KEBIMBANGAN Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Abdul Hamid Bador baru-baru ini mengenai jenayah dadah yang kian ‘menakutkan’ perlu diberi perhatian serius oleh pelbagai pihak. Di mana-mana media massa pun, isu jenayah tidak pernah sunyi. Tatap sahaja akhbar setiap hari, ada pelbagai kes jenayah dipaparkan.
Selain dadah, kes-kes jenayah lain tidak ketinggalan. Ada kisah rompakan bersenjata, penjenayah ditangkap, penjenayah warga asing diburu dan sebagainya. Pokoknya, kita sudah lali dengan berita-berita ini sehingga ada yang menganggap jenayah sudah menjadi perkara biasa dan tidak perlu diberi perhatian sedangkan kita dikelilingi oleh pelbagai risiko.
KPN berharap keanggotaan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik dapat ditambah jumlahnya untuk membendung masalah dadah di negara kita.
Pada masa ini, terdapat 5,000 anggota yang dikira belum mampu menangani dengan berkesan kes-kes dadah. Dadah yang diletakkan sebagai musuh utama negara perlu diberi perhatian sewajarnya, sesuai dengan ranking yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa.
Walaupun pelbagai akta sudah jelas dan hukumannya sangat berat, ia tetap menjadi pilihan penjenayah kerana ramai yang mahu jadi cepat kaya dengan menjual dadah. Oleh hal demikian, usaha menambah jumlah anggota atau pegawai berkaitan jenayah sangat penting untuk mengurangkan kes-kes jenayah.
Bukan hanya dadah, jenayah-jenayah lain boleh dipantau dengan lebih berkesan jika anggotanya ditambah. Pertambahan penduduk termasuk keberadaan warga asing di negara kita menjadikan pelbagai masalah sosial termasuk jenayah kian meningkat.
Masalah menjadi bertambah rumit kerana ada yang menjadikan jenayah sebagai pekerjaan sepenuh masa. Manakala pertambahan pekan-pekan baharu serta kawasan kediaman yang mempunyai lot-lot kedai menjadikan risiko jenayah boleh berlaku di mana-mana sahaja. Jenayah bukan hanya tertumpu di bandar besar, pekan kecil, kampung terpencil malah di jalan raya pun boleh berlaku.
Sehubungan itu, penambahan anggota polis bahagian jenayah sangat penting supaya masalah ini tidak membelenggu masyarakat. Malah, anggota polis berpakaian preman pula mesti diletakkan di kawasan-kawasan berisiko supaya dapat memberi isyarat bahawa jenayah tidak boleh dilakukan sewenang-wenangnya.
Selebihnya, masyarakat mesti peka terhadap kes jenayah dan risiko yang boleh berlaku di mana-mana sahaja, waima di depan rumah sekalipun. Kita mestilah sentiasa berwaspada dan tidak membuka peluang kepada penjenayah melakukan jenayah terhadap kita.
Akhirnya, selaras dengan kemajuan teknologi, masyarakat diharap dapat menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa menerusi telefon pintar mengenai kes jenayah dan kes yang mencurigakan agar boleh disiasat dan diambil tindakan. Kita percaya, kerjasama bagai aur dengan tebing antara pelbagai pihak akan dapat membantu mengurangkan kes jenayah di negara kita.
PENULIS ialah penganalisis sosial dan bekas guru.










