memilih DAP. Itu adalah tanggapan salah dan tidak mewakili keadaan sebenar. Belia Cina juga memilih parti-parti lain terutama yang mengamalkan politik tidak berasaskan perkauman dan menegakkan perpaduan.

Gerakan merupakan sebuah parti yang ditubuhkan tanpa berasaskan perkauman sebaliknya mengutamakan penglibatan belia secara menyeluruh tanpa mengira bangsa dan agama.

Selain itu, Gerakan juga mendekati golongan belia dengan ideologi parti yang menjunjung konsep Bangsa Malaysia.

Apa harapan golongan muda terhadap pemimpin dan kerajaan?
Belia inginkan kebersamaan, tidak terlalu bermain politik dan membangunkan sosial ekonomi termasuk pendidikan untuk semua dan peluang pekerjaan yang sewajarnya.

Saya percaya, kebanyakan belia sudah muak dengan politik keterlaluan. Belia inginkan sebuah sistem politik yang mementingkan semua aspek termasuk perpaduan dan pembangunan. Belia inginkan nafas baharu dalam politik negara. Jangan asyik ‘sangkut’ dalam naratif politik 1980-an dan 1990-an.

Sudah ada calon untuk PRU-15?
Perkara tersebut sedang dalam perbincangan di peringkat Jawatankuasa Pusat Parti. Yang boleh saya pastikan adalah belia diberi keutamaan dalam pencalonan untuk Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15). Belia berlatar belakang profesional, bersih, mudah didekati dan yang memberi keutamaan dalam memacu aspirasi rakyat akan mewakili Gerakan dalam PRU akan datang.

Had umur mengundi diturunkan ke 18 tahun. Pandangan anda?
Sebenarnya, 18 tahun merupakan usia matang untuk seseorang memilih pemimpin dan kerajaan yang diinginkan. Golongan muda hari ini cukup matang. Mereka memberi yang terbaik bukan saja dari segi akademik malah sukan, keusahawanan sosial, kesukarelawanan, pemikiran yang mantap dan banyak lagi.

Sebagai langkah susulan, saya menyeru kerajaan memperkenalkan pengajian berasaskan Perlembagaan, hak kenegaraan, demokrasi dan hak asasi manusia di peringkat sekolah menengah.
Pengenalan ini akan mengasah penelitian, kajian, perbandingan dan membuat keputusan berkaitan sistem demokrasi termasuk memilih wakil dalam pilihan raya.

Adakah Muda mampu meraih sokongan anak muda?
Terlalu awal untuk mem­beri pandangan terhadap usaha Muda dan daya tarikan­nya. Semua parti ada sayap belia. Justeru, tidak semua belia akan tertarik dengan Muda. Saya yakin belia masih teguh dengan parti tradisional yang mewakili pemikiran demokrat serta liberal.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN