Sains rakyat perkasa penyelidikan negara

Sains rakyat perkasa penyelidikan negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MASIH segar dalam ingatan insiden seorang pendaki yang sesat dan hilang di dalam hutan selama 14 hari.

Pelbagai pihak, termasuk agensi kerajaan, pasukan keselamatan dan pihak berkepentingan, digerakkan dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) bagi mengesan serta membawa mangsa pulang dengan selamat.

Menariknya, masyarakat Orang Asli tempatan yang mempunyai pengetahuan mendalam mengenai selok-belok hutan berkenaan turut menyertai operasi tersebut pada pertengahan tempoh pencarian.

Penglibatan mereka membantu memperluas kawasan pencarian, mengenal pasti laluan yang berpotensi digunakan serta mempercepatkan usaha menjejaki mangsa.

Situasi ini menggambarkan pendekatan yang semakin mendapat perhatian dalam dunia penyelidikan masa kini, iaitu sains rakyat. Pendekatan ini mengiktiraf keupayaan masyarakat umum sebagai penyumbang ilmu melalui penglibatan secara langsung dalam aktiviti penyelidikan.

Sains rakyat merupakan sebahagian daripada gerakan sains terbuka yang menggalakkan perkongsian ilmu, data dan hasil penyelidikan secara lebih inklusif. Melalui pendekatan ini, penyelidikan tidak lagi dilihat sebagai bidang eksklusif yang hanya melibatkan golongan akademik atau penyelidik profesional, sebaliknya membuka ruang kepada masyarakat untuk menjadi rakan kolaborasi dalam menghasilkan pengetahuan baharu.

Di Malaysia, konsep sains rakyat masih belum diketahui secara meluas dan belum diamalkan secara menyeluruh. Kebanyakan penyelidikan masih dilaksanakan secara konvensional apabila penyelidik mengendalikan keseluruhan proses kajian, manakala orang awam hanya terlibat sebagai peserta atau responden yang membekalkan data.

Namun, pendekatan sains rakyat membawa perspektif berbeza. Masyarakat bukan lagi sekadar sumber maklumat tetapi berperanan sebagai saintis rakyat yang bekerjasama dengan penyelidik dalam menjayakan sesuatu kajian.

Mereka boleh terlibat dalam pelbagai peringkat penyelidikan, termasuk mengumpul data, memberikan pandangan berdasarkan pengalaman, membantu menganalisis maklumat serta menyumbang dalam proses pelaporan kajian.

Kelebihan utama pendekatan ini ialah keupayaannya menggabungkan kepakaran akademik dengan pengetahuan tempatan. Penyelidik mungkin mempunyai kemahiran dalam metodologi kajian tetapi komuniti setempat pula memiliki pengalaman dan pemahaman mendalam terhadap persekitaran mereka.

Sebagai contoh, penduduk di kawasan yang sering berdepan banjir boleh membantu merekodkan lokasi takungan air, perubahan corak hujan dan keadaan persekitaran bagi membantu mengenal pasti punca serta kaedah penyelesaian.

Nelayan pula boleh menyumbang maklumat berkaitan perubahan hidupan laut berdasarkan pemerhatian mereka di perairan tertentu. Manakala masyarakat yang tinggal di kawasan tanah tinggi boleh membantu mendokumentasikan flora dan fauna serta mengenal pasti habitat spesies tertentu.

Melalui penglibatan masyarakat secara meluas, penyelidikan dapat dijalankan dalam skala lebih besar dengan kos, tenaga dan masa yang lebih terkawal. Pada masa sama, data dikumpulkan menjadi lebih dinamik kerana diperoleh secara langsung daripada komuniti yang memahami konteks setempat.

Perkembangan teknologi digital turut memudahkan pelaksanaan projek sains rakyat. Penggunaan aplikasi dalam talian, perisian pengumpulan data dan pelbagai platform digital membolehkan maklumat daripada saintis rakyat dihimpunkan dengan lebih pantas dan sistematik.

Pendekatan ini juga tidak hanya terhad kepada golongan dewasa. Murid sekolah dan pelajar universiti turut boleh terlibat sebagai saintis rakyat bergantung kepada objektif kajian, kriteria peserta serta syarat yang ditetapkan oleh penyelidik.
Penglibatan generasi muda dalam aktiviti ini mampu meningkatkan minat terhadap sains, penyelidikan dan pemikiran kritis.

 

SAINS rakyat membuktikan masyarakat juga mempunyai peranan penting dalam menghasilkan ilmu, bukan sekadar menjadi pemerhati.

 

PERANAN PUSTAKAWAN

Dalam usaha memperluas pelaksanaan sains rakyat, pustakawan khususnya di institusi pengajian tinggi (IPT) perlu memainkan peranan yang lebih proaktif.

Perpustakaan tidak lagi boleh dilihat hanya sebagai tempat menyimpan bahan rujukan, sebaliknya perlu berkembang sebagai pusat sokongan ilmu dan hab kolaborasi antara penyelidik dengan masyarakat.

Pustakawan mempunyai keupayaan untuk membantu memperkenalkan konsep sains rakyat kepada komuniti penyelidik, menghubungkan mereka dengan kumpulan masyarakat yang berpotensi serta mempromosikan projek berkaitan melalui rangkaian pengguna perpustakaan yang luas.

Selain menyediakan ruang fizikal untuk program dan perbincangan, pustakawan juga boleh menyumbang kepakaran dalam pengurusan maklumat, dokumentasi serta perkongsian data penyelidikan. Peranan ini penting bagi memastikan data yang dikumpulkan melalui projek sains rakyat diurus secara sistematik, selamat dan boleh digunakan semula pada masa hadapan.

Latihan kepada saintis rakyat juga perlu diberi perhatian. Tidak semua peserta mempunyai pengetahuan berkaitan kaedah penyelidikan, pengumpulan data atau etika penyelidikan. Oleh itu, penerangan awal, latihan dan bimbingan perlu diberikan supaya mereka memahami objektif kajian serta peranan masing-masing.

Pada masa sama, penyelidik juga perlu diberi pendedahan mengenai pengurusan data penyelidikan yang melibatkan jumlah maklumat besar dan pelbagai bentuk. Kemahiran menggunakan repositori data, kaedah dokumentasi yang lengkap serta teknik analisis yang sesuai mampu meningkatkan kualiti dan kebolehpercayaan hasil penyelidikan.

Pengurusan data yang sistematik juga menyokong prinsip sains terbuka kerana membolehkan hasil penyelidikan dikongsi secara lebih meluas dan dimanfaatkan oleh penyelidik lain. Secara tidak langsung, pendekatan ini meningkatkan ketelusan penyelidikan serta memperkukuh keterlihatan projek sains rakyat di peringkat tempatan dan antarabangsa.

Akhirnya, sains rakyat membuka ruang kepada masyarakat untuk menjadi sebahagian daripada proses penghasilan ilmu. Pendekatan ini bukan sahaja memperluas penyertaan awam dalam penyelidikan, malah membina hubungan lebih kukuh antara komuniti dan penyelidik dalam menangani pelbagai cabaran semasa.

Kerjasama antara kedua-dua pihak membuktikan ilmu bukan hanya terhasil di makmal atau institusi akademik tetapi juga melalui pengalaman dan pemerhatian masyarakat.

Dengan sokongan yang berterusan daripada pustakawan, penyelidik, institusi pendidikan dan komuniti, sains rakyat mampu berkembang sebagai satu pendekatan penyelidikan yang inklusif, berimpak dan mampan.

Seperti peribahasa, ‘muafakat membawa berkat’, kejayaan sesuatu penyelidikan bukan hanya bergantung kepada kepakaran individu tetapi juga kekuatan kerjasama pelbagai pihak demi manfaat bersama. –UTUSAN

 

Dr. Norzelatun Rodhiah Hazmi ialah Ketua Seksyen Sains Terbuka, Perpustakaan M. Kamal Hassan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN