Oleh Zulkifli Hasan
Beberapa negara seperti United Kingdom, Australia dan Jepun mengisytiharkan secara rasmi memasuki fasa kemelesetan ekonomi.
Malaysia juga dijangkakan menghadapi senario sama kesan daripada wabak Covid-19. Faktor ekonomi ini pastinya memberi kesan signifikan kepada peluang pekerjaan, seterusnya meningkatkan pengangguran. Isu pengangguran ini merentasi sektor dan seluruh lapisan masyarakat termasuk graduan.
Statistik menunjukkan kira-kira sejuta orang memerlukan pekerjaan pada tahun ini di mana 350,000 daripadanya adalah graduan, ditambah 200,000 pekerja tempatan di luar negara yang terpaksa pulang ke tanah air kerana hilang pekerjaan.
Graduan institusi pengajian tinggi (IPT) juga dijangka berdepan isu sama dan kadar kebolehpasaran yang baik sebelum ini akan menurun secara signifikan pada tahun ini.
Kerajaan melaksanakan beberapa inisiatif untuk menangani isu pengangguran dalam kalangan graduan. Antaranya Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) berjumlah RM100 juta yang diperuntukkan untuk program latihan dan penempatan pekerjaan, keusahawanan dan ekonomi gig. Kerajaan menyasarkan 18,000 graduan akan terlibat dalam pelan ini.
KERJAYA
Namun begitu, usaha menangani isu ini perlu ditangani secara holisitik merangkumi perancangan jangka panjang dan pendek, juga aspek akademik dan kokurikulum.
Program pembangunan kemahiran bagi maksud kerjaya dan keusahawanan menyeluruh perlu bermula awal dari peringkat sekolah sehinggalah IPT. Mahasiswa perlu didedahkan dan dibiasakan dengan kepentingan merancang kerjaya dan masa hadapan menerusi kaedah dan pendekatan efisien seperti personal development plan e-portfolio yang merekodkan pencapaian, pelan dan perancangan meningkatkan kemahiran termasuk penyediaan vitae kurikulum (CV) yang komprehensif dan bersifat evidenced-based.
PERSONALITI
Selain itu, karnival kerjaya, temuduga mega, gap year, penempatan, praktikum, festival keusahawanan, business start-up dan lain-lain dasar di peringkat pengajian tinggi juga perlu menyeluruh di samping mewujudkan suasana ramah dengan pemain industri dan mesra keusahawanan. Dengan keterlibatan ini, usaha-usaha menempatkan mahasiswa di industri akan dapat dipertingkatkan secara signifikan. Pihak industri dan usahawan perlu dilibatkan bukan sahaja dari aspek kokurikulum tetapi juga akademik. Perlu diingatkan, keterlibatan pihak industri tidak bermakna mereka akan menentukan hala tuju dan kandungan program tetapi lebih kepada pendekatan employer-informed berbanding employer-led.
Mahasiswa bukan sahaja perlu dilengkapkan dengan kemahiran yang diperlukan pasaran tetapi juga mempunyai personaliti seimbang dari aspek jasmani, emosi, rohani dan intelektual seiring dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
Mungkin aspek lain yang perlu diberikan perhatian ialah penglibatan komuniti dan sektor masyarakat sivil atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Sememangnya tidak dapat dinafikan perkembangan sektor masyarakat sivil ini membuka ruang pekerjaan dan peluang beraktivisme. Kini semakin ramai individu menceburi dunia kesukarelawanan dan kemanusiaan serta menjadikannya sebagai kerjaya.
KESATUAN PELAJAR
Dimensi lain yang boleh dilihat juga ialah peranan kesatuan pelajar atau majlis perwakilan pelajar (MPP). Umumnya amalan sebelum ini, kesatuan pelajar dan MPP berlegar di sekitar kebajikan dan menguruskan program serta aktiviti pelajar. Merujuk kepada amalan kesatuan pelajar di luar negara yang memainkan peranan penting dari aspek kebolehpasaran graduan, sudah sampai masanya kesatuan pelajar dan MPP juga meneroka fungsi mereka dalam aspek ini.
BERNIAGA
Kerjasama antara IPT, pihak industri dan agensi kerajaan dengan kesatuan pelajar dan MPP pastinya akan membuka dimensi baru aktivisme pelajar. Sebagai contoh dari aspek keusahawanan, polisi memberi keutamaan kepada mahasiswa untuk berniaga di kampus boleh dijadikan polisi dan dilaksanakan.
Beberapa universiti sudah melaksanakan perkara ini dengan polisi Green Lane yang memberikan beberapa keistimewaan dan insentif kepada pelajar untuk memulakan perniagaan. Kesatuan pelajar boleh membawa idea kepada pengurusan IPT untuk memperuntukkan peratusan tertentu kepada mahasiswa menjalankan perniagaan dan cadangan insentif yang bersesuaian agar mereka boleh bersaing dengan peniaga-peniaga lain di dalam dan luar kampus.
IPT juga perlu meneroka dan mempergiatkan kerjasama bersama alumni bagi membantu kebolehpasaran dan potensi keusahawanan. Kejayaan dan kegemilangan banyak universiti terkemuka dunia adalah kerana peranan alumni. Alumni boleh dilibatkan secara rasmi dan tidak langsung seperti ahli lembaga penasihat hal ehwal keusahawanan dan kerjaya. Usahawan alumni boleh memberi panduan dan bimbingan kepada mahasiswa dari aspek perniagaan bahkan berpotensi menyuntik dana awal untuk mereka memulakan perniagaan. Manakala alumni yang memegang jawatan strategik mampu membuka ruang jaringan kepintaran bagi mendekatkan mahasiswa dengan industri.
Mungkin antara aspek yang kurang diberikan perhatian ialah kebolehpasaran graduan orang kurang upaya (OKU). Seiring dengan Dasar Satu Peratus OKU Di Perkhidmatan Awam, program sebegini perlu dipertingkatkan merentasi sektor swasta, korporat dan masyarakat sivil. Peruntukan khas Penjana misalnya mesti ada memperuntukkan program kebolehpasaran graduan OKU.
Dasar inklusif ini serba sedikit akan dapat membela nasib dan masa hadapan graduan OKU.
IR 4.0
Revolusi Industri (IR) 4.0 dan wabak Covid-19 memberikan implikasi sangat signifikan kepada graduan dari aspek peluang pekerjaan dan keusahawanan berikutan keadaan ekonomi yang tidak menentu. Namun, cabaran dan liku-liku yang dihadapi adalah sangat besar malahan lebih hebat berbanding yang lalu. Oleh itu, semua pihak meliputi kerajaan, IPT, kesatuan pelajar, alumni, pihak industri dan NGO perlu mengembeleng tenaga menangani isu ini secara kolektif dan berhikmah. Perbezaan ideologi dan fahaman politik perlu diketepikan dan semua perancangan yang membawa manfaat perlu dilaksanakan demi menjamin masa depan lebih baik kepada graduan khususnya.
PENULIS ialah Timbalan Rektor (Pembangunan Pelajar dan Penglibatan Komuniti), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).










