Ketum, oh ketum... - Utusan Malaysia

Ketum, oh ketum…

DAUN pokok ketum matang yang dijumpai dalam Op Benteng di sempadan Malaysia-Thailand. – UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Oleh M. Jasni Majed

KETUM bukan perkara baharu. Penemuan beberapa hektar tanaman ketum di Kedah, Isnin lalu tidaklah mengejutkan sangat. Benda ini sudah lama. Isu ketum kerap muncul di media massa, sama ada penangkapan kes ketum, budak-budak khayal ketum atau penemuan kawasan ketum.

Menurut pemilik kebun ketum, sudah lama tanaman itu diusahakan dan hasilnya sangat lumayan. Permainan tarik tali tentang ketum tambah menarik perhatian. Ada pihak yang mahu tanaman ini diharamkan sehingga sesetengah penanam ketum di Kedah, Perlis dan beberapa negeri lain takut menanam ketum, bimbang kena tangkap dan didakwa.

Sudah banyak kes tangkapan dibuat, sudah banyak jumlah wang denda dikumpul kerana tanaman ini. Penanam ketum juga sudah kenyang dengan hasil tanaman ini, apatah lagi daunnya dikatakan berkhasiat untuk merawat beberapa jenis penyakit.

Di kampung saya dahulu, ketum bukan popular sangat. Semasa masih kecil, saya kenal ketum sebagai daun biak. Orang tua-tua di kampung saya minum air daun ini. Daunnya dijemur sampai kering, kemudian rebus dan airnya diminum. Pesawah meminumnya untuk menambahkan tenaga kerana kerja sawah zaman dahulu guna tulang empat kerat sepenuhnya. Tidak pernah pula saya dengar ada yang pening, mabuk atau mati kerana minum air daun ini.

KEPALA PUSING

Namun zaman sekarang, budak-budak yang tidak buat kerja apa pun minum air ketum. Budak-budak rempit pun minum walaupun bukan banyak sangat tenaga yang hendak dipakai. Masalah menjadi bertambah rumit apabila mereka campur itu dan ini dengan air ketum. Mengikut cerita, kepala naik pusing dan khayal.

Jika tidak dicampur dengan apa-apa, barangkali fungsi ketum sebagai ubat tetap kekal. Kambing, lembu dan kerbau, jika makan seranting daun ketum pun tidak jadi apa-apa kerana binatang-binatang ini tidak campur apa-apa. Dalam novel Interlok karya Abdullah Husain yang menjadi kontroversi sedikit masa dahulu, dijelaskan sedikit tentang apa yang saya katakan tadi.

Oleh sebab permintaan terhadap daun ketum sangat tinggi terutama dari Thailand, terdapat ramai penanam pokok ketum. Harganya mahal mengalahkan padi. Oleh sebab itu, ramai yang menjadikan sawah padi sebagai tempat menanam pokok ketum. Modalnya tidak banyak seperti tanaman padi. Hasilnya boleh dipetik bila-bila masa apabila sudah matang. Ia berbeza dengan padi, enam bulan sekali. Malah pelbagai risiko pula terpaksa dihadapi seperti kemarau, banjir dan serangan penyakit.

BABAK DRAMA

Berdepan dengan soal ketum, pihak berkuasa mesti tegas dalam pelbagai perkara. Pertama, dari segi penguatkuasaan undang-undang selepas akta mengenainya sudah jelas. Usaha untuk meletakkan ketum ke dalam Akta Dadah Berbahaya belum berjaya. Masih ada pihak yang mahu mengekalkan tanaman ini untuk tujuan perubatan dan kajian.

Kedua, jika kerajaan memutuskan tanaman ini lebih banyak bahaya setelah diambilkira kesukaran mengawalnya, pemantauan dan tindakan ke atas penanam-penanamnya mesti dibuat secara berterusan agar jumlahnya dapat dikurangkan dan dihapuskan sama sekali. Malah usaha untuk menanamnya tidak cuba dilakukan.

Iklan di media massa tentang ketum mesti diberi perhatian. Tidak cukup dengan paparan hanya menerusi slot babak drama yang menunjukkan kesan negatif ketum. Penjelasan mengenai bahaya ketum mesti disiarkan di media massa elektronik dengan harapan tanaman ini dapat dihapuskan, jika benar ia hendak dihapuskan. Bukan hanya selepas berlaku insiden yang ‘menggemparkan’ negara, kemudian barulah kita hendak duduk berbincang siang-malam dengan segala macam forum dan sebagainya mengenai ketum.

PENULIS ialah penganalisis sosial dan bekas guru.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN