KRISIS Gaza bukan lagi sekadar konflik antara Israel dan Palestin. Ia menjadi ujian besar terhadap sistem antarabangsa apabila undang-undang antarabangsa gagal melindungi orang awam, sementara institusi global dilihat semakin lemah dan kuasa besar terus mengamalkan layanan berbeza dalam menegakkan prinsip hak asasi manusia.
Dalam keadaan ini, pendirian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, wajar diberikan perhatian kerana menggabungkan ketegasan moral, penghormatan terhadap undang-undang antarabangsa, diplomasi pelbagai hala dan komitmen terhadap bantuan kemanusiaan.
Pendekatan ini menunjukkan Malaysia tidak sekadar menyatakan solidariti terhadap Palestin, malah berusaha menterjemahkannya kepada tindakan yang boleh dipertanggungjawabkan.
Keadaan di Gaza membuktikan krisis ini melangkaui konflik bersenjata. Data terkini menunjukkan lebih 73,000 nyawa terkorban, lebih 173,000 lagi cedera, manakala puluhan ribu kanak-kanak kehilangan ibu bapa. Pada masa sama, lebih 90 peratus infrastruktur musnah, bantuan kemanusiaan disekat dan lebih dua juta penduduk berdepan kebuluran serta kehilangan keperluan asas.
Kemusnahan besar ini menjadikan Gaza bukan sahaja konflik peperangan, malah krisis perlindungan orang awam, kesihatan awam dan kemanusiaan yang menuntut tindakan segera masyarakat antarabangsa.
Pendekatan Anwar dapat difahami melalui beberapa dimensi utama. Pertama, beliau meletakkan isu Gaza dalam kerangka undang-undang antarabangsa.
Malaysia secara terbuka menyokong tindakan Afrika Selatan membawa Israel ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) atas dakwaan melanggar Konvensyen Genosid 1948. Sokongan ini memperlihatkan Malaysia memilih saluran perundangan bagi memastikan setiap pelanggaran kemanusiaan dipertanggungjawabkan mengikut prinsip keadilan antarabangsa, bukan sekadar melalui kecaman politik.
Kedua, Anwar memperkukuh diplomasi pelbagai hala. Dalam Sidang Kemuncak Luar Biasa Arab dan Islam di Riyadh, beliau menggesa masyarakat antarabangsa menghentikan keganasan terhadap rakyat Palestin, mempercepatkan bantuan kemanusiaan, memperkukuh sokongan kepada Agensi Bantuan dan Kerja Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) serta meningkatkan tekanan terhadap pihak yang terus membekalkan senjata kepada Israel.
Pendekatan ini menggambarkan keyakinan Malaysia suara negara sederhana akan menjadi lebih berkesan apabila digerakkan secara kolektif melalui Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan rangkaian negara-negara Global South.
Ketiga, diplomasi Anwar kekal berpaksikan kemanusiaan. Walaupun memahami kemarahan rakyat terhadap penderitaan penduduk Gaza, beliau terus menegaskan rundingan dan diplomasi mesti diteruskan bagi menghentikan pertumpahan darah serta memastikan bantuan kemanusiaan dapat disalurkan tanpa halangan.
Pendekatan ini menunjukkan ketegasan terhadap prinsip tidak bermaksud menolak dialog, sebaliknya menggunakan saluran diplomatik bagi mencapai penyelesaian yang memberi manfaat kepada mangsa konflik.
Selain pendirian diplomatik, Malaysia turut membuktikan komitmennya melalui tindakan. Kerajaan memperuntukkan RM100 juta sebagai bantuan awal kemanusiaan untuk Gaza serta memperluaskan kerjasama dengan Jepun, negara-negara Asia Barat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi mempercepat penyaluran bantuan kepada penduduk yang terjejas.
Pendekatan ini membuktikan dasar luar Malaysia tidak terhenti pada kenyataan politik, sebaliknya disokong oleh usaha kemanusiaan yang nyata.

KRITIK
Anwar turut menggunakan platform antarabangsa untuk mengkritik amalan dwistandard dalam sistem global.
Menurut beliau, Gaza memperlihatkan bagaimana prinsip hak asasi manusia dan undang-undang antarabangsa sering dikuatkuasakan secara terpilih.
Hospital dibom, bantuan kemanusiaan disekat dan orang awam terus menjadi mangsa, namun tindakan tegas masyarakat antarabangsa masih tidak sepadan dengan penderitaan yang berlaku. Keadaan ini menimbulkan persoalan tentang kredibiliti sistem antarabangsa dalam mempertahankan keadilan sejagat.
Kritikan tersebut bukan sekadar menyentuh nasib rakyat Palestin tetapi turut mempersoalkan keberkesanan institusi global dalam menegakkan prinsip yang mereka sendiri perjuangkan.
Jika undang-undang hanya dilaksanakan mengikut kepentingan kuasa besar, hanya menyebabkan keyakinan masyarakat antarabangsa terhadap sistem tersebut akan terus terhakis.
Pada masa sama, Anwar menegaskan gencatan senjata tidak boleh dianggap sebagai penamat kepada konflik. Keamanan yang berkekalan hanya dapat dicapai apabila isu pendudukan, sekatan, hak rakyat Palestin dan pembentukan sebuah negara Palestin yang berdaulat diselesaikan secara adil.
Pendirian ini menunjukkan Malaysia tidak sekadar menumpukan kepada usaha mengurus krisis, sebaliknya menggesa penyelesaian politik yang menangani punca konflik.
Keadaan sistem kesihatan di Gaza mengukuhkan lagi keperluan pendekatan tersebut. Puluhan hospital dan ratusan kemudahan kesihatan musnah atau tidak lagi berfungsi, manakala ribuan petugas kesihatan terbunuh atau ditahan. Krisis ini membuktikan penderitaan rakyat Gaza bukan sekadar kesan peperangan tetapi berkembang menjadi bencana kemanusiaan yang menjejaskan keseluruhan kehidupan masyarakat.
Dari sudut dasar luar, pendekatan Anwar mencerminkan konsep ketidakberpihakan aktif. Malaysia tidak memilih untuk berkecuali terhadap ketidakadilan, sebaliknya mengekalkan kebebasan menentukan pendirian berdasarkan prinsip undang-undang antarabangsa, kemanusiaan dan kepentingan negara.
Dalam isu Gaza, pendirian itu diterjemahkan melalui sokongan terhadap perlindungan orang awam, penolakan genosid, jaminan akses bantuan kemanusiaan, pertanggungjawaban undang-undang dan pengiktirafan hak rakyat Palestin untuk hidup dalam sebuah negara yang berdaulat.
Pendekatan ini turut memperkukuh kedudukan Malaysia di pentas antarabangsa. Walaupun bukan kuasa besar ketenteraan atau anggota tetap Majlis Keselamatan PBB, Malaysia memiliki pengaruh sebagai negara yang konsisten memperjuangkan keamanan, menghormati undang-undang antarabangsa dan mempunyai hubungan baik dengan negara-negara Islam, ASEAN serta negara-negara Global South. Modal diplomatik inilah yang membolehkan Malaysia terus membawa isu Gaza ke pelbagai forum antarabangsa.
Diplomasi Anwar terhadap Gaza menampilkan pendekatan yang tegas, berprinsip dan menyeluruh. Beliau menggabungkan hujah berasaskan fakta kemanusiaan, sokongan terhadap mekanisme undang-undang antarabangsa, kerjasama pelbagai hala, bantuan kemanusiaan serta tuntutan penyelesaian politik yang adil dan berkekalan.
Malaysia mungkin tidak mampu menghentikan krisis Gaza secara bersendirian, namun negara ini mampu memastikan penderitaan rakyat Palestin terus mendapat perhatian dunia.
Melalui diplomasi yang konsisten dan berprinsip, Malaysia membuktikan suara sebuah negara sederhana masih mampu menyumbang kepada usaha mempertahankan keadilan, maruah manusia dan keamanan sejagat. –UTUSAN
PROFESOR Dr. Mizan Aslam ialah Profesor Kehormat, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).










