Tak salah berjanji dalam kempen? - Utusan Malaysia

Tak salah berjanji dalam kempen?

Pilihan Raya Negeri Sabah wajar dijadikan iktibar dalam menyekat penularan pandemik Covid-19.. – UTUSAN/FAUZAN AZIMA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Pilihan Raya Ne­ge­ri (PRN) Sabah dijadualkan berlang­sung Sabtu ini bagi memilih 73 anggota Dewan Undangan Negeri (DUN) baharu, sete­lah dibubarkan 30 Julai lalu. Mana-mana parti (atau gabungan parti) yang berjaya memenangi 37 kerusi (majoriti mudah), sudah boleh membentuk kerajaan baharu seterusnya memerintah negeri itu.

Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang menggabungkan Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Parti Bersatu Sabah meletakkan 92 calon.

Warisan Plus terdiri daripada Parti Warisan Sabah (Warisan), Parti Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) dan Pakatan Harapan (PH) juga meletakkan 73 calon. Begitu juga Parti Cinta Sabah (PCS), 73 calon. Lain-lain parti yang meletakkan calon adalah Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) 47, Parti Liberal Demo­kra­tik (LDP) 46, Parti Gagasan Rakyat Bersatu Sabah (Gagasan) 28, Parti Perpaduan Rakyat Sabah (PPRS) 23, Parti Harapan Rakyat Sabah (HR) 5, Parti Kerjasama Anak Negeri (Anak Negeri) 2, Bebas (56) dan Pertubuhan Perpaduan Rakyat

Kebangsaan Sabah (Pertubuhan) serta Parti Kebang­saan Sabah (PKS), masing-masing satu. Kesimpulannya, 447 calon mencuba nasib mereka untuk menduduki 73 kerusi DUN ini.

MENAWAN HATI

Seperti dijangka, menjelang tarikh PRN, janji-janji ditabur oleh pelbagai pihak untuk menawan hati rakyat dan mendapatkan undi mereka.

Sabtu lalu, berita bertajuk Menang di Sabah, kita cepat-cepat buat PRU dalam Utusan Malaysia yang bermaksud andainya GRS menang dalam PRN nanti, Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU 15) akan segera diada­kan, mungkin Januari 2021.

Selanjutnya berita ‘Saya tak mampu janji bulan matahari’ juga dalam Utusan Malaysia pada hari sama, memetik Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai berkata: “Yang saya boleh janji adalah apa yang boleh kerajaan laksanakan.”

Sebelum itu, sewaktu melan­carkan Skim Subsidi Baja dan Racun Padi Bukit, Muhyiddin mengumumkan, kerajaan akan mengembalikan semula RM50 elaun sara hidup nelayan yang telah dipotong oleh kerajaan dalam era pentadbiran PH.

USNO turut menabur janji, rakyat Sabah yang mendirikan rumah tangga buat kali pertama akan menerima hadiah perkahwinan sebanyak RM1,000 andainya parti itu menang dan berjaya memerintah.

PCS yang diketuai oleh Datuk Seri Anifah Aman berjanji akan menubuhkan sebuah kementerian baharu mengenai hal ehwal minyak dan gas bagi meningkatkan sumber ekonomi Sabah. Tambahnya, rakyat tertanya-tanya jika Sabah kaya dengan sumber aslinya, kenapa mereka tetap miskin?

Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal pula berjanji akan meneruskan pembangunan walaupun kerajaan negeri tidak sehaluan dengan Kerajaan Persekutuan di bawah pimpinan Muhyiddin.

Selain itu, Mohd. Shafie juga berjanji akan menuntut bayaran cukai jualan negeri (SST) daripada Petroliam Nasional Berhad (Petronas). Sekiranya bayaran itu gagal dibuat oleh Petronas kepada Sabah, perkara ini akan dibawa ke mahkamah.

Sewaktu berucap di Kota Kinabalu, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah berjanji, masalah capaian internet di Sabah akan ditambah baik. Sehubungan itu, Kerajaan Persekutuan melancarkan projek Gerbang Sabah yang merupakan komponen penting Jalinan Digital Negara (Jendela), baru-baru ini.

LUCU

Saya pernah dengar satu cerita lucu mengenai janji kempen pilihan raya beberapa tahun lalu. Seorang tokoh politik veteran khabarnya ada berkata: “Kita akan bina satu jambatan untuk orang kampung di sini.” Bila ada orang berkata kepadanya: “Kita tak ada sungai di sini.” Ahli politik itu menjawab: “Kalau tak ada sungai, kita akan bina sungai.”

Soalnya, apakah kita tidak ada undang-undang untuk mengawal atau menghalang pelbagai janji ditabur sewaktu berkempen menjelang pilihan raya? Jawapannya perlu dicari dalam Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Akta 5).

Tiga kesalahan besar yang disebutkan dalam Akta 5 itu adalah kesalahan penjamuan (treating) dalam Seksyen 8, kesalahan pengaruh tidak wajar (undue influence) dalam Seksyen 9 dan kesalahan penyogokan (bribery) dalam Seksyen 10.

Selain itu, kesalahan mem­be­lanjakan wang melebihi kadar yang dibenarkan (iaitu RM200,000) di bawah Seksyen 15A.

Mengadakan jamuan (misalnya makan malam atau kenduri) adalah salah di bawah Seksyen 8. Memberi amaran kepada pengundi jika tidak mengundi calonnya, mereka akan masuk neraka atau ditimpa musibah adalah salah di bawah Seksyen 9. Memberi wang atau barangan (seperti minyak motosikal atau kereta) untuk mendorong rakyat mengundinya adalah salah di bawah Seksyen 10.

Janji-janji seorang calon bahawa sekiranya dilantik, dia akan melaksanakan pro­­jek pembangunan yang menguntungkan negeri (negara) atau rakyat, nam­pak­nya tidak termasuk di bawah mana-mana perun­tu­kan yang disebutkan di atas tadi.

DATUK Salleh Buang ialah bekas Peguam Persekutuan di Jabatan Peguam Negara dan bekas Profesor Tamu di Universiti Teknologi Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN