Mukadimah
SELEPAS cuba ‘lari’ daripada diburu media, bekas Menteri Besar Johor, DATUK OSMAN SAPIAN akhirnya berjaya ditemui untuk memberi penjelasan berhubung satu video tular membabitkan nama beliau, baru-baru ini.
Ia melibatkan satu rakaman video dipercayai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas itu yang berkempen untuk calon Bebas, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi semasa Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim, baru-baru ini.
“Ya, jadi benarlah saya dalam video itu. Saya ingin menunjukkan ketidakpuasan hati jika ingin disimpulkan, mengapa saya berbuat begitu,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini, ketika ditanya mengenai kesahihan video tersebut.
Kepada wartawan, JUANI MUNIR ABU BAKAR, Osman juga menjelaskan tentang kedudukan beliau sebagai wakil rakyat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam sidang DUN Johor, esok (10 September).
UTUSAN: Apa penjelasan Datuk tentang video itu?
OSMAN: Pada saya ini asam garam politik. Sebagai ahli parti, saya menerima apa yang parti kenakan kepada saya. Seperti sebelum ini, parti melantik saya sebagai Menteri Besar dan menjadi calon sebelum itu, saya terima dan jalankan tugas sebaik mungkin.
Kalau apa-apa parti hendak kenakan, saya terima sahaja sebagai ahli. Ini tidak bermakna jika saya tidak pegang sebarang jawatan dalam parti, hidup saya akan berakhir. Macam dulu, saya pernah keluar UMNO dan kemudian masuk Bersatu. Bermula sebagai Setiausaha Negeri dan kemudian Pengerusi, saya telah jalankan tugas dengan baik.
Bagaimanapun, kalau kita hendak menghukum seseorang, kena tengok dari segi sebab dan apa jasanya. Jangan fikirkan kita sudah berkuasa, sewenang-wenang boleh buat jasa itu dilupakan begitu sahaja.
Yang keduanya, Bersatu sudah menyeleweng dan lari daripada perjuangan asal walaupun ada surat pekeliling daripada setiausaha agung yang mengatakan tidak menyeleweng. Maksudnya, ura-ura nak diubah Pelembagaan Bersatu semasa perhimpunan agung khas memang benar bagi membolehkan bukan Melayu menyertai parti. Tindakan ini sudah lari daripada perjuangan asal parti.
Selain itu, Presiden (Tan Sri Muhyiddin Yassin) bawa keluar Bersatu dan bergabung dengan parti yang kalah iaitu UMNO dan menubuhkan Perikatan Nasional (PN) yang tidak wujud lagi.
Sekarang hendak bawa masuk Muafakat Nasional (MN) pula.
Lagipun saya lihat orang dalam MN pun menolak Bersatu, jadi di mana hala tuju mereka? Mengapa saya buat macam ini? Saya buat supaya ada kesedaran dalam kepimpinan Bersatu. Macam saya lihat pemimpin UMNO asyik menggasak sahaja Bersatu. Ada yang cakap parti kecil, Bersatu ini menempel, tidak wajar diberikan kerusi. Mengapa orang dalam Bersatu diam? Tetapi kita sibuk pula hendak mempertahankan UMNO.
Saya tidak nampak pemimpin Bersatu mengadakan sidang akhbar untuk meminta perkara itu dihentikan. Kita dalam satu keluarga, mengapa hendak mengutuk? Kalau kita adik-beradik, seburuk mana sekalipun, kita tidak akan kutuk tetapi kita senyap sahaja. Jadi, kita dalam Bersatu kena bersuara.
Tetapi mengapa tidak ambil tindakan terhadap UMNO yang selama ini menggasak Bersatu, sedangkan kita beri nyawa kepada mereka? Kalau saya buat, macam-macam cakap terhadap saya.
Kalau UMNO buat, semua senyap sahaja. Adakah sudah dibeli oleh UMNO? Dah dapat dedak ke? Ini persoalannya. Jadi, biarlah saya seorang yang menjadi mangsa dalam menyuarakan ketidakpuasan akar umbi yang tidak ada ruang bercakap.
Datuk masih sayangkan Bersatu?
Ya. Sudah tentu sebab saya antara orang yang mengasaskan dan memperjuangkan Bersatu. Daripada tiada orang (ahli) sehingga ada orang. Saya terpaksa korbankan masa, tenaga dan wang ringgit. Saya tidak mahu mengungkit, tetapi biarlah berpada. Jika saya bising, maka ramai bising terhadap tindakan saya. Tetapi bila orang UMNO cakap, semua senyap. Ini tidak adil.
Jadi, benarlah saya dalam video itu. Saya ingin menunjukkan ketidakpuasan hati jika ingin disimpulkan mengapa saya berbuat begitu.Saya pergi berkempen untuk calon Bebas, bukannya calon parti lain seperti Parti Amanah Negara (Amanah) dan sebagainya. Tetapi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pergi berkempen untuk Barisan Nasional (BN) sedangkan kita tiada dalam BN dan MN.
Ia seolah-olah kita menyokong pembangkang sebab kita belum diterima seperti mana kata Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi (Presiden UMNO), kita sokong kerajaan pada hari ini atas individu atau ahli Parlimen, bukannya parti.
Saya sokong calon Bebas. Nasib baik hari itu dia kalah. Jika dia menang, mana tahu dia masuk Bersatu. Jadi apa salah saya?
Tetapi orang UMNO hari-hari belasah kita, daripada Ketua Pemuda UMNO negeri sehinggalah Ketua Pemuda UMNO Pusat, kita diam dan senyum sahaja. Sudahlah kita bagi nyawa kepada UMNO untuk jadi kerajaan.
Saya bercakap bagi mewakili suara akar umbi yang mendakwa tiada ruang untuk menyalurkan ketidakpuasan hati mereka, sekurang-kurangnya saya bercakap. Ramai yang datang jumpa saya hendak keluar Bersatu. Saya cakap sabar dahulu, saya sendiri pun belum keluar.
Betulkah Datuk ‘meroyan’ baru-baru ini?
Ada orang kata saya ‘meroyan’ sebab kalah dalam pemilihan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT). Saya tidak berkempen pun, saya tidak isi borang. Yang hantar borang itu sesiapa entah tandatangan dan hantar. Pernah nampak saya kempen pergi sana sini? Tiada bukan?
Jadi dakwaan saya ‘meroyan’ bukan sebab saya kalah, ini tidak benar. Saya sudah 42 tahun dalam politik, pahit manis semua dah merasai, dah bertanding empat kali semuanya di DUN Kempas.
Di mana kedudukan Datuk dalam sidang DUN?
Saya masih di sebelah Tan Sri Muhyiddin Yassin (ADUN Gambir), yakni masih kerusi Bersatu. Melainkan sebelum 10 September ini (esok) saya dipecat, maknanya saya kena duduk di kerusi Bebas atau umumkan ke parti lain. Tidak tahu. Wallahualam.
Tetapi kalau saya tidak dipecat, kerusi saya masih di sebelah Tan Sri Muhyiddin. Keputusan terserah kepada parti. Terpulang kepada mereka, kuasa bukan di bawah saya.
Boleh Datuk jelaskan dakwaan jumpa pemimpin PH?
Saya tidak mahu dedah. Cuma saya ingin cakap, ada jumpa berbincang perkara biasa umpamanya politik semasa. Keduanya, tentang sidang DUN pada 10 hari bulan ini (esok). Ketiganya, sudah lama tidak berjumpa sebab masing-masing sibuk, Covid-19 dan sebagainya.
Apa pendapat Datuk jika DUN terbubar?
Itu terpulang kepada Menteri Besar selepas mendapat restu Sultan Johor. Apa-apa terpulang kepada budi bicara dia, saya tiada kuasa.
Jika jadi wakil rakyat Bebas, Datuk pilih parti mana?
Ibarat lelaki duda, suka hati saya hendak pilih (wanita)mana.
Pandangan Datuk terhadap kerajaan PN Johor?
Kalau kita cakap ekonomi sekarang merosot, mesti dia kata bukan tidak berwibawa tetapi kerana Covid-19. Tetapi kita tidak boleh jadikan masalah Covid-19 seratus peratus, perancangan untuk ke hadapan mesti ada sebagaimana saya buat dahulu, lapan teras pembangunan dan itu kena teruskan.
Namun saya lihat pemerintahan dalam PN ini lebih menitikberatkan soal hendak mencari kekuasaan untuk memperkasakan UMNO, bukan hendak melihat permasalahan Covid-19 yang masih ada ini. Melantik ahli majlis, buang bekas ahli-ahli Bersatu yang pernah menjadi ketua kampung.
Perkara ini saya pernah bawa kepada Perdana Menteri supaya ditubuhkan satu jawatankuasa induk untuk menilai prestasi dan membincangkan jawatan-jawatan di mana PN perlu lihat secara adil. Contohnya, Penyelaras DUN kita ada 27 DUN sedangkan kita (Bersatu) ada 11 dan UMNO ada 16. Ini yang timbulkan ketidakpuasan hati orang bawah. Ini yang perlu dititikberatkan. Soal pembangunan perlu difikirkan, banyak orang kena buang kerja.
Kerajaan negeri ada banyak duit, bukan saya tidak tahu kerajaan negeri ada banyak duit. Saya ada tinggalkan empat hingga lima bilion dana rizab. Ia untuk apa? Ia untuk digunakan semasa kecemasan, bukannya disimpan. Tetapi mereka sekarang memikirkan bagaimana untuk memperkukuhkan UMNO dengan melantik ahli majlis, ketua kampung bagi menggerakkan jentera mereka.
Nasihat Datuk kepada Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad?
Jumpalah otai-otai lama supaya kami boleh salurkan buah pemikiran. Jumpa minum kopi di rumah saya, saya belanja. Sekurang-kurangnya dia boleh telefon minta pandangan.
Sekarang apa jadi dengan kita? Kita dianaktirikan. Saya rasa mereka rasa bersalah sebab masa jadi pembangkang, mereka asyik menghentak saya macam bukan kawan.
Tetapi Allah Maha Kuasa, akhirnya mereka segan sendiri sebab kita sudah dalam satu kerajaan sama.










