Tulisan Jawi yang tidak disenangi masyarakat bukan Islam di negara ini tidak dinafikan berasal daripada bahasa Arab. Sehubungan itu, al-Quran dan hadis yang merupakan teks suci utama Islam ditulis dalam bahasa Arab. Justeru, tulisan Jawi dilihat sebagai berunsur Islam dan mahu dielakkan masyarakat bukan Islam.
Ini dapat dilihat pada penentangan terhadap pendidikan ringkas mengenai tulisan Jawi dalam sistem pendidikan negara, sebagai pengenalan kepada satu lagi skrip tulisan dalam bahasa Melayu sebagai bahasa negara serta penggunaannya yang diperlukan pada papan tanda niaga di Pahang.
Sehubungan itu, kehadiran skrip Jawi dalam sebarang bentuk dianggap sebagai tabu yang harus ditentang, biarpun sebagai identiti nasional untuk Malaysia, apatah lagi selaku identiti budaya bagi rakyat, seperti yang dipersetujui pada Kontrak Sosial yang kini menjadi Perlembagaan Persekutuan.
Sesungguhnya Jawi sebagai tulisan yang dikaitkan dengan al-Quran dan hadis yang ditakuti itu, sudah lama wujud dalam peradaban semua bangsa di dunia tanpa disedari banyak pihak, termasuklah mereka yang kuat menentangnya di negara ini dalam dua kes itu.
Angka 0 sehingga 9 yang kini digunakan semua bahasa di dunia adalah sistem pernomboran bahasa Arab. Ia yang telah diambil masyarakat Barat pada abad ke-12 kini digunakan secara total dalam perniagaan antarabangsa.
Semenjak pengambilannya, 10 angka bahasa Arab ini didapati bukan sahaja digunakan dalam sistem berabjad Latin yang merupakan sistem tulisan paling popular. Ia juga digunakan dalam sistem tulisan bergambar antaranya bahasa Mandarin.
Walaupun bahasa Mandarin mempunyai karakternya sendiri untuk menandakan nombor, rata-ratanya sistem pernomboran bahasa Arab lebih digemari. Ini kerana selain digunakan di seluruh dunia, ia didapati jauh lebih praktikal berbanding sistem pernomboran asal bahasa Cina.
ROMAN
Kebanyakan orang dan institusi di China dan Taiwan memilih angka bahasa Arab berbanding karakter bahasa Mandarin semasa menggunakan bahasa Mandarin tulisan untuk menandakan nombor. Hal begini juga didapati sama di Malaysia, khususnya apabila bahasa Mandarin ditulis secara mendatar, angka bahasa Arab yang menjadi pilihannya.
Masyarakat Barat yang mencipta aksara Latin atau Roman memilih untuk mengambil angka bahasa Arab sebagai gantian kepada angka Roman (I, II, III, IV, V, VI, VII, VIII, IX, X) yang tidak pun mempunyai lambang untuk kosong. Untuk menandakan kosong ditambah perkataan bahasa Latin, nulla yang bermakna sifar. Dengan ini, bagi menulis deretan angka 905, ia berbentuk IX nulla V pada mulanya. Ia menjadi IX 0 V setelah angka 0 bahasa Arab diambil beberapa waktu kemudian.
Penolakan tulisan Jawi yang dikaitkan dengan pengislaman sebenarnya memperlihat keengganan masyarakat bukan Islam untuk mengidentifikasikan diri dengan unsur Islam kerana Islamofobia. Selain tidak berasas langsung, Islamofobia dalam konteks tulisan Jawi sebagai kuasa dakwah tiada bukti pun telah berjaya mengislamkan sesiapa jua.
Sesungguhnya angka bahasa Arab apabila digunakan dalam sistem pernomboran semua bahasa di dunia termasuklah bahasa Mandarin dan bahasa Tamil di Malaysia serta China dan India, adalah contoh akomodasi sejagat terbaik kerana berjaya menyelaraskan perkiraan dalam kalangan seluruh umat dunia.
NEGATIF
Dengan mengetahui sumbangan besar bahasa Arab ini, masyarakat bukan Islam tidak patut lagi mempunyai sikap negatif terhadap tulisan Jawi sehingga mahu membawanya ke mahkamah. Bagaimanapun, inilah yang telah terjadi baik dalam kes pengenalannya di sekolah rendah kerajaan, yang dilakukan parti Gerakan pada September 2019 dan penggunaannya di papan tanda di Pahang oleh DAP, Julai lalu.
Sekiranya ingin terus bersikap negatif, ada keperluan kendiri untuk mereka tidak lagi menggunakan sistem pernomboran bahasa Arab, iaitu salasilah tulisan Jawi, dan menggantikannya dengan sistem asal peribumi Cina yang menggunakan karakter bahasa Mandarin dan huruf natif Tamil, Vattezhuttu. Ini kerana penentangan terhadap unsur Islam hendaklah bersifat menyeluruh, bukannya sesekali selektif.
Sebagai sistem menandakan nombor yang paling afdal di dunia, nombor bahasa Arab ini bukan sahaja mudah digunakan, ia juga paling mangkus, apabila dibandingkan misalnya angka Roman untuk tujuan mengira dalam bidang matematik dan seumpamanya. Ini kerana nombor Roman meskipun bertunjangkan bilangan 10 seperti angka bahasa Arab, hanya memiliki tiga lambang, iaitu I, V dan X.
Dengan ini, didapati amat sukar untuk menggunakan angka Roman bagi membuat pencampuran dan mustahil langsung bagi membuat pembahagian yang panjang. Sehubungan itu, tidak dapat disangkal mana-mana pihak bahawa tugas mengira amnya dan literasi matematik khususnya akan berada di kancah lacur lagi geruh kalau angka bahasa Arab tidak digunakan.
Inilah kuasa akomodasi bahasa Arab, salasilah tulisan Jawi, pada sistem pernomborannya yang bukan sahaja melancarkan komunikasi pengiraan di seluruh dunia, tetapi juga mempermudahkan proses mengira, termasuklah di Malaysia yang ikut digunakan masyarakat bukan Islam.
PROFESOR Datuk Dr. Teo Kok Seong ialah Felo di Universiti Kebangsaan Malaysia dan Majlis Profesor Negara.










