MASA berlalu begitu pantas tanpa disedari telah memasuki bulan Julai. Apa khabar anak-anak dan adik-adik yang sedang belajar di sekolah, sama ada di asrama mahupun di sekolah harian?
Setahun yang lalu, pada 16 Julai, Zara Qairina Mahathir dijumpai meninggal dunia di dalam longkang berhampiran bangunan asrama perempuan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Papar, Sabah.
Pada 14 Oktober tahun sama pula, Yap Shing Xuen dibunuh di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Utama Damansara dan pada 6 Julai, lalu 2026 seorang pelajar perempuan tingkatan tiga ditikam di sebuah sekolah di Banting yang mengakibatkan kecederaan pada bahagian paru-paru serta mengalami 16 luka tikaman pada bahagian badan.
Peristiwa-peristiwa ini tidak sepatutnya berlaku.
Menurut Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611), tafsiran ‘kanak-kanak’ ialah seseorang yang berada di bawah umur 18 tahun.
Kita perlu mengakui seseorang kanak-kanak itu, oleh sebab ketidakmatangannya dari segi fizikal, mental dan emosi, memerlukan pelindungan, pemeliharaan dan bantuan khas agar mereka boleh bersama membentuk masyarakat Malaysia yang sejahtera pada masa depan.
Ke arah usaha tersebut, keluarga di rumah adalah kumpulan asas dalam komuniti yang menyediakan suasana semula jadi bagi pembesaran dan kebajikan semua anggotanya, khasnya kanak-kanak.
Ini penting supaya mereka boleh membesar dalam suasana aman, kasih sayang serta persefahaman untuk memperoleh keyakinan penuh maruah dan mengamalkan nilai-nilai murni.
Malangnya bukan semua keluarga harmoni. Apabila seseorang kanak-kanak melakukan satu kesalahan atau jenayah (berbeza dengan orang dewasa yang berumur lebih 18 tahun), dia perlu dibicarakan di Mahkamah Bagi Kanak-Kanak (MBKK) yang mendengar dan memutus apa-apa pertuduhan.
MBKK terdiri daripada seorang majistret dan dibantu dua orang penasihat yang bermastautin di negeri berkenaan.
Tugas Penasihat MBKK ialah menasihati majistret mengenai apa-apa pertimbangan menyentuh perintah yang dibuat berdasarkan suatu dapatan bersalah atau pelakuan lain berkaitan terhadap mana-mana kanak-kanak yang dibawa ke hadapan mahkamah itu.
Jika perlu, MBKK boleh menasihati ibu bapa atau penjaga dan kanak-kanak itu sendiri. Perkara ini kurang diketahui umum.
Akta 611 mempunyai 15 pecahan bahagian utama dan 135 seksyen meliputi kesalahan-kesalahan, sekatan ke atas penyiaran media, tidak terkawal, tatacara jenayah di MBKK, perintah khidmat masyarakat, pemerdagangan kanak-kanak, penyiasatan, penangkapan dan perkara-perkara lain yang berkaitan.
Seksyen 46 (1) misalnya menyatakan, “Suatu permohonan secara bertulis boleh dibuat kepada MBKK untuk menahan seseorang kanak-kanak di sebuah asrama akhlak oleh ibu bapa/penjaga kanak-kanak itu, atas alasan ibu bapa/penjaga tidak berupaya lagi untuk menjalankan pengawasan dan pengawalan yang sepatutnya ke atas kanak-kanak tersebut, dan kanak-kanak itu terlibat dalam pergaulan yang tidak sihat.”
Maksud asrama akhlak boleh difahami pada Seksyen 61, iaitu menteri boleh menubuhkan asrama-asrama akhlak, membuat peraturan-peraturan bagi mengawal selia, pengurusan dan menempatkan kanak-kanak tersebut.
Manakala Seksyen 75 (1) menerangkan, jika seseorang kanak-kanak didapati bersalah atas apa-apa kesalahan yang boleh dihukum dengan hukuman pemenjaraan, maka kanak-kanak itu tidak sesuai untuk dipulihkan di sekolah yang diluluskan.
Ini kerana kesalahan yang dilakukan adalah serius dan kecenderungan terhadap jenayah kanak-kanak itu sesuai diletakkan di bawah tatatertib untuk memulihkan akhlaknya bagi membanteras jenayah.
MBKK boleh menimbangkan menghantar kanak-kanak itu ke Sekolah Henry Gurney.
Walaupun Akta 611 berada di bawah bidang kuasa Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), namun masyarakat secara keseluruhan terutamanya kanak-kanak dan remaja, wajib tahu mengenainya.
Kesedaran mengenai akta ini boleh menyedarkan kanak-kanak agar menjauhi perlakuan negatif yang boleh membawa kepada kesalahan kesalahan jenayah yang lebih berat seperti membunuh.

PERKUKUH SISTEM PERLINDUNGAN KANAK-KANAK
Pemerintah boleh menambah bilangan guru-guru kaunseling di sekolah sesuai dengan nisbah murid sekali gus memperbanyakkan program-program penerangan dengan JKM, Jabatan Penjara, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Peguam Negara serta agensi-agensi lain yang berkaitan.
Guru-guru di sekolah boleh menjadi barisan hadapan untuk melakukan intervensi awal sebelum pelajar menjadi lebih bermasalah.
Mutu Penasihat MBKK perlu dimantapkan lagi dengan memilih mereka yang mempunyai latar belakang pendidikan berkaitan, mengutamakan pesara kerajaan yang berpengalaman serta menaikkan elaun mereka yang bertugas di bandar-bandar besar memandangkan kadar tersebut sudah lama tidak disemak.
Kerajaan juga perlu menambah peruntukan kepada Pasukan Pelindungan Kanak-Kanak supaya program berkualiti dapat dilaksanakan serta dipantau oleh pakar-pakar yang berkelayakkan.
Peranan sektor kesihatan juga penting memandangkan Seksyen 20 hingga 25, Akta 611 memperuntukan mengenai kanak-kanak yang memerlukan rawatan perubatan.
Mutakhir ini ramai yang mempunyai masalah berkaitan mental dan ia membimbangkan jika tidak diselesaikan segera.
Adakah masyarakat akan terus menyalahkan ibu bapa yang sentiasa sibuk menyara keluarga sehingga terlupa untuk mendidik anak yang terdedah dengan unsur-unsur ganas dalam internet? Atau terus membebani guru-guru yang ‘menjadi penjaga murid di siang hari” di samping menghadapi tekanan untuk menjadikan murid itu cemerlang?
Penyelesaian kepada masalah-masalah ini bukanlah terletak di bahu satu pihak atau jabatan sahaja. Ia adalah tanggungjawab bersama secara keseluruhannya.
Bagi yang beragama Islam, penerapan kembali kepada nilai-nilai keagamaan adalah jalan penyelesaian terbaik kerana kecelaruan minda yang berlaku kini adalah disebabkan pengabaian hubungan antara manusia dengan tuhan serta jiwa kacau yang tidak menemui ketenangan yang sepatutnya ada pada diri setiap insan.
Ayuh kita semua fahami Akta Kanak-Kanak 2001 dan jika perlu ditambah baik, maka berilah cadangan dan bukannya menyalahkan mana-mana pihak semata-mata.
Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. –UTUSAN
PENULIS ialah bekas Pegawai Kebajikan Masyarakat (JKM) dan kini dilantik sebagai Ahli Lembaga Pelawat Rumah Kanak-Kanak Tengku Budriah, Cheras.










