PASTI impian mutlak bagi seorang ahli politik adalah jawatan Perdana Menteri. Tetapi jawatan cloud nine ini secara ringkasnya bukan untuk semua orang. Hanya ada satu tempat bagi jawatan nombor satu kerajaan ini.
Hakikatnya politik di Malaysia sebahagian besarnya berasaskan perkauman, seperti yang dilihat dengan kewujudan UMNO, DAP, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Pas, MCA, MIC serta parti-parti tempatan di Sabah dan Sarawak.
Ini sekali gus menjadikan peluang-peluang untuk mengejar impian menjadi seorang Perdana Menteri adalah sedikit dan tempoh jaraknya amat jauh.
Lagipun, disebabkan hakikat politik di Malaysia adalah suatu permainan jumlah bilangan (kerusi/ahli Parlimen), maka mana-mana parti/gabungan politik yang fokus ke situ akan kekal dalam asas pemilihan bagi tempoh tertentu.
MACHIAVELLI
Secara purata, apabila seseorang ahli politik dilantik sebagai menteri, beliau seharusnya bergembira dan berpuas hati. Jika seterusnya beliau berkhidmat selama satu dekad, maka beliau dianggap telah tiba dalam bidang pilihannya.
Urutan seterusnya ialah bagaimana untuk mengekalkan pekerjaan dan terus bertahan walau apa yang berlaku.
Sesekali saya teringat pesanan orang lama – seorang ahli politik tidak boleh kelihatan ‘terlalu pandai’ sehingga ketua yang beliau berkhidmat dilihat kurang bijak.
Mesti ada sedikit sifat Machiavelli di sini. Tetapi orang yang tidak mempunyai persepsi klasik Itali ini tidak akan bertahan lama dalam politik.
Datuk Seri Anwar Ibrahim misalnya, adalah contoh klasik bagaimana sebelah kaki sudah memasuki Seri Perdana. Siapa sangka selepas menewaskan Ghafar Baba yang sudah berusia sebagai Timbalan Presiden UMNO pada 1993, nasib tidak menyebelahi pada kemuncak kerjaya Anwar.
Petah berkata-kata dan tajam pemikiran. Berduyun-duyun datang untuk mendengar beliau bercakap. Sepanjang tempoh 16 tahun, Tun Dr. Mahathir Mohamad mendidik beliau untuk kedudukan yang lebih besar.
Daripada menjadi anggota pentadbiran pada 1982 sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri hingga ke puncak sebagai Timbalan Perdana Menteri pada 1993.
Anwar barangkali adalah cerita teladan bagi mereka yang tahu mengikut jejak untuk mendaki tangga kegemilangan politik. Impiannya yang tersekat, cuba dikembalikan semula hari ini.
MAHATHIRISME
Bagi sebuah parti yang lama berkuasa seperti UMNO yang melepasi enam dekad dan berdikit-dikit mahu kembali, ahli dan pemimpinnya tidak akan lupa juga bahawa presiden mereka dahulu, Dr. Mahathir menjadi ‘Mahathirisme’ dalam banyak cara dan perkara.
Dalam UMNO, disebabkan kepercayaan dan amanah yang menggunung tinggi disandarkan beliau kepada Anwar yang ketika itu baru lima tahun sahaja berada dalam UMNO, ia telah mencetuskan krisis kepimpinan UMNO yang paling diingati dalam sejarah parti itu pada 1987 (sehingga UMNO diharamkan oleh mahkamah pada 1988).
Dr. Mahathir ketika itu mengangkat kedudukan Anwar dalam parti dan kerajaan. Hal ini menyebabkan pembentukan team B dalam UMNO disegerakan, yang diketuai Tun Musa Hitam dan Tengku Razaleigh Hamzah dengan yang lain-lain pemimpin kanan parti termasuklah Tun Abdullah Ahmad Badawi atau mesra dikenali Pak Lah (Perdana Menteri kelima) mengisi barisan kedua dan ketiga pasukan ini.
Juga, bukan satu kebetulan, setelah apa yang dialami oleh Pak Lah, setelah beberapa tahun Najib (Datuk Seri Najib Tun Razak) menjadi Perdana Menteri, Dr. Mahathir mulai menjadi pengkritik Najib yang utama terutama isu 1MDB (1Malaysia Development Berhad). Banyak komen dan metafora dilemparkan bukan sahaja menggugat pentadbiran Najib, bahkan sehingga membawa keajaiban mengepalai gabungan baharu Pakatan Harapan menumbangkan kerajaan Barisan Nasional. Selepas Pak Lah mengharunginya, kemudian Najib, diikuti pemimpin seterusnya, senario itu tidak lagi asing – meskipun ia suatu perkara yang jarang berlaku dalam sejarah politik negara, juga di negara-negara lain.
TUAH BADAN
Kadang-kala terdetik di hati kita, apakah tidak perlu ‘lintang-pukang’ sangat mencari kedudukan dalam parti? Mungkinkah tuah tetap mendatang jika seseorang jujur dan kuat bekerja.
Orang Melayu menyebut tuah badan atau luck ini sebagai bulan jatuh ke riba. Pujangga Inggeris Shakespeare memanggilnya sebagai greatness being entrusted upon. Peluang begini kadang-kala tidak ada dalam parti politik tertentu – akibat kemelaratan budaya memilih pemimpin yang berunsur ‘ufti’.
Bagi seseorang ahli politik untuk berangan-angan tinggi bukanlah perkara ganjil. Tak salah pasang angan-angan, bahkan sebagai ahli politik dituntut bercita-cita.
Dalam politik, selain kebolehan mesti ada nasib atau ‘tuan badan’. Walau macam mana bergeliga sekalipun seseorang itu, tanpa nasib atau alur tangan yang tertentu, seseorang itu sukar menang untuk naik ke atas. Cuma dalam istilah ‘nasib’ mesti ditemani oleh keadaan mengizinkan dan dalam konteks semasa, si calon mesti ada bekalan kewangan yang banyak.
Cuba halusi kes Tun Ghazali Shafie, bekas Menteri Dalam Negeri pada suatu ketika yang rata-rata dianggap cerdik dan pintar dalam pelbagai bidang. Sebagai theoretician ataupun pengantara isu antarabangsa, King Ghaz sukar ditandingi (bakal calon muda diminta Google semak sejarah hebat arwah).
Allahyarham pernah dirizabkan oleh Tun Razak dan Tun Hussein Onn untuk mengisi tempat yang tinggi dalam kerajaan. King Ghaz amat disohorkan untuk jadi Timbalan Perdana Menteri sebelum 1976. Tetapi ‘baris tangannya’ atau tuah badan tiada melambangkan untuk duduki jawatan nombor dua kerajaan itu.
Seperkara lagi yang amat penting adalah daripada tenure atau tempoh khidmat seseorang wakil rakyat.
EMPAT PENYAKIT
Apa pun orang politik harus menghindari empat penyakit lazim yang sering melanda parti-parti yang sudah lama berkuasa.
Empat penyakit tersebut ialah delusion atau khayalan, amnesia atau kelupaan, inertia atau kejumudan dan arrogance atau keangkuhan. Hakikatnya, parti yang terlampau lama berkuasa jarang melakukan muhasabah atau introspeksi terhadap kelemahan diri.
Pertama, penyakit delusion kerana berasa khayal dan terawang-awang bahawa sokongan yang diterima daripada rakyat akan berterusan. Kedua, penyakit amnesia kerana sudah terlupa akan sebab musabab atau tujuan perjuangan asal. Ketiga pula, penyakit inertia yang terjadi apabila enggan membuat pembaharuan dan perubahan.
Seterusnya pula, yang keempat, adalah penyakit arrogance yang mencerminkan sikap tidak boleh menerima teguran ramai. Sesungguhnya, semua penyakit tersebut terutamanya keangkuhan akan hanya menyebabkan rakyat benci dan berasa menyampah.
Oleh itu, tidak dapat tidak, keempat-empat gejala penyakit ini perlu dielak, dibuang jauh dan dikikis sebelum rasa sayang berubah menjadi benci, harapan menjadi kemarahan, sokongan menjadi penentangan. Untuk bangun kembali, mana-mana parti politik pun mesti mencari formula pemulihan dan melaksanakan pelan tersebut secara konsisten.
Barulah nanti akan memperoleh kemenangan besar yang diidam-idamkan.Hakikat dan realitinya bukan mudah sebenarnya untuk membina sebuah parti politik.
UMNO sendiri untuk mencapai usia sejauh ini terpaksa menongkah penuh getir arus persada politik negara. Dan ada parti yang baru setahun jagung tetapi lagaknya sudah bertahun-tahun dalam arena sehingga menenggelamkan parti senior.
Ada pula kerana dek keterujaan menubuhkan parti sampaikan sanggup ‘mencuri’ hak orang lain.
Kesemua ini kerana begitu ghairahkan kuasa dan mengejar laba pilihan raya.










