Mengikuti isu pendidikan nasional, ramai yang menuding jari kepada sekolah vernakular sebagai perosak objektif integrasi kebangsaan. Justeru, saya nak bawa pembaca menghayati makna integrasi yang kini digunapakai dan makna integrasi yang belum dan mungkin sepatutnya digunakan.
Dalam membina sebuah negara daripada 40 kumpulan etnik seperti Melayu, Cina, India, Kadazan, Murut, Bajau, Dayak dan Orang Asli, kita ada dua pilihan. Pilihan pertama adalah membina kurikulum pendidikan yang menegakkan satu nilai budaya kaum dan memastikan kesemua 39 etnik mengikut kaum yang satu ini. Kaedah kedua, berkongsi nilai budaya merentas kesemua 40 kaum dan mengidentifikasikan ciri-ciri terbaik di antara kaum supaya rakyat dapat merasai salah satu sifat daripada kesemuanya.
Apa yang kita praktis dari dahulu adalah kaedah pertama. Saya ingin bangkitkan bahawa kaedah ini sudah tidak relevan lagi.
Mari kita teliti dua definisi makna konsep integrasi. Pertama, katakan kita sebuah syarikat dengan pekerja yang baik dan produktif, maka semua orang baru diambil perlu menyesuaikan diri dengan tata cara golongan sedia ada yang dominan. Orang baharu perlu mengikis nilai budaya lama dan mengadaptasi nilai budaya baharu dalam golongan terbesar dan terawal. Konsep integrasi ini adalah asimilasi.
Erti integrasi kedua pula, sebuah syarikat mempunyai pekerja dan produktiviti sendiri, kini perlu bersama sebuah syarikat lain untuk menjayakan produktiviti lebih tinggi. Dalam hal ini, dua syarikat berbeza kini menjadi satu syarikat besar. Oleh kerana kedua-dua syarikat mempunyai nilai budaya kerja yang baik, maka kesemua pekerja digalakkan berkongsi nilai budaya dan tata cara bagi sama-sama memandu syarikat ke arah kejayaan lebih besar. Konsep integrasi ini adalah perkongsian budaya.
BALAS DENDAM
Sebagai orang Melayu, saya amat terkilan apabila tidak tahu satu apa pun tentang budaya hidup kaum Bajau, Kadazan, Murut atau Orang Asli. Suatu ketika, saya berpeluang mendengar ucapan seorang tok batin Orang Asli tentang nilai kepercayaannya terhadap toleransi agama. Dalam kepercayaan Orang Asli, mereka tidak akan merosakkan alam sekitar dengan mencemar atau merosakkan melalui over development kerana mereka bergantung terus kepada kelestarian hutan. Jika dizalimi, mereka tidak dibenarkan membalas dendam tetapi membiarkan keputusan kolektif masyarakat untuk bertindak.
Saya rasakan konsep ‘memaksa’ 39 etnik lain mempelajari nilai budaya satu kaum sahaja adalah amat merugikan. Ia mungkin strategi baik suatu ketika dahulu tetapi kita perlu berubah. Ini kerana pertama, generasi ketiga sudah tidak terlalu mengikut adat kaum masing-masing tetapi mencampurinya dengan ritual dan keperluan moden. Kedua, jika kita tidak sama-sama memahami budaya antara kaum, maka sukar hendak bekerjasama jika duduk di bawah satu tempurung world view satu kaum sahaja.
Kita juga akan hilang kepentingan nilai-nilai kelestarian persekitaran dan kehidupan apabila kita tidak mempelajari kepercayaan kaum lain. Kita juga tidak dapat membina satu keluarga Malaysia yang besar jika kita tidak faham nilai budaya antara kaum dan etnik.
Kita perlu merungkai dan merombak kurikulum pendidikan rendah, menengah dan tinggi supaya mengambil sikap dan definisi integrasi yang lebih bermakna, iaitu sebagai perkongsian nilai budaya. Konsep asimilasi yang berkiblatkan satu kaum dan satu agama tidak boleh membuka minda dan hati kepada perasaan kekeluargaan dan kasih sayang serta hormat menghormati merentas pelbagai budaya.
Jika kurikulum nasional menghormati warisan kepelbagaian budaya, saya kira isu sekolah vernakular, isu sekolah agama dan isu sekolah antarabangsa tidak akan timbul kerana kita bakal mempunyai isi padat yang bersifat global, lapang dan far reaching atau jauh pandangan.
Janganlah kita ditempurungkan lagi dengan kaedah integrasi yang lama tetapi bergerak yakin dan pantas kepada konsep integrasi yang baharu dan lebih bermakna.
Profesor Dr. Mohd. Tajuddin Mohd. Rasdi ialah ahli akademik seni bina dan penganalisis kritis media sosial.










