Sabah, Persekutuan perlu bersama - Utusan Malaysia

Sabah, Persekutuan perlu bersama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

AHLI Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), DATUK SERI MOHAMED AZMIN ALI semasa di Sabah, petang semalam menyanggah kenyataan-kenyataan pedas Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal yang dibangkitkan Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) itu sejak empat hari kempen pilihan raya Negeri Di Bawah Bayu itu.

Antaranya, beliau bercakap pasal sentimen ‘Semenanjung’ yang cuba dikelirukan Mohd. Shafie, kepentingan kerajaan Pusat kepada Sabah, kesan ekonomi akibat pandemik Covid-19 serta calon Ketua Menteri.

Kunjungan Menteri Kanan (Perdagangan Antarabangsa dan Industri) itu ke bilik gerakan Pusat Daerah Mengundi (PDM) Tambalang di Kampung Bolong Baru, Tuaran diiringi calon Perikatan Nasional (PN) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sulaman, Datuk Seri Hajiji Noor.

Program turut dihadiri wartawan Utusan Malaysia, ZULKIFLI JALIL, HADI AB. MANAP dan jurugambar SHIDDIEQIIN ZON.

Berikut sedutan ucapan Mohamed Azmin:

HAK ORANG SABAH, NEGERI, PERSEKUTUAN

Pilihan raya (negeri Sabah) kali ini (ke-16), ia berlangsung belum pun sampai satu penggal. Sedangkan dalam pilihan raya lalu, rakyat Sabah telah pun memberi mandat kepada sebuah kerajaan. Maka terbentuklah kerajaan yang dipimpin oleh Mohd. Shafie. Tetapi persoalannya, mengapa baru dua tahun kamu diberikan mandat dan sokongan, rakyat Sabah bangkit semula? Apa yang berlaku baru-baru ini ialah selaku ketua menteri, Mohd. Shafie telah hilang sokongan majoriti untuk beliau kekal sebagai Ketua Menteri Sabah.

Jangan salahkan saya. Ini bila saya datang, oh, ini orang Malaya, orang Malaya balik. Siapa kamu? Sabah adalah sebahagian dari Malaysia dan saya bertanggungjawab untuk melihat kebajikan orang Sabah. Kalau kamu, Mohd. Shafie gagal menjaga kebajikan orang Sabah, serahkan kepada Hajiji. Saya datang hendak mendukung Hajiji. Sakit orang Sabah, sakit juga diri saya. Mohd. Shafie dia faham apa? Sebab itu majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menolak beliau sebagai ketua menteri. Ini kenyataan yang orang Sabah kena tahu. Dia sudah hilang majoriti. Kenapa dia hilang majoriti? Sebab dia gagal sebagai ketua menteri. Sukarkah untuk kita faham?

Sehingga hari ini, masih lagi nak mainkan sentimen Sabah for Sabahan. Orang Semenanjung, orang Malaya, mesti ditolak. Saya hendak beritahu Mohd. Shafie bahawa rakyat Sabah juga ada hak, Kerajaan Persekutuan ada hak, kerajaan negeri ada hak. Ayuh kita bergabung. Hendak harap kerajaan negeri bersendirian tidak boleh. Hendak harap pelabur-pelabur asing datang, kalau tengok Mohd. Shafie jadi ketua menteri, semua lari.

SEMPORNA BELUM SEMPURNA

Semporna pun belum sempurna lagi. Kononnya dia Ketua Menteri Sabah, kononnya dia jaga rakyat Semporna. Pergi tengok Semporna. Sempurna atau tidak? Tidak sempurna. Nama sahaja Warisan tetapi tidak dapat meninggalkan satu warisan yang baik untuk rakyat Sabah. Mengapa tidak kita bekerjasama? Sabah ini sebahagian dari Malaysia. Kalau tidak kerana Sabah, tidak kerana Sarawak, tidak ada Malaysia. Sebab itulah (Tan Sri) Muhyiddin (Yassin) diangkat sahaja menjadi Perdana Menteri, antara agenda pertama beliau selesaikan adalah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) kerana kita mesti selesaikan hak orang Sabah dan Sarawak. Tuan-tuan boleh pergi ke Sarawak sekarang. Orang Sarawak gembira, inilah seorang Perdana Menteri yang benar-benar prihatin kepada rakyat Sarawak. Yang memahami MA63, yang melaksanakan kandungan perjanjian. Sebab itulah Petronas tarik balik samannya. Kerajaan negeri tarik balik samannya. Kerajaan Persekutuan membayar royalti yang sepatutnya kepada rakyat Sarawak, maka Gabungan Parti Sarawak (GPS) hari ini mendukung kerajaan PN.

PARTI WARISAN MELAMPAU

Kalau Sabah mahu lebih makmur dan sejahtera, tolak Warisan sokong PN dalam pilihan raya akan datang. Bukanlah saya marah tapi saya geram. Sudah melampau, kerajaan Sabah di bawah Warisan sudah melampau. Tengok tadi, janji hendak tolong semasa Covid-19, hendak bagi RM300, dapat atau tidak? Tuaran dalam Sabah, Sulaman dalam Tuaran tetapi orang Tuaran sendiri tidak dapat. Bagaimana Perdana Menteri yang berdepan dengan pelbagai krisis, krisis ekonomi, krisis kesihatan dan ini bukan masalah kita sahaja. Ini masalah dunia yang belum pernah kita hadapi. Tetapi kita bersyukur kepada Allah kerana Perdana Menteri yang ada sekarang ini berani dan tegas buat kenyataan. Dia tidak cakap politik walaupun diasak kerana niat dia ialah untuk mengangkat martabat rakyat Malaysia.

PEMBOHONGAN

Bila negara menghadapi Covid-19, kerajaan terpaksa menyuntik sebanyak RM295 bilion. Belum pernah sejarah kewangan Malaysia mencatatkan peruntukan begitu besar yang mewakili lebih 20 peratus daripada Keluaran Dalam Negara kasar (KDNK). Kalau dulu di bawah Pakatan Harapan (PH) yang Mohd. Shafie sokong, dia sokong PH sebab PH cakap dia hendak jadi Perdana Menteri.

Dia syok sendiri. “Aku jadi Perdana Menteri.” Ini pembohong, betul atau tidak? Yang cadang dia jadi Perdana Menteri ialah Tun Dr. Mahathir Mohamad. Masa Dr. Mahathir jadi Perdana Menteri dulu 23 tahun, pernah tidak dia fikir orang Sabah nak jadi Perdana Menteri? Bila ada kuasa, tidak mahu fikir masalah orang Sabah. Sudah hilang kuasa, baru hendak janji macam-macam. Orang Sabah tidak percaya tetapi Mohd. Shafie percaya dia akan jadi Perdana Menteri.

15 JUTA KEMBALI BEKERJA

Bukan Muhyiddin nak tolong tauke-tauke besar, syarikat-syarikat besar. Sampaikan Makcik Kiah pun Muhyiddin fikir juga. Inilah Perdana Menteri yang prihatin rakyat, inilah kerajaan yang peduli masalah rakyat. Kita mahu anak-anak kita ini dalam tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) tidak hilang pekerjaan. Kalau kita tutup semua sektor ekonomi berbulan-bulan, apa akan jadi pada ekonomi kita? Maka apabila Malaysia sudah berjaya tangani Covid-19, Perdana Menteri, saya dan beberapa menteri fikirkan, kita buka sektor ekonomi. Supaya anak kita dapat kembali bekerja. Statistik membuktikan pada ketika tempoh PKP, kadar pengangguran meningkat sehingga 5.4 peratus. Tetapi apabila kita suntik RM295 bilion, ia menurun kepada 4.9 peratus. Dan yang terbaru minggu lepas, turun lagi kepada 4.4 peratus. Bermakna 15 juta tenaga kerja dalam negara kita telah kembali bekerja.

Mengapa para pelabur tidak mahu datang ke Sabah? Sebab Warisan ada di sini. Kalau tuan-tuan mahu anak-anak kita mendapat pekerjaan yang baik, pelaburan bernilai tinggi masuk ke Sulaman, ke Tuaran dan ke Sabah, maka kita sokong PN. Ada atau tidak Hajiji cakap tadi kita tolak orang Selangor? Kita tolak orang Semenanjung? Ada atau tidak? Ini pemikiran yang jumud, otak yang semput, yang dah reput. Kita mahu seorang pemimpin yang berjiwa besar sebagai ketua menteri. Kita mahu bekerjasama dengan Persekutuan. Sebab pelabur-pelabur hendak masuk ke sesebuah negeri kena dapat kelulusan daripada Persekutuan. Menteri yang jaga pelaburan, yang berdiri di depan ini. Hendak dapat insentif, pelbagai bentuk bantuan, Kerajaan Persekutuan yang luluskan. Hendak tingkatkan royalti, Kerajaan Persekutuan perlu membuat perbincangan dengan Petronas.

WAWASAN KEMAKMURAN BERSAMA

Satu lagi yang saya hendak beritahu, Perdana Menteri juga melancarkan Wawasan Kemakmuran Bersama. Ini dasar kerajaan PN. Kerajaan Persekutuan mahu kemakmuran negara, kekayaan negara ini mesti dikongsi secara bersama. Kita tidak mahu hanya di Kuala Lumpur. Kita tidak mahu hanya di Lembah Klang. Kita tidak mahu di Pulau Pinang sahaja. Kemakmuran negara mesti dibawa ke Sulaman, ke Tuaran dan Sabah. Kerana ini adalah hak rakyat Sabah. Muhyiddin melancarkannya bukan kerana pilihan raya negeri Sabah tetapi ketika beliau Menteri Dalam Negeri dan saya Menteri Hal Ehwal Ekonomi. Kami duduk bincang dan gubal satu dasar yang bertujuan mengagihkan kekayaan secara adil dan saksama. Inklusif makanya melibatkan semua daerah, semua wilayah, semua kelas pendapatan agar rakyat Malaysia termasuk rakyat Sulaman akan hidup, aman, makmur dan sejahtera.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN