Terbelakah mangsa gangguan seksual? - Utusan Malaysia

Terbelakah mangsa gangguan seksual?

Gangguan seksual tidak hanya terbatas dalam konteks lelaki terhadap wanita tetapi juga sebaliknya. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Oleh Ku Amirul Faiz Ku Seman

GANGGUAN seksual di tempat kerja merupakan salah satu bentuk diskriminasi yang memberikan kesan kepada persekitaran kerja dan dalam pekerjaan. Ini adalah isu antarabangsa dan bukan hanya terbatas kepada Malaysia semata-mata.

Namun, isu ini kembali meletus apabila media melaporkan tentang gangguan seksual dialami oleh seorang doktor pelatih selain aduan gangguan seksual di firma guaman terhadap pelatih dalam kamar. Terbaru, keputusan Mahkamah Perusahaan dalam kes Loganathan Maniam lwn. Murphy Sarawak Oil Co. Ltd. menyerlahkan lagi isu ini dalam perbincangan di peringkat tempatan. Kes Loganathan ini memberikan satu penanda aras tentang tingkah laku gangguan seksual terhadap pekerja oleh pegawai atasan.

Gangguan seksual tidak hanya terbatas dalam konteks lelaki terhadap wanita, antara rakan sekerja ataupun pegawai atasan terhadap pihak bawahan, tetapi juga boleh melibatkan sesiapa sahaja asalkan perbuatan tersebut berada dalam ruang lingkup definisi gangguan seksual. Definisi gangguan seksual ada dinyatakan dalam Seksyen 2 Akta Kerja 1955 (Akta 265). Gangguan seksual boleh dimaksudkan sebagai satu gangguan berbentuk seksual ditujukan kepada seseorang yang tidak rela dan bersifat menghina ataupun cabul yang timbul dalam pekerjaan. Menurut definisi ini lagi, gangguan seksual boleh timbul dalam bentuk lisan, komunikasi tanpa lisan, visual, bahasa badan atau fizikal yang ditujukan kepada mangsa. Pejabat Buruh Antarabangsa (ILO) pula mendefinisikan gangguan seksual sebagai tingkah laku berteraskan seks (sex-based behaviour) yang tidak diingini dan bersifat cabul kepada mangsa.

SENTUHAN

Kajian Pertubuhan Ikatan Wanita Antarabangsa bagi Institusi Keluarga dan Pendidikan Berkualiti (WAFIQ) pada 2018 menunjukkan sebanyak 43.9 peratus responden yang ditemu bual pernah melihat kejadian gangguan seksual dalam bentuk konotasi (bayangan perkataan), pandangan, gerak tubuh atau komen berlaku di tempat kerja, manakala 33.7 peratus pernah mengalami sendiri.

Sebanyak 39.8 peratus responden pernah melihat gangguan seksual dalam bentuk sentuhan badan yang sengaja dan tidak disenangi berlaku ke atas orang lain di tempat kerja, manakala 32.6 peratus responden pernah mengalami sendiri.

INKUIRI

Terdapat peruntukan khusus tentang gangguan seksual dalam Akta 265 sebagaimana dinyatakan dalam Bahagian XVA iaitu di bawah Seksyen 81A sehingga Seksyen 81G Akta 265. Bahagian ini secara terperinci menggariskan tindakan yang harus dilakukan oleh pengadu apabila berhadapan gangguan seksual, tindakan syarikat dalam mengendalikan aduan dan mengadakan inkuiri serta kuasa Ketua Pengarah Perhubungan Perusahaan dalam mengendalikan aduan tentang gangguan seksual. Syarikat atau majikan mempunyai tanggungjawab statutori untuk bertindak apabila menerima aduan mengenainya.

LALAI

Antara tanggungjawab majikan adalah menjalankan inkuiri terhadap pengadu. Sekiranya tidak menjalankan inkuiri, gagal memaklumkan atas sebab-sebab yang terkandung dalam Seksyen 81B (3) Akta 265, gagal menjalankan inkuiri apabila diarahkan oleh Ketua Pengarah atau gagal menghantar laporan berkenaan inkuiri kepada Ketua Pengarah, majikan boleh disabitkan kesalahan.

Sekiranya majikan disabitkan kesalahan, mereka boleh dihukum denda tidak melebihi RM10,000.

Selain syarikat, Ketua Pengarah juga mempunyai kuasa memastikan aduan gangguan seksual oleh pekerja diberikan perhatian sewajarnya oleh majikan. Malah dalam kes di mana pengadu tidak berpuas hati dengan keputusan atau kelalaian majikan menjalankan inkuiri terhadap aduan gangguan seksual, Ketua Pengarah pula boleh selepas meneliti hal ini, mengarahkan syarikat untuk mengadakan satu inkuiri bagi menyiasat aduan pengadu.

ORANG ATASAN

Bagaimanapun, isu sebenarnya adalah sama ada peruntukan undang- undang sedia ada dalam Akta 265 sudah memadai bagi memberikan keadilan kepada mangsa gangguan seksual. Misalnya dalam kes melibatkan pemangsa merupakan orang atasan, ramai mangsa yang memilih untuk berdiam diri daripada melaporkan kepada jabatan sumber manusia. Bagi syarikat-syarikat kecil yang tiada struktur atau prosedur pula, ke manakah mangsa boleh melaporkan kejadian gangguan seksual ini?

Kekurangan ruang untuk aduan diselesaikan dengan efektif menyebabkan ramai mangsa mengambil pendekatan berdiam diri daripada melaporkan insiden gangguan seksual terhadap diri mereka. Kajian WAFIQ mendapati, dalam kalangan mereka yang menjadi mangsa gangguan seksual, 73.2 peratus mengakui mengalaminya lebih dari sekali. Majoriti responden, iaitu 57.1 peratus tidak membuat aduan secara rasmi dengan alasan seperti berikut: tidak berasa sebarang tindakan akan diambil (46.7 peratus), tidak mengetahui cara melaporkan (13.3 peratus), takut membuat aduan (13.3 peratus) dan takut mendapat malu (11.1 peratus). Keadaan ini tidak wajar berlaku ke atas pekerja memandangkan mereka berhak dilayan sebagai seorang manusia yang mempunyai hak dan kebebasan serta pemeliharaan terhadap maruah diri.

Penulis berharap isu ini dapat diangkat serius dalam komitmen kerajaan untuk membendungnya dengan menggubal suatu akta khusus berkenaan gangguan seksual. Sudah tiba masa masyarakat memandang martabat dan maruah diri sebagai hak yang perlu dipelihara sebaik mungkin.

 

PENULIS ialah pengamal undang-undang dan Ahli Jawatankuasa Pusat Gabungan Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia bagi Proses Semakan Berkala Sejagat (MACSA).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN