MUKADIMAH
Pada 9 Mei 2018 menyaksikan Barisan Nasional (BN) hanya memenangi 79 kerusi berbanding 113 oleh Pakatan Harapan (PH). Antara parti komponen paling perit adalah Gerakan yang langsung tidak mendapat sebarang kerusi Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN). Akibatnya Gerakan mengambil keputusan keluar daripada gabungan itu pada 23 Jun 2018, kira-kira enam minggu selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Sejak itu, kelibat Gerakan dalam arena politik Malaysia kelam. Ditanya mengenai perkara itu, Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai tidak menolak tanggapan tersebut.
“Saya sudah menetapkan misi utama dalam masa terdekat bahawa tidak kira apa pun, Gerakan mesti balik semula ke Parlimen dan DUN. Meskipun Gerakan adalah parti politik, namun parti ini kelihatan seperti pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sahaja,” katanya ketika ditemu bual wartawan Utusan Malaysia, ZULKIFLI JALIL, MOHD. FADHLI MOHD. SULAIMAN dan jurugambar MUHAMAD IQBAL ROSLI di Cheras, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
UTUSAN: Gerakan mengambil langkah keluar dari BN dan membawa haluan sendiri. Apa puncanya?
Dominic Lau: Pada tarikh tersebut, memang ia adalah sejarah terbesar untuk Gerakan (keluar dari BN) disebabkan Gerakan tidak memenangi sebarang kerusi Parlimen mahupun DUN pada PRU-14. Oleh itu, Gerakan ingin membuat penstrukturan semula dan tidak mahu lagi ada sebarang perkaitan dengan parti politik lain. Biar Gerakan selesaikan apa yang perlu, struktur dan bangkit semula pada PRU-15 akan datang.
Berapa kerusi yang ditandingi pada PRU-14?
Semasa masih dalam BN, Gerakan bertanding untuk satu kerusi Parlimen dan 33 kerusi DUN. Bagaimanapun, semuanya kalah. Justeru Gerakan berpendapat, mesti ada masa untuk parti ini berdiri sendiri, sebab itu Gerakan mengambil keputusan untuk keluar dari BN.
Gerakan berperanan sebagai parti bebas. Setakat ini, apa sasaran sudah dicapai?
Memang selepas keluar dari BN, Gerakan mengambil langkah segera dengan balik semula kepada akar umbi kerana Gerakan mendapati parti ini sudah kalah dan ahli dalam Gerakan sudah tidak menyokong calon yang bertanding pada PRU-14 lalu. Gerakan memutuskan untuk pergi semula kepada perkara-perkara asas.
Sebelum ini, ada mengatakan pemimpin Gerakan tidak mendengar cadangan dan pandangan dari akar umbi tetapi selepas Gerakan keluar, kami menggunakan masa selama setahun untuk turun padang dan bertemu akar umbi untuk menguatkan semula organisasi Gerakan.
Apa perjuangan sebenar Gerakan?
Sejak penubuhan Gerakan pada 1968 lagi, kami sudah menerangkan bahawa Gerakan ialah parti yang bukan berasaskan etnik dan kaum. Justeru, tanpa mengira latar belakang, Gerakan menerima sesiapa sahaja asalkan mereka adalah warganegara yang memperjuangkan hak sebagai rakyat di negara ini. Inilah Gerakan. Parti ini juga berperanan untuk membentuk perpaduan di negara ini.
Kita sedia maklum, sebelum ini negara kita pernah menghadapi krisis perkauman seperti yang pernah berlaku pada 13 Mei 1969. Dalam situasi sekarang juga kita boleh lihat Gerakan adalah parti yang terdiri daripada rakyat berbilang kaum, Melayu, Cina, India, Orang Asli, Siam dan sebagainya.
Dalam tempoh 27 bulan ini, Gerakan dilihat seolah-olah ‘mati’, tidak seperti DAP dan MCA. Kenapa?
Memang saya akui Gerakan dianggap tidak aktif dalam kalangan rakyat terutama arena politik disebabkan kami tiada wakil rakyat di Parlimen dan DUN. Oleh itu, saya sudah menetapkan misi utama dalam masa terdekat bahawa tidak kira apa pun, Gerakan mesti balik semula ke Parlimen dan DUN.
Meskipun Gerakan adalah parti politik, namun parti ini kelihatan seperti pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sahaja. Apabila berada di luar, boleh mengkritik tetapi tidak mendapat mandat daripada rakyat. Jadi, Gerakan mesti memperoleh mandat tersebut, menjadi wakil rakyat dalam Parlimen untuk membela hak-hak rakyat.
Apa pendekatan atau persiapan yang diambil oleh Gerakan?
Gerakan sudah menyenaraikan 25 kawasan Parlimen untuk bertanding pada PRU-15 malah sudah meminta semua pengerusi perhubungan negeri untuk menganalisis calon dan kawasan yang ingin bertanding.
Senarai nama calon dan kawasan tersebut sudah diserahkan ke peringkat pusat. 25 kerusi ini boleh bercampur tidak kira Melayu, Cina dan India. Bagaimanapun, ini hanya strategi dahulu. Untuk kerusi DUN belum lagi kerana akan dibincangkan di peringkat seterusnya berikutan melibatkan banyak negeri dan kawasan.
Apa perkara yang dipertimbangkan?
Gerakan meletakkan petunjuk prestasi utama (KPI) untuk sesuatu kawasan. Pertama, adakah kawasan itu pengundinya boleh menerima logo Gerakan atau tidak? Bagaimanapun, sebelum diterima, Gerakan sudah membuat kajian sama ada pengundi di luar mengenali Gerakan atau sebaliknya.
Selain itu, Gerakan mahu mengkaji sama ada calon yang ditempatkan di kawasan tersebut boleh diterima oleh rakyat atau pengundi di kawasan itu. Jika tidak, payah untuk bertanding nanti.
Ketiga, Gerakan juga mempertimbangkan aspek-aspek teknikal termasuklah beberapa cawangan Gerakan yang masih aktif. Kita boleh ada banyak cawangan tetapi jika tidak aktif, tiada guna.
Justeru, yang masih aktif itu boleh membantu gerakan berkempen pada PRU-15.
Adakah Gerakan bergerak solo atau bersama-sama PH?
Sebagai parti politik, kemenangan itu amatlah penting. Pada masa ini, kami akan terus berjuang untuk membela hak rakyat dengan menggunakan logo Gerakan sendiri tetapi semasa pilihan raya nanti, kita lihat situasi dan isunya terlebih dahulu.
Gerakan tidak berfikir untuk menyertai PH atau Perikatan Nasional (PN). Bagaimanapun, saya tidak boleh menafikan di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, memang bagus kerana beliau boleh diterima rakyat. ini boleh dilihat kepada usaha kerajaan membantu rakyat dalam mengekang penularan wabak Covid-19. Sebab itulah Gerakan bersetuju dan menyokong kepimpinan beliau.
Gerakan pernah menerima pelawaan untuk kembali kepada BN atau menyertai PN?
Buat masa ini, Gerakan menjalankan kerja sendiri terlebih dahulu. Sebagai parti politik, kita mesti menjadi parti untuk rakyat atau membela hak rakyat. Ini keutamaan Gerakan.
Apa pendirian Gerakan terhadap PN dan Muafakat Nasional (MN)?
Semua parti mempunyai hak terhadap diri sendiri untuk mengadakan pakatan atau gabungan berasaskan kaum dan agama masing-masing.
Gerakan tidak mempunyai masalah tentang hal itu tetapi jangan sampai menjejaskan hak-hak kaum lain. Ini prinsip Gerakan, tidak ada sesiapa yang mengatasi undang-undang. Semua pihak perlu mematuhi Perlembagaan dan kita menghormati dan menerima agama Islam sebagai Agama Persekutuan.
Sebelum ini bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dikatakan bakal menyertai Gerakan, tetapi desas-desus itu berakhir dengan beliau menyertai Bersatu. Adakah Datuk merasakan ia satu kehilangan?
Gerakan tidak berasa ia satu kehilangan, walhal sakit hati semasa beliau membuat keputusan untuk masuk Bersatu kerana ini adalah hak masing-masing. Seperti yang saya katakan, Gerakan mengalu-alukan sesiapa sahaja yang bersetuju dengan ideologi Gerakan sebagai parti bukan berasaskan kaum dan mematuhi Perlembagaan. Tidak kisah sama ada menteri, orang biasa atau sesiapa sahaja selagi seseorang itu bersetuju dengan perjuangan Gerakan.
Apa pandangan Datuk tentang budaya lompat parti?
Kita tidak mahu melompat parti hanya disebabkan mereka tidak bersetuju dengan perjuangan parti kita. Jadi, kita mesti ada satu akta untuk mengurangkan tindakan ahli-ahli yang ingin menyukarkan parti masing-masing. Namun, Gerakan menerima sesiapa sahaja yang ingin menyertai parti ini.
Jika ada ahli atau wakil rakyat yang tidak bersetuju (dan keluar parti), maka kerusi Parlimen atau DUN boleh dikosongkan. Tetapi, Gerakan membenarkan mana-mana ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang meletak jawatan untuk bertanding semula di kerusi tersebut. Itu baharu adil kerana mandat diberikan oleh rakyat dan rakyat yang mengundi mereka.
Apa persiapan Gerakan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) DUN Sabah?
Gerakan sudah mengarahkan pemimpin parti dan sudah ke Sabah. Saya masih menunggu maklum balas dan analisis daripada mereka dan kita akan buat keputusan sama ada Gerakan bertanding atau membantu kempen atau memainkan peranan yang dirasakan sesuai. Itu akan diputuskan tidak lama lagi.
Datuk yakin pilihan raya mengejut berlangsung tahun ini?
Selewat-lewatnya suku pertama 2021. Kami sudah bersedia dan memutuskan jumlah kerusi untuk bertanding. Calon yang disenaraikan juga akan disaring oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan kita akan arahkan semua calon untuk membuat pemeriksaan kesihatan.










