Masih banyakkah sarjana yang tetap ghairah menghasilkan buku ilmu pengetahuan walaupun menerima bayaran royalti rendah? Buku ilmu pengetahuan mempunyai lingkungan pembaca khas yang jumlahnya relatif kecil jika dibandingkan dengan pembaca novel popular umpamanya.
Akan tetapi, buku ilmu pengetahuan tetap diperlukan dalam usaha memandaikan bangsa dan demi masa depan negara yang lebih baik.
Malangnya, jumlah cetakan buku ilmu pengetahuan di negara kita biasanya tidak banyak. Kadar royalti kepada penulis pula sekitar 10 peratus daripada harga jualan. Biasanya, bayaran royalti kepada penulis diberi setelah buku dijual dan penulis menerima penyata jualannya setahun sekali. Kadar royalti berbeza-beza antara sebuah penerbit dengan penerbit lain. Ada yang memberi kadar antara 10 hingga 15 peratus untuk buku kulit keras dan antara lima hingga 7.5 peratus untuk buku kulit lembut.
Penyata jualan berkala pula didatangkan dalam bentuk list royalties atau retail royalties.
Menulis buku ilmu pengetahuan tidaklah mudah. Ia memerlukan penyelidikan, termasuk isu-isu baharu dalam sesuatu bidang. Penulisannya pula memerlukan penggunaan laras bahasa yang sesuai serta istilah tepat. Susunannya pula harus mematuhi anatomi sebuah penulisan buku ilmu pengetahuan. Justeru, tempoh penghasilannya mengambil masa yang lama.
Katakanlah sebuah buku ilmu pengetahuan dijual pada harga RM30. Ini bererti jika penulis diberi kadar 10 peratus royalti, penulis akan menerima RM3 daripada setiap naskhah buku terjual.
Apabila bukunya terjual 500 naskhah, penulis baru mendapat RM1,500. Untuk bukunya terjual 500 naskhah, mungkin mengambil masa berbulan-bulan. Malah, mungkin akan mengambil masa setahun atau lebih.
Jadi, masih banyakkah sarjana yang tetap ghairah menghasilkan buku ilmu pengetahuan walaupun menerima bayaran royalti yang rendah? Atau industri penerbitan buku ilmu pengetahuan kita, sesuai dengan norma baharu sekarang, sebenarnya memerlukan suatu kaedah bayaran yang baharu kepada para penulis buku ilmu pengetahuan?
INTELEKTUAL
Penulisan buku ilmu pengetahuan termasuk dalam jenis ciptaan fikiran yang hak eksklusif pada pengarangnya diakui di bawah bidang undang-undang harta intelektual. Jenis ciptaan fikiran yang lain termasuklah karya muzik, karya seni, penemuan dan ciptaan, rekaan simbol serta reka bentuk.
Terdapat suatu pernyataan dari aspek undang-undang yang agak piawai tentang perkara ini, terutama penerbitan dalam bentuk buku termasuk buku ilmu pengetahuan. Pernyataan tersebut melarang pihak ketiga daripada mengeluar ulang mana-mana bahagian artikel, ilustrasi dan isi kandungan buku dalam apa juga bentuk dan dengan cara apa jua, sama ada secara elektronik, fotokopi, mekanik atau rakaman.
Jika pihak ketiga mahu memasuki batas larangan di atas, syarat yang biasa disebut ialah kesediaan pihak ketiga untuk berbincang dengan penerbit dan bersetuju dengan kadar bayaran royalti atau honorarium yang ditetapkan. Ini kerana di bawah undang-undang harta intelektual, penulis atau pencipta asal layak menerima pendapatan daripada karyanya, termasuk setiap kali karya tersebut diolah menjadi penerbitan lain.
Begitu penting aspek harta intelektual ini menyebabkan kerajaan menubuhkan Perbadanan Harta Intelek Malaysia. Dengan melindungi sesuatu hak cipta, bukan sahaja pencipta berasa selamat daripada manipulasi atau ciplakan, malah memberi keyakinan kepada pihak lain termasuk dari luar negara untuk meneroka dan mengembangkan apa jua ciptaan fikiran ke dalam pelbagai platform.
MARTABAT
Buku ilmu pengetahuan seperti ciptaan-ciptaan yang lain dapat meningkatkan tahap inovasi dan ekonomi berasaskan pengetahuan di negara ini. Begitu tinggi martabat orang yang berilmu pengetahuan kerana mereka boleh memberikan pendapat bernas lagi rasional, menghasilkan produk serta perkhidmatan berkualiti untuk kegunaan domestik dan antarabangsa.
Namun, sekiranya kita masih dibelenggu stigma kurang menghargai sumbangan ilmuwan yang mengasilkan buku-buku pengetahuan, kita belum layak mendabik dada untuk meningkatkan inovasi serta ekonomi berasaskan pengetahuan.
Sehubungan itu, wajar kita memikirkan semula kaedah pemberian imbuhan kepada penulis buku ilmu pengetahuan di negara ini. Kadar royalti yang rendah, berdasarkan naskhah terjual dan dibayar secara tahunan merupakan kaedah lama, sekali gus merendahkan martabat para ilmuwan.
Bukanlah materialistik menjadi tujuan utama kerana tidak ada neraca yang dapat memposisikan pengetahuan dengan ringgit pada garis yang betul-betul seimbang. Akan tetapi sudah sampai masanya diwujudkan semacam ‘dana pengembangan ilmu pengetahuan’. Daripada dana ini, disalurkan jumlah imbuhan yang sangat berpatutan kepada para penulis buku ilmu pengetahuan, sesuai dengan kepakaran serta darjat mereka.
DATUK Dr. Anwar Ridhwan ialah Sasterawan Negara, kini bertugas sebagai Pensyarah Kanan di Fakulti Penulisan Kreatif dan Filem, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara).










