SEHINGGA hari ini, perkhidmatan feri meskipun sudah berusia 126 tahun masih kekal menjadi pilihan dan mod pengangkutan popular di Pulau Pinang. Dalam kalangan penduduk tempatan, kebanyakannya lebih selesa memilih untuk menyeberang sama ada dari bahagian tanah besar atau pulau dan sebaliknya menggunakan feri.
Bagi pelancong pula, kunjungan ke negeri ini dirasakan tidak lengkap jika tidak merasai pengalaman menaiki feri sekalipun terpaksa beratur panjang untuk menggunakan perkhidmatannya.
Meskipun terdapat dua buah jambatan yang menghubungkan tanah besar dan pulau ketika ini, feri yang sudah beroperasi sejak 1894 tetap akan menjadi pilihan popular. Disebabkan itu, usaha menaik taraf dan transformasi perkhidmatan feri dilihat satu keperluan mendesak dan perlu disegerakan.
Ketika ini, terdapat kira-kira enam buah feri beroperasi menghubungkan antara jeti Weld Quay, Georgetown dan Pangkalan Raja Tun Uda, Butterworth dengan kekerapan antara 30 minit hingga satu jam.
Feri sedia ada dipercayai digunakan sejak 1970-an lagi dan hanya diselenggara untuk memastikannya beroperasi tanpa sebarang masalah.
Sudah semestinya, feri sedia ada tidak lagi sesuai digunakan sebagai mod pengangkutan utama apatah lagi ketika sektor pelancongan di Pulau Pinang terus berkembang dan kemasukan pelancongan semakin meningkat.
Masalah akan menjadi lebih nyata dan buruk ketika waktu puncak atau musim cuti yang mana pelbagai rungutan berkenaan perkhidmatan feri boleh didengari daripada orang ramai.
Sebab itu apabila wujud cadangan untuk memperkenalkan teksi air atau bot jenis katamaran sebagai penyelesaian, ramai yang teruja dan berharap ia menjadi kenyataan. Selain lebih moden, cekap dan menjimatkan masa, penggunaan bot jenis itu juga diyakini lebih selamat dan selesa kepada pengguna.
Sebagai alternatif bagi memastikan perkhidmatannya kekal menjadi imej dan identiti kepada Pulau Pinang pula, feri sedia ada mungkin boleh dikekalkan tetapi dengan tujuan mempromosikan pelancongan negeri.
Begitupun, proses menaik taraf perkhidmatan feri perlu dilakukan secara teliti dan berhati-hati dengan jaminan tidak boleh menyusahkan pengguna.
PENULIS ialah Koresponden Utusan Malaysia Pulau Pinang.










