‘Boleh bah kalau kau’ - Utusan Malaysia

‘Boleh bah kalau kau’

PRESIDEN UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (baris depan, empat dari kiri) memberi sokongan kepada jentera BN sempena PRN Sabah, baru-baru ini. - MEDIA SOSIAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
zulkifli jalil
Oleh ZULKIFLI JALIL

SENGIT sungguh Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16, kelmarin. Keputusan tidak rasmi majoriti mudah yang memihak Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sudah pun beredar seawal 9 malam lagi.

Sedangkan penjumlahan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) ketika itu baru memasuki keputusan untuk tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dari 73 DUN. Mana tak ’kecut perut’ sebahagian besar akhbar arus perdana yang sudah pun mencetak tajuk GRS menang di muka depan akhbar masing-masing.

Begitu hebat teknologi. Pengiraan undi yang dibuat seawal 5 atau 5.30 petang setelah pusat-pusat mengundi ditutup, sudah boleh diperoleh awal melalui ejen-ejen atau wakil calon-calon yang hadir semasa pengiraan – meskipun keputusan rasmi daripada SPR dibuat berperingkat pada pukul 11.30 malam dan 12.30 tengah malam.

Tahniah kepada parti yang menang. Yang kalah boleh mencuba lagi dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) yang dijanjikan Perdana Menteri akan dipercepatkan.

Saya mahu ‘belanja’ sedikit pembaca akan pengamatan sepanjang membuat liputan bersama rakan seperjuangan Utusan Malaysia, Hadi Ab. Manap dan jurugambar Shiddieqiin Zon sepanjang kempen 14 hari sejak 12 September lalu. Ikutilah:

1. Mengapa Warisan kalah?

Benar kata Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal yang masih belum mahu mengaku kalah pukul 1 pagi semalam bahawa Warisan adalah parti tunggal paling besar memperoleh kerusi dalam PRN ini iaitu 29 kerusi.

Jadi, benarlah juga pada 9 Mei 2018 bahawa UMNO adalah parti tunggal yang terbanyak memperoleh kerusi dalam PRU-14 sebanyak 54 kerusi berbanding PKR (49) dan DAP (42). Parti-parti yang lain, anda boleh Google.

Tetapi apakah punca Warisan yang menggerakkan gabungan Warisan Plus, dianggotai Warisan, Parti Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) tewas mengejut di tangan GRS?

Adakah kerana kesemua parti tidak sepakat menggunakan satu logo, Warisan? Mengapa satu-satunya calon Amanah pun boleh menang? DAP, menggunakan logo Warisan sapu bersih hampir kesemua kerusi ditandinginya, kecuali Bingkor.

Bayangkan kalau PKR dan UPKO ikut jejak sama dengan Amanah dan DAP, mungkinkah berubah keputusan PRN kelmarin?

Eh! Ahli Parlimen Lahad Datu, Datuk Mohamaddin Ketapi pun boleh menang dengan majoriti besar di Segama. Itu setelah dia buat ucapan kempen ‘jet pejuang dan kereta kebal hanya tembak ayam dan anjing’ di Tanduo pada 2013.
Slogan Unity Warisan agak menyentuh imaginasi penduduk Sabah di sebalik sentimen anti-Kuala Lumpurnya yang menggusarkan jentera kempen GRS.

2. GRS buanglah ego!

Barisan Nasional (BN)bertanding 41 kerusi tetapi cuma menang 14 kerusi, kesemuanya diperoleh dari UMNO. Andai katalah tidak berlaku pertembungan sesama sendiri antara calon-calon dalam GRS di 17 kerusi, mungkinkah majoriti diraih GRS akan membesar?

Di Melalap, calon Warisan, Datuk Peter Anthony menang 5,245 undi. Kalau dicampurkan undi calon BN, Jamawi Jaafar dengan Datuk Radin Malleh dari PBS, jumlahnya 4,885. Cuma majoriti 360 tipis untuk Peter. Bayangkan kalau Jamawi dan Radin bergabung ketika berkempen. Contohnya, seorang calon GRS sahaja di Melalap. Mungkinkah Peter goyah?

Di Kadamaian begitulah jua. UPKO raih 6,823 undi. Kalau digabungkan undi calon PBS dan BN, jumlahnya 5,414. Saingan sengit buat UPKO.

3. Lompat katak 2020 ditolak, 2018 okey

Daripada 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang menjatuhkan kerajaan Warisan Julai lalu setelah beralih ke kem Tan Sri Musa Aman sehingga membawa pembubaran DUN, cuma empat orang yang menang dalam PRN semalam. Tiga tak bertanding.
Mereka adalah Masiung (IND-Kuamut), Limus Jury (PN-Bersatu, Kuala Penyu), Abidin Madingkir (PN-STAR, Paginatan) dan James Ratib (BN-UMNO, Sugut).

Masiung ialah satu-satunya calon Bebas yang menang. Lima lagi calon Bebas yang terlibat dalam ‘Langkah Seri Anggerik’ yang tewas ialah Musbah Jamli (Tempasuk), Anita Banting (Tandek), Kenny Chua Teck Ho (Inanam) Abdul Rahman Kongkawang (Labuk) dan Datuk Saddi Abdul Rahman (Sukau).

ADUN lompat yang dicalonkan semula bagi mempertahankan kerusinya tetapi tewas ialah Jamawi Jaafar (BN-UMNO, Melalap) dan Abd. Muis Picho (PN-Bersatu, Sebatik).

Pada 2018, Jamawi menang di kerusi Kemabong sebelum beralih kepada Warisan.

Menerusi PRN semalam, Jamawi tewas kepada Naib Presiden Warisan, Peter Anthony, yang juga penyandang kerusi Melalap yang meraih 50.17 peratus undi.

Abd. Muis yang merupakan penyandang Sebatik hanya meraih 35.8 peratus undi, ditewaskan oleh lawannya dari Warisan, Hassan A. Gani PG Amir yang menang kerusi itu dengan meraih undi sebanyak 44.58 peratus.

Masiung berjaya mempertahankan kerusinya di Kuamut yang disandangnya sejak 2018.

Pada tahun itu, dia memenangi kerusi berkenaan atas tiket BN-UPKO sebelum beralih kepada Warisan.

Kesemua tujuh penyandang PN-Bersatu selain Abd. Muis, berjaya mempertahankan kerusinya.

Kelapan-lapan ini adalah mereka yang bertanding atas tiket PN-Bersatu yang turut memenangi PRU-14 lalu atas tiket BN.

Tujuh ADUN lompat parti yang menang adalah Hajiji Mohd. Noor (Sulaman), Ghulam Haidan Khan Bahadar (Kawang), Mohd. Arifin Mohd. Arif (Membakut), Isnin Aliasnih (Klias), Limus Jury (Kuala Penyu), Masidi Manjun (Karanaan) dan Nizam Abu Bakar (Apas).

Terdapat dua ADUN lompat parti yang diambil semula oleh PN-STAR sebagai calon dan kedua-duanya memenangi PRN kelmarin.
Ellron Alfred Angin yang mempertahankan kerusinya di Sook menang pada PRU-14 lalu atas tiket BN-PBRS. Abidin Madingkir pula mempertahankan kerusinya di Paginatan dan memenangi kerusi tersebut pada PRU-14 lalu atas tiket BN-UPKO.

4. Huguan Siou masih milik PBS

Ada kalangan pemimpin Warisan geram kenapa UPKO diperuntukkan sehingga 12 kerusi kali ini.

Ia dua kali ganda lebih banyak daripada jumlah kerusi yang mereka bertanding semasa menjadi komponen BN.

Difahamkan, UPKO disasarkan Mohd. Shafie untuk ‘mengantikan’ PBS dan STAR sebagai mewakili masyarakat Kadazandusun dan Murut (KDM). Malangnya, percaturan tidak menjadi.Daripada 12 kerusi, hanya satu dimenangi UPKO di Kadamaian. Malah Presidennya, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau tewas di Kiulu.

Jelas, wakil KDM masih kekal di tangan parti-parti komponen GRS, Parti Bersatu Sabah (PBS) yang menang tujuh kerusi manakala STAR, enam kerusi. Kerusi tradisi KDM di Tambunan dimenangi Presiden STAR dari PN, Datuk Dr. Jeffrey Kitingan. Dan gelaran Huguan Siou (pemimpin agung masyarakat Kadazan Dusun) belum lagi layak buat pemimpin UPKO. Ia masih lagi milik Penasihat Perdana PBS yang juga bekas ketua menteri, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan.

5. MCA, SAPP bukan lawan DAP

MCA masih relevan lagikah? Jika benarlah PRN Sabah menjadi ujian pertama MCA untuk masuk gelanggang PRU-15, parti itu kena fikir dua kali. MCA tewas di kesemua empat kerusi ditandinginya. Kesemua 14 kerusi BN dimenangi calon UMNO. PBRS yang menjadi komponen BN Sabah selain MCA turut kempunan.

Nampaknya PRK DUN Tanjung Piai, Johor yang dimenangi majoriti besar calon MCA sebelum ini bukan tanda aras parti itu sudah kembali bertaut di hati masyarakat Cina.

Demikian juga nasib sama dialami Parti Maju Sabah (SAPP) pimpinan bekas ketua menteri, Datuk Yong Teck Lee yang kalah teruk di DUN Luyang kepada DAP. Calon DAP-Warisan, Phoong Jin Zhe memperoleh jumlah undi terbanyak iaitu 15,510 undi, menewaskan lima lagi pencabarnya yang kesemuanya hilang wang deposit. Di Tanjong Papat, SAPP turut tersungkur. Teck Lee tidak bertanding.

Yang cerdiknya DAP. DAP yang kali pertama bertanding atas logo Warisan, hampir sapu bersih kerusi-kerusi ditandinginya. Selain Luyang dan Tanjong Papat, DAP meraih Likas, Kapayan, Elopura dan Sri Tanjong. Parti itu hanya tewas di DUN Bingkor kepada calon Bersatu.

6. Anwar harus muhasabah diri

Jika ada perkataan yang sesuai buat PKR atau presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim dari hasil keputusan PRN Sabah kali ini barangkali ini agaknya, ‘muhasabahlah diri.’ Menuntut sehingga 14 kerusi untuk ditandingi, diberi cuma tujuh tetapi sekadar menang dua.

Kata pemerhati kepada Utusan Malaysia, hasil keputusan yang terdaya oleh PKR itu tidak setanding dengan dakwaan Anwar, Rabu lalu bahawa dirinya sudah memiliki majoriti kukuh untuk menjatuhkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Bahkan, PRN ini yang berpihak kepada GRS menandakan isyarat rakyat menyokong PN yang diketuai Muhyiddin serta mahukan beliau menjadi Perdana Menteri. Ia sekali gus bermakna PRU-15 akan dipercepatkan seperti mana dijanjikan Perdana Menteri.

7. Ukur baju di badan sendiri

Pemimpin lama dan ‘kitar semula’ tidak mendapat tempat di hati rakyat Sabah. Kalau yang bernasib baik pun barangkali bekas ketua menteri, Datuk Seri Salleh Said Keruak yang menang di Usukan.

Yang hairannya, bekas Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia yang mengetuai Parti Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) sudah membayangkan dari awal lagi nasib 47 calon yang diterampilkan. Tapi mengapa teruskan hasrat ‘radu’ dalam PRN?

“Saya sendiri pun tidak yakin untuk menang di kawasan baharu DUN Pintasan ini walaupun majoriti pengundi di sini adalah ahli keluarga dan suku sakat saya iaitu kaum saya sendiri, Iranun.

“Kalau kawasan kampung halaman yang saya berkhidmat lebih 30 tahun pun saya tidak berani jamin, macam mana saya nak ramalkan kemenangan calon USNO di kawasan lain?” katanya beberapa hari lepas. Hasilnya, kelmarin membuktikan kata-kata Pandikar.

Demikian juga tidak ada rezeki buat Parti Cinta Sabah (PCS) pimpinan bekas Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman yang kesemua calonnya kalah di 73 kerusi termasuklah dirinya sendiri di Bongawan.

Seorang lagi bekas ketua menteri iaitu Presiden Kehormat Seumur Hidup Parti Liberal Demokratik (LDP), Tan Sri Chong Kah Kiat hilang deposit di DUN Inanam.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN