Dalam memperkata kelemahan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar kita, banyak cadangan dikemukakan pelbagai pihak untuk mengatasinya. Ada yang ingin membina sekolah antarabangsa selain mengembalikan sekolah aliran bahasa Inggeris.
Tidak kurang juga yang mengutarakan dapatan penelitian bagi memperlihat hubung kait antara penguasaan bahasa Inggeris yang baik dalam sesebuah negara dengan pendapatan kasar negara yang tinggi. Dengan ini, perkara yang ingin disampaikan ialah bahasa Inggeris boleh memajukan negara.
Sehubungan peningkatan kecekapan berbahasa Inggeris ini, kita pernah menggubal dasar Highly Immersive Programme (HIP), iaitu rancangan pendidikan bahasa Inggeris yang diperkenal pada 2016. Ia yang merupakan pendedahan kadar tinggi terhadap bahasa Inggeris di dalam dan luar kelas, ikut bermatlamat memupuk sikap positif terhadap bahasa antarabangsa terpenting di dunia dari segi pembelajaran dan penggunaan.
Semenjak diperkenalkan, HIP tidak banyak diperkata dari segi keberhasilannya. Sebaliknya Dual Language Program (DLP), iaitu sebilangan mata pelajaran aliran sains yang ikut diajar dalam bahasa Inggeris pula selalu disebut sebagai banyak meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris yang lemah itu.
PELIK
Sehubungan ini, agak pelik dan kurang munasabah kandungan pendidikan sains, matematik, teknologi maklumat dan komunikasi serta reka bentuk dan teknologi yang teknikal sifatnya lebih berjaya memperbaiki kelemahan pelajar dalam bahasa Inggeris berbanding pedagogi khusus pada HIP.
DLP dan HIP adalah pendekatan utama Dasar Memartabatkan Bahasa Melayu Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) sebagai teras dwibahasa untuk pengukuhan kefasihan dua bahasa ini dalam sistem pendidikan negara.
HIP adalah pendekatan peningkatan kemahiran berbahasa Inggeris melalui mata pelajaran bahasa itu sendiri dengan kadar pendedahan yang luar biasa kepada bahasa tersebut. Secara logiknya, cara literasi HIP yang disarati inti bahasa sepatutnya lebih berkesan daripada cara numerasi DLP yang sepenuhnya tertumpu kepada pati mengira dan menaakul. Namun, sebaliknya
berlaku!
Soalan serius yang perlu ditanya di sini, mengapa HIP tidak berkesan sedangkan ia kaedah afdal dipenuhi literasi dari segi kosa kata, pemahaman dan penulisan untuk meningkatkan penguasaan berbahasa Inggeris jika dibandingkan dengan numerasi angka dan penaakulan alam semata-mata pada DLP?
Dari pengamatan umum, HIP sebenarnya dengan segala macam pendekatan didapati mempunyai kesan berfaedah kepada peningkatan penguasaan bahasa Inggeris. Peningkatan inilah yang membolehkan pelajar yang mengikuti DLP dapat memahami mata pelajaran dalam bahasa Inggeris dengan baik.
MAMPU BAYAR
Namun, DLP yang mendapat pujian, bukan HIP. Seperti kata peribahasa, lembu punya susu, sapi dapat nama. Ini semacam sengaja dilakukan untuk mengabsahkan DLP yang rata-ratanya dikecam sebagai pendekatan salah untuk menangani masalah penguasaan bahasa Inggeris yang lemah itu.
Dengan diayah kejayaan DLP, ia memberi pewajaran kuat untuk membawa kembali persekolahan aliran bahasa Inggeris yang sudah lama dimansuhkan dan pembinaan banyak lagi sekolah antarabangsa ‘mampu bayar’ oleh kerajaan selain swasta.
Sebenarnya untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris, kita tidak perlu dan sesekali tidak patut menggunakan aliran bahasa Inggeris sama ada dalam bentuk nasional, apatah lagi antarabangsa. Lebih-lebih lagi apabila ia wujud sebagai entiti awam, yakni persekolahan itu dibiayai oleh kerajaan.
Ini kerana pertama-tamanya, ia bertentangan dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan selain Seksyen 17 Akta Pendidikan 1996. Perkara 152 menyentuh tentang kemestian penggunaan bahasa kebangsaan untuk ranah rasmi kerajaan Pusat dan negeri. Manakala Seksyen 17 menyebut mengenai keperluan menggunakan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar utama di semua institusi pendidikan awam.
Nampaknya HIP dijadikan mangsa untuk menghalalkan DLP yang bersifat separa sahaja pendidikannya dalam bahasa Inggeris, untuk membuka laluan kepada persekolahan aliran bahasa Inggeris dan sekolah antarabangsa yang sudah tentu bersifat sepenuhnya bahasa Inggeris.
CURANG
Mengapa kita sanggup curang sehingga kehilangan jati diri kita? Sehubungan ini, kaum Melayu biarpun puak dominan negara adalah bukan kelompok etnobahasa. Dengan ini, mereka rata-ratanya tiada rasa megah, apatah lagi sayang dan setia kepada bahasa Melayu yang merupakan bahasa ibunda dan etnik Melayu. Hal ini sudah lama wujud dan sudah diamati dan diberi amaran oleh Abdullah Munsyi pada sekitar 1850-an lagi, bahawa kaum Melayu akan terus kemandiran kerana tidak mahu mengambil tahu tentang bahasa mereka sendiri.
Sikap ini hendaklah diperbaiki dengan penuh keyakinan akan kemampuan bahasa Melayu untuk memandaikan anak bangsa dan memajukan negara. Dengan ini, hargailah HIP. Terus perbaiki masalah kebahasaan ini melalui HIP, bukannya dengan menyanjungi DLP yang mahu dikembangkan kini kepada persekolahan aliran bahasa Inggeris.
Sepatutnya setelah sekian lama terlepas daripada belenggu penjajahan, bahasa Melayu kini sudah bebas untuk berdikari atas daulatnya di tanah
watannya setelah diyakini penuh penutur jatinya sendiri untuk diikuti yang lain-lain.
PROFESOR Datuk Dr. Teo Kok Seong ialah Felo di Universiti Kebangsaan Malaysia dan Majlis Profesor Negara.










