Bukan salah bahasa Melayu tapi... - Utusan Malaysia

Bukan salah bahasa Melayu tapi…

Bahasa rasmi yang dipilih untuk memandaikan anak bangsa dan memajukan negara hendaklah digunakan secara meluas. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Satu kelompok cendekiawan Melayu dalam mempertahan kewujudan sekolah vernakular Cina khususnya, mengemukakan alasan bahawa bahasa tidak ada kaitan dengan patriotisme. Mereka menjelaskan, bahasa tidak mewakili perasaan cinta kepada negara. Bagi mereka, bahasa semata-mata alat untuk berkomunikasi.

Cara pemikiran begini salah sama sekali. Ini kerana bahasa mempunyai banyak peranan lain jauh lebih penting daripada yang asas itu. Sebenarnya, peranan bahasa untuk hanya berkomunikasi menjadi kurang relevan apabila dibicarakan bersekali yang lain.

Peranan bahasa untuk menyatakan identiti adalah antara yang terpenting. Dalam persoalan sekolah vernakular Cina, sudah tentu penggunaan bahasa Mandarin bukan sekadar untuk menyampaikan kandungan pelajaran, buah fikiran dan seumpamanya. Ia ada kaitan dengan identiti kaum Cina, pertama-tamanya etnisiti Cina itu sendiri. Di samping ini, ia juga ada kaitan dengan identiti sosial, budaya, psikologi dan geografi kaum Cina di Malaysia.

Pemilihan bahasa Mandarin dan bukannya bahasa Melayu adalah kerana ia merupakan penanda etnik Cina yang paling nyata. Dengan ini, kaum Cina dapat dikenali dengan mudah lagi cepat. Seperkara lain, bahasa Mandarin juga dapat menghubungkan kaum Cina dengan sejarah mereka, sama ada secara simbolik mahupun sebenar. Semua ini ada kaitan dengan identiti sosial dan budaya kaum Cina.

Konflik antara bahasa Mandarin dengan bahasa Melayu sebagai bahasa negara yang tercetus akibat persaingannya untuk memperoleh pengiktirafan dalam bentuk penerimaan UEC (Sijil Peperiksaan Bersepadu) dalam bidang pendidikan tinggi negara adalah identiti geografi yang ingin diwujudkan di luar tanah watan dan identiti psikologi sebagai kaum yang agresif untuk memartabatkan bahasa etniknya.

Inilah kaitan antara bahasa Mandarin dengan identiti kaum Cina di Malaysia yang melahirkan kesetiaan utuh kepada bahasa Mandarin, ekoran adanya kesedaran etnik yang kuat dari segi sosial, budaya, psikologi dan geografi. Dengan ini, bahasa Mandarin yang ada kaitan langsung dengan etnisiti Cina membangkitkan nasionalisme etnik Cina, khususnya nasionalisme linguistik bahasa Mandarin, iaitu rasa bangga, sayang dan setia kepadanya.

Bahasa Melayu yang merupakan bahasa negara ini juga ada kaitan dengan identiti. Sehubungan itu, ia identiti negara untuk Malaysia dan identiti budaya bagi rakyatnya. Dalam konteks ini, bahasa Melayu ada kaitan terus dengan nasionaliti, iaitu keterikatan kepada negara ini yang boleh membangkitkan patriotisme, yakni cinta kepada Malaysia sebagai tanah air.

KHIANAT

Oleh itu, bukan sahaja sama sekali salah apabila dikatakan bahasa lebih-lebih bahasa kebangsaan, tiada kaitan dengan patriotisme. Ia juga bersifat pengkhianatan kepada negara! Ini kerana bahasa kebangsaan mana-mana negara pun, atas dasar ia bahasa pribumi, digunakan untuk menerbitkan semangat kekitaan bagi membangkitkan perasaan keterikatan kepada negara sama ada secara simbolik ataupun sebenarnya.

Sehubungan itu, bahasa Melayu yang memiliki perkaitan sentimental sejarah lampau tanah air dan hubungan primordial nilai dan tradisi adalah bahasa paling cocok untuk menyatukan rakyat dalam konteks patriotisme bagi membina negara bangsa yang cintakan Malaysia.

Dalam mempertikai bahasa Melayu yang didakwa tidak pun mewakili perasaan cinta kepada negara, mereka ini ikut mempersoal sekiranya bahasa Melayu penting sebagai identiti negara, ia sepatutnya digunakan dalam semua bidang termasuklah pendidikan tinggi yang kini banyak sekali menggunakan bahasa Inggeris.

Sepatutnya inilah sifat dan keadaan afdal apabila bahasa negara, sama ada sebagai bahasa kebangsaan ataupun bahasa rasmi merupakan identiti negara. Ia bukan sahaja terikat dengan nasionalisme, ia juga tertambat pada nasionisme iaitu pengendalian sebuah negara.

Jika bahasa kebangsaan dikaitkan dengan nasionalisme, bahasa rasmi pula dikaitkan dengan nasionisme. Dengan ini, bahasa rasmi, iaitu bahasa yang dipilih untuk memandaikan anak bangsa dan memajukan negara, hendaklah digunakan secara meluas selain bermutu. Malang sekali, ini tidak berlaku sepenuhnya di negara ini. Justeru, terdapat penggunaan bahasa Inggeris yang berleluasa dalam bidang pendidikan tinggi dan banyak ranah negara yang lain.

Ini kerana kaum Melayu yang menutur bahasa Melayu sebagai bahasa ibunda, etnik Melayu, leluhur kaum Melayu, tiada sifat dan ciri etnolinguistik yang ada pada kaum Cina, untuk bukan sahaja melindungi bahasa Melayu tetapi lebih penting lagi melestarikannya di bumi watan mereka sendiri.

Inilah sebabnya bahasa Melayu walaupun adalah identiti negara selain identiti budaya, tidak berperanan pun sebagai bahasa negara seperti yang sepatutnya. Sehubungan itu, ia bukan salah bahasa Melayu, ia salah kaum Melayu yang bukan kelompok etnobahasa yang kental seperti kaum Cina.

Natijahnya di sini ialah bahasa mana-mana kaum pun mempunyai kaitan dengan identiti dan mewakili etnisiti kaum yang menuturnya. Begitu juga bahasa Melayu sebagai bahasa negara. Ia yang ada kaitan dengan nasionaliti Malaysia bukan sahaja wakil patriotisme Malaysia, ia adalah patriotisme Malaysia itu sendiri!

PROFESOR Datuk Dr. Teo Kok Seong ialah Felo di Universiti Kebangsaan Malaysia dan Majlis Profesor Negara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN