Oleh Anwar Ridhwan
Berbeza dengan beberapa dekad lalu, kritikan sastera kita agak sepi sekarang.
Dahulu muncul beberapa pengkritik sastera yang bagus. Mereka menggunakan teori-teori sastera Barat terutamanya. Sebahagian daripada mereka pula mencipta teori tempatan yang Islami atau berasaskan tradisi sastera kita sendiri. Kritikan mereka turut membantu memperkenalkan karya-karya sastera tempatan bermutu, yang wajar menjadi bacaan umum.
Usaha penterjemahan karya sastera Melayu yang bermutu ke dalam bahasa- bahasa asing juga agak rancak sejak beberapa dekad lalu. Peranan ini turut dimainkan oleh Institut Terjemahan Buku Malaysia (ITBM). Malangnya sejak kira-kira setahun lalu, ITBM mula memperlahankan operasinya atas pelbagai sebab kewangan serta kurangnya perhatian daripada pihak atasan.
Jika kita ingin mengetengahkan karya sastera dalam bahasa Melayu ke peringkat antarabangsa, salah satu strategi pentingnya ialah melalui usaha penterjemahan ke dalam bahasa-bahasa dunia.
Jika kita ke kedai buku besar, kita akan dapat melihat karya-karya sastera daripada penulis berbahasa Sepanyol, China, Jepun, Perancis, Arab, Jerman dan sebagainya telah diterjemahkan terutama ke dalam bahasa Inggeris.
Usaha pengantarabangsaan sastera ini sewajarnya mendapat sokongan daripada kerajaan. Ini kerana sastera bermutu turut memberi natijah yang menggambarkan citra pemikiran dan estetika karyawan sesebuah negara. Jika negara-negara besar yang sudah terkenal mengambil inisiatif menterjemahkan karya sastera para penulisnya, kita juga wajar lebih agresif jika ingin karya sastera kita dikenali di peringkat antarabangsa.
Memilih karya terbaik untuk diterjemahkan ke dalam bahasa asing sebenarnya turut melibatkan penilaian pengkritik sastera. Malangnya seperti yang telah disebut di atas, kritikan sastera di negara kita agak lesu dewasa ini berbanding pada 1970-an dan 1980-an.
GERSANG
Ada beberapa sebab yang memungkinkan kegersangan kritikan sastera dewasa ini. Pertama, pengkritik yang dahulu terkenal tidak melakukan kritikan sastera lagi selepas bersara dari institusi pengajian tinggi. Kedua, kurangnya media cetak seperti jurnal dan majalah yang boleh menyiarkan kritikan sastera. Ketiga, tidak ramai sarjana muda yang mahu menekuni bidang kritikan sastera.
Suasana kritikan sastera yang sihat amat diperlukan untuk mengenalpasti karya sastera kita yang bermutu, yang wajar diketengahkan ke peringkat antarabangsa.
Justeru, kita memerlukan sarjana yang cukup berilmu, wacana kritikan yang objektif dan rasional serta sokongan penerbitan bagi menampung tulisan esei dan kritikan sastera yang baik. Proses ini akan benar-benar menemukan karya yang dianggap cukup bermutu dan memenuhi sebahagian besar kriteria kesusasteraan sejagat pembaca peringkat antarabangsa.
Penterjemah yang baik bukan sahaja dapat menguasai bahasa Melayu dengan baik, bahkan lebih-lebih lagi menguasai bahasa pembaca sasaran dengan segala nuansanya, serta sedapat mungkin mengekalkan estetika dan makna budaya asal dalam terjemahannya. Sebagai contoh, jika pembaca sasarannya ialah Jerman, maka lebih baik penterjemahnya orang Jerman sendiri yang turut menguasai bahasa Melayu. Ini kerana penterjemah tersebut lebih mengetahui bagaimana lenggok bahasa Jerman untuk menyampaikan sesuatu naratif kepada khalayaknya.
Dengan adanya pusat-pusat pengajian bahasa Melayu di beberapa negara Eropah, China, Australia, Jepun dan Korea umpamanya, kita boleh mendapatkan penterjemah asing seperti itu yang boleh menguasai bahasa Melayu dengan baik. Jika penerbit-penerbit besar di negara kita menghubungi mereka bagi tujuan ini, saya percaya para sarjana asing akan memberikan kerjasama yang baik.
VISI
Sementara kita menanti wujudnya kerjasama seperti itu, kita bolehlah meneruskan usaha menterjemahkan karya-karya sastera kita oleh penterjemah-penterjemah tempatan yang menguasai bahasa-bahasa asing. Beberapa buah universiti awam tempatan mempunyai pusat bahasa yang mengajar bahasa-bahasa penting dunia. Tentulah dalam kalangan pensyarahnya serta graduannya boleh memanfaatkan kemahiran mereka menterjemahkan karya-karya sastera kita.
Kita tidak kekurangan penterjemah tempatan. Sebenarnya kita kekurangan visi serta program untuk menterjemahkan karya-karya sastera kita ke bahasa-bahasa utama dunia.
Kita memiliki sejumlah karya sastera yang bermutu, termasuk daripada penulis- penulis muda. Karya-karya ini mutunya lebih baik daripada sesetengah karya sastera asing yang diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris yang ada di pasaran.
Karya sastera tempatan yang baik ini hanya berlegar secara domestik, dibaca dan dihayati oleh pembaca-pembaca tempatan.
Jika kita tidak agresif menterjemahkan karya-karya sastera kita ke bahasa-bahasa utama dunia, mutiara sastera kita tinggal terbiar dalam mendapan ketidakpedulian.
DATUK Dr. Anwar Ridhwan ialah Sasterawan Negara, kini bertugas sebagai Pensyarah Kanan di Fakulti Penulisan Kreatif dan Filem, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara).










