Tiga tahun untuk pulih sektor penerbangan - Utusan Malaysia

Tiga tahun untuk pulih sektor penerbangan

WEE KA SIONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PANDEMIK Covid-19 menjejaskan hampir semua industri penting dunia. Sektor penerbangan tidak terkecuali, malah banyak yang sudah gulung tikar.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong yang ditemu bual oleh wartawan Mingguan Malaysia, Fahmi Faiz, Roshihan Annuar Yub serta jurugambar Amir Khalid baru-baru ini memberitahu, industri itu akan mengambil masa lama untuk pulih sepenuhnya.

Dalam wawancara eksklusif bertempat di Kementerian Pengangkutan, di Putrajaya itu, beliau yang juga Presiden MCA turut menyentuh soal sokongan masyarakat Cina.
Tidak ketinggalan, turut dikupas isu direct tender oleh ahli DAP sewaktu menduduki kerusi Menteri di Kementerian Pengangkutan.

SEKTOR PENERBANGAN

MINGGUAN MALAYSIA: Sejauh mana pandemik Covid-19 jejaskan industri penerbangan?
DATUK SERI DR. WEE KA SIONG: Penularan pandemik Covid-19 sememangnya menjejaskan industri penerbangan negara. Statistik menunjukkan trend penurunan permintaan penumpang domestik dan antarabangsa mulai 1 Mac 2020.
Bagaimanapun, pergerakan penumpang di lapangan terbang-lapangan terbang negara telah menunjukkan peningkatan secara berperingkat perlahan-lahan.

Boleh Datuk Seri kongsikan data mengenai trend industri?
Jumlah pengendalian penumpang pada Ogos adalah sebanyak 1.3 juta penumpang berbanding 430,000 penumpang yang dicatatkan pada Jun 2020.
Berdasarkan unjuran senario trafik penumpang Malaysia 2020, Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) menjangkakan jumlah tempat duduk perkhidmatan penerbangan penumpang akan berkurangan kepada 54.3 juta hingga 56.0 juta. Ini bersamaan negatif (-) 48.7% hingga -50.3% pada 2020.
Kadar ini jauh lebih rendah berbanding tahun lalu. Pada 2019, kadar penumpang ialah 109.2 juta.

Berapa lama tempoh pemulihan?
Syarikat penerbangan dijangka memerlukan tempoh masa antara 18 bulan bagi sektor domestik. Bagi sektor penerbangan antarabangsa pula, ia dijangkakan memerlukan tiga tahun untuk pulih sepenuhnya dari impak wabak Covid-19.

Bagaimana dengan kerugian ditanggung syarikat penerbangan tempatan akibat pandemik?
Maklumat ini adalah sulit dan tidak dapat didedahkan kepada umum buat masa ini. Bagaimanapun, AirAsia Group Bhd. dalam kenyataan kepada Bursa Saham Malaysia sebelum ini memaklumkan mereka mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM803.85 juta bagi suku pertama yang berakhir 31 Mac 2020, berbanding keuntungan bersih sebanyak RM96.09 juta dalam tempoh sama tahun lepas.

PERLUKAH BAIL
OUT MALAYSIA AIRLINES?

Adakah Malaysia Airlines (MAS) mengalami kerugian teruk? Perlu bail out?
Pada masa ini, kerajaan tidak akan terlibat dalam pelan menyelamatkan mana-mana syarikat penerbangan komersial. Ini untuk elakkan berlakunya diskriminasi kepada sektor dan syarikat lain yang turut terjejas dengan wabak ini.
Kerajaan tidak mempunyai sebarang pegangan saham dalam Malaysia Aviation Group Berhad (MAGB) dan Malaysia Airlines Berhad (MAB). Maka sebarang cadangan pemulihan dan penstrukturan syarikat tertakluk kepada pertimbangan dan kelulusan oleh Lembaga Pengarah Khazanah.

Apa langkah kerajaan untuk bantu industri penerbangan bangkit semula?
Kerajaan melalui Pakej Rangsangan Ekonomi pada Februari 2020 berse­tuju antara lain supaya Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) mengurangkan caj pendaratan dan parkir pesawat melalui mekanisme kontra.
Di samping itu, semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bermula pada 10 Jun 2020 hingga 31 Ogos 2020, lebih banyak kelonggaran diberikan. Ini termasuk kebenaran melakukan perjalanan rentas negeri dan pengecualian penjarakan sosial dalam pesawat bagi semua perkhidmatan penerbangan berjadual dan tidak berjadual.

DASAR REIT OLEH KERAJAAN PAKATAN HARAPAN (PH)

Bagaimana dengan cubaan PH racik saham MAHB guna kaedah Dana Amanah Pelaburan Hartanah (REIT) kepada syarikat swasta?
Saya sudah dapat satu pembentangan lengkap daripada pihak MAHB. Ya betul, MAHB satu syarikat yang disenaraikan dalam Bursa Saham Kuala Lumpur. Tapi kalau kita lihat, ia lebih kepada pegangan institusi.
Ia daripada pemilikan asing, adalah berbentuk syarikat. Syarikat ini tidak tertumpu kepada satu, ia asing-asingkan. Termasuk model ini akan digunakan yang mana tiadalah so called kita pakai REIT yang memungkinkan aset negara dikawal pihak swasta. Sebaliknya kita asingkan.

Adakah Perikatan Nasional akan teruskan dasar REIT diusulkan PH?
Setakat ini, tidak ada rancangan ini. Dan saya tidak tahu bagaimana timbul idea PH nak buat REIT.
Tapi bagi kita, dalam keadaan Covid-19, MAHB memang berdepan kesukaran. Setiap tahun pengoperasian airport ini berjumlah RM2 bilion. Jadi dalam keadaan sukar ini, kita kena gunakan kaedah yang lebih dinamik untuk dapatkan dana.
Lagipun pandemik ini akan berlanjutan mungkin lagi tiga hingga empat tahun, sebelum pulih seperti sedia kala. Itu kita memang sedar, kita buat dengan cara terbaik demi memelihara kepentingan kita.

Bagaimana pengoperasian MAHB di bawah Perikatan Nasional sekarang?
Setakat ini pengoperasian MAHB masih seperti biasa dan kita anggap itu sebagai satu aset penting negara yang sangat strategik. Maka dari segi pemilikan dan ekuiti, memang tetap pada kita yang mana Khazanah sebagai peneraju dibantu beberapa institusi pelaburan GLC. Mereka sudah melebihi separuh, jadi controlling stake masih pada kita.
Dulu ada ura-ura kerajaan dahulu hendak jual kepada pihak tertentu, itu tidak jadilah (di bawah Perikatan Nasional). Jadi kita ada perkongsian bestari melalui Perjanjian Operasi, yang sedang dalam peringkat memuktamadkan supaya ada lanjutan tempoh pajakan kepada MAHB supaya mereka boleh buat perancangan lebih jauh, dan mereka juga boleh mendapatkan dana dengan lebih bankable. Kalau tidak, susah.

ISU PEMANDU MABUK

Bagaimana isu pemandu mabuk diuruskan?
Rang Undang-Undang (RUU) Pengangkutan Jalan pindaan 2020 telah dibentang, dibahas dan diluluskan oleh Dewan Rakyat pada 26 Ogos lepas. Ia dijangka dibawa ke Dewan Negara untuk dibentang dan dibahaskan pada pertengahan September 2020.
Menyentuh tentang pemandu mabuk, ia terkandung di bawah Seksyen 44, yang dibahagikan kepada dua iaitu, menyebabkan kematian dan menyebabkan kecederaan.
Jika sebelum ini, pesalah di bawah seksyen ini dikenakan hukuman penjara tiga hingga 10 tahun dan denda RM8,000 hingga RM20,000 serta hilang kelayakan lesen sehingga lima tahun jika menyebabkan kematian.
Namun dalam pindaan kali ini, hukuman akan dipertingkatkan. Penjara 10 hingga 15 tahun dan denda RM50,000 hingga RM100,000. Pesalah juga boleh hilang kelayakan lesen sehingga 10 tahun.

ISU ECRL MODAL POLITIK?

Bagaimana status Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL)?
Perubahan jajaran ECRL semasa era pemerintahan PH dulu hanyalah kerana politik. Berita mengenai peruba­han jajaran tersebut timbul semasa tempoh kempen PRK Rantau di Negeri Sembilan.
Menteri Kewangan pada ketika itu Lim Guan Eng membayangkan jajaran ECRL akan melalui Negeri Sembilan. Boleh semak ucapan beliau dalam ceramah di PRK Rantau bertarikh 6 April 2019.
Sehari kemudian, iaitu pada 7 April 2019, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke mengesahkan kenyataan Guan Eng berhubung perubahan jajaran ECRL di bawah pentadbiran PH. Ramai persoal, kenapa ia diumumkan semasa kempen PRK Rantau?

 Bagaimanan projek itu sekarang di bawah Perikatan Nasional?
Saya bukan jenis yang suka mempolitikkan isu yang tidak sepatutnya dipolitikkan. ECRL ini projek infrarakyat untuk memberi manfaat kepada rakyat dan negara. Pada peringkat ini, MOT sedang meneliti semua yang berkaitan ECRL secara terperinci dan menyeluruh.
Kedua, kalau hendak bercakap tentang faktor kewangan semata-mata, tidak juga. Sebab dalam pemerhatian saya, istilah pengurangan kos semasa pentadbiran PH hanyalah retorik.

Boleh ulas lebih lanjut?
Pengurangan kos tidak sama dengan pengurangan skop kerja. Sebab itu kita perlu bandingkan epal dengan epal. Contoh mudah, katakanlah pembaris 30 sentimeter (cm) berharga RM2 manakala pembaris 15cm pula berharga RM1.
Jadi dengan harga RM2 kita boleh dapat pembaris sepanjang 30cm. Tetapi jika kita ada RM2 dan kita membeli pembaris 15cm, janganlah kata ia sebagai penjimatan sedangkan ukurannya tidak sama.
Seperti yang saya katakan, Kemen­terian Pengangkutan akan menilai dan meneliti secara menyeluruh mengenai projek ECRL. Soal kos juga menjadi fokus yang perlu diberi penekanan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN