Bersatu pun perlu menang – Bung Moktar - Utusan Malaysia

Bersatu pun perlu menang – Bung Moktar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH
PENGERUSI Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin menaruh keyakinan tinggi, gabungan BN dianggotai UMNO, MCA, MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) akan memenangi sejumlah bilangan kerusi yang selesa.

UMNO Sabah yang diketuainya diyakini mampu memperoleh sekurang-kurangnya 29 kerusi walaupun di lima kerusi melibatkan pertembungan sesama sendiri UMNO dengan PBS, rakan sekutu Gabungan Rakyat Sabah (GRS) termasuk di N.38 Paginatan dengan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR)-PBS.

BN bertanding di 41 kerusi dengan didominasi 32 kerusi daripada calon-calon UMNO.

“BN tidak boleh memerintah kalau rakan-rakan lain tidak menang. Jadi, perlu mereka menang untuk mencukupkan kerusi kita untuk memerintah,” kata beliau kepada wartawan Utusan Malaysia, ZULKIFLI JALIL dan HADI AB. MANAP dalam pertemuan 20 minit di kediamannnya di Kota Kinabalu, malam kelmarin yang turut disertai jurugambar SHIDDIEQIIN ZON.

Berikut sedutan temu bual tersebut:

UTUSAN: Bagaimana perkembangan kempen setelah memasuki hari kelima?
Alhamdulillah, saya dari semasa ke semasa memang menerima laporan dari semua Dewan Undangan Negeri (DUN) dan bahagian yang bertanding. Jadi, bukan berpuas hati. Sebenarnya masih banyak kerja yang perlu dilaksanakan.

Tetapi, alhamdulillah, jentera BN dan komponen lain bergerak lebih agresif lagi sampai hari kelima. Saya menasihatkan mereka supaya terus menjalankan kerja-kerja bertemu dengan pengundi dengan apa cara sekali pun. Kalau perjumpaan sesi ceramah tidak mendapat sambutan sebab orang sekarang ada prosedur operasi standard (SOP), ada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), jadi memang tidak ramai orang yang datang.

Bagi jumlah SOP itu tidak melebihi 200 orang. Jadi saya katakan yang paling baik, iaitu kempen rumah ke rumah dan berceramah dari rumah ke rumah. Ini yang berkesan walaupun tidak banyak orang ditemui tetapi kalau satu malam dapat 20 rumah pun kalau lima, 10 orang pun sudah memadai untuk kempen kita memberi penerangan tentang kelemahan-kelemahan yang telah dibuat oleh Parti Warisan Sabah (Warisan).

Keberkesanan kombinasi antara media sosial dan berkempen rumah ke rumah. Pandangan Datuk Seri?
Kita memang ada team media sosial daripada bantuan UMNO Pusat dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menawarkan diri untuk membantu calon-calon BN. Kita juga membuat kolaborasi antara kempen media sosial, kempen secara bersemuka, berceramah dan aktiviti kecil-kecilan daripada Pemuda, Wanita dan Puteri.

SIAPA KETUA MENTERI

Isu ketua menteri memang tidak dapat dielakkan dimainkan oleh Warisan. Komen Datuk Seri?
UMNO dan BN memutuskan dalam satu mesyuarat bahawa calon ketua menteri itu kita selaraskan dengan tuntutan Perlembagaan Sabah, iaitu mana-mana parti yang mempunyai korum selepas pilihan raya ini maka akan dipilih sebagai ketua menteri. UMNO dan BN membuat keputusan tidak mengumumkan siapa ketua menteri tetapi kita menunggu selepas keputusan pilihan raya diketahui.

KEKUATAN SEIMBANG BN-WARISAN

Majoriti mudah 37 kerusi. BN bersaing di 41 DUN. Setakat ini bagaimana momentum?
Daripada pengamatan dan laporan yang saya terima, kita masih seimbang dengan mana-mana parti termasuk Warisan. Dari segi sokongan di bawah, cuma di peringkat awal sudah tentu dalam beberapa hari akan datang kita akan nampak langkah-langkah yang seterusnya.

Sebab UMNO dan BN sebetulnya kita ada sistem dalam pilihan raya. Kita telah diberi latihan, kursus sejak dua, tiga bulan lalu. Jadi, parti-parti lain saya tidak kata mereka tidak bersistem. Tetapi kebanyakan parti lain, orang kata cuma random. Dan mereka tidak ada sasaran, jadi, UMNO ada ahli kita di kawasan tertentu. Tugas utama kita mengenal pasti dahulu pengundi yang masih wujud dan masih bersama-sama UMNO. Pengundi putihlah senang. Jadi pengundi putih ini adalah model kita untuk bertanding dalam pilihan raya.

Sebab kalau kita tidak ada asas, macam peniaga tidak ada modal. Payah juga. Sebab itu UMNO ada sistem, kita kumpul dulu pengundi putih kita dan dateline saya sampai esok. Pengundi putih ini akan kita jadikan asas meneruskan kempen untuk rayu undi di atas pagar pula. Inilah antara kelebihan UMNO, sebab kita ada ahli yang mengundi di semua DUN.

BN, SEKUTU HARUS SAMA MENANG

41 kerusi BN yang ditandingi, 32 adalah kerusi UMNO termasuk Melalap. Bagaimana keyakinan untuk menang?
Kita jangkakan akan meraih undi di 29 kerusi.

UMNO kalau menang sendirian tidak boleh juga tubuh kerajaan. Bagaimana Datuk Seri meyakinkan pengundi di kawasan yang ditandingi oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu)? Sebab mereka dulu UMNO. Mungkin ada perasaan dendam dalam hati pengundi dan sebagainya.
UMNO dan Bersatu kita tidak bertembung. Jadi, jentera kita digerakkan untuk membantu rakan-rakan parti termasuk Bersatu. Memang tepat, BN tidak boleh memerintah kalau rakan-rakan lain tidak menang. Jadi, perlu mereka menang bagi mencukupkan kerusi kita untuk memerintah.

Memang ada yang rasa tak puas hati tetapi secara keseluruhan, rata-rata 80 peratus memang menerima arahan kita. Kita perlu berlapang dada dan berbesar hati. Kalau tidak, akhirnya Warisan juga akan memerintah. Gambaran yang besar, kita perlu mengalahkan Warisan. Untuk mengalahkannya, kita perlukan gagasan yang disatukan dan membentuk sebuah kerajaan.

Makananya semua ahli UMNO termasuk ketua bahagian sudah mendapat arahan daripada Datuk Seri?
Memang sudah diarahkan dari awal apabila kita berbincang untuk mengelakkan pertembungan antara UMNO dan Bersatu, kita sudah putuskan untuk menyokong kerusi di mana Bersatu bertanding.

Buat kali pertama, UMNO Pusat memberikan kuasa autonomi kepada Sabah. Bagaimana Datuk Seri menggunakannya?
Perkara pertama saya lakukan adalah memberikan penjelasan kepada ahli-ahli di bawah. Kebetulan ada pula pilihan raya,

maka rundingan kerusi-kerusi dengan parti lain telah dilakukan oleh saya, tidak ada campur tangan pemimpin UMNO Pusat. Memutuskan calon pun kami sendiri. Memang agak berat juga bila ada autonomi sebab apabila berada dalam kesukaran, saya tidak ada rakan berpengalaman yang boleh dirujuk. Saya mahu merujuk dengan pusat tetapi dalam hati saya berkata, kita sudah diberikan kuasa autonomi. Macam pelik pula kita rujuk kepada pusat. Sebab itu saya dan rakan-rakan di Sabah tetap kena buat keputusan walaupun tepat atau tidak.

TERIMA KASIH PAS

Orang Pas di Semenanjung keliru kenapa Pas tidak diberikan kerusi. Walhal Pas berada dalam gabungan lain, bukan bersama BN. Apa komen Datuk Seri?
Perlu diberi kefahaman bahawa Muafakat Nasional (MN) di Sabah tidak bertepatan. Justeru, kita minta Pas supaya tidak terlibat dalam pilihan raya kali ini sebab ini bukan soal MN. Ini soal gagasan Sabah. Sebab itu Pas tidak termasuk dalam gagasan Sabah. Sebab itu Pas tidak bertanding untuk mengelak sebarang sentimen. Tetapi, alhamdulillah, Pas berjiwa besar menggerakkan jentera untuk membantu calon BN dan Perikatan Nasional (PN).

GERAN TANAH ‘PILIHAN RAYA’

Mohd. Shafie Apdal dilihat jaguh dalam membela nasib orang Sabah, antaranya beliau memberikan geran tanah. Boleh Datuk Seri ulas?
Mohd. Shafie sebetulnya dia mahu membohongi rakyat Sabah lagi. Pemberian geran tanah ini sudah dilakukan BN bertahun-tahun dulu. Inilah yang digunakan, geran tanah hanya akan diberi bila dekat pilihan raya. Saya tidak bersetuju. Sebab geran tanah sepatutnya diberi selepas diluluskan oleh jawatankuasa tanah dan diukur.

Saya menyatakan apa yang dibuat oleh Mohd. Shafie ini meniru perkara yang sudah dibuat BN dahulu. BN buat begitu pun tetap kalah. 2014 BN buat, dekat pilihan raya bagi geran tanah. Mohd. Shafie pun buat kerja yang sama dan katakan inilah kebaikan kerajaan Warisan. Sebetulnya ini bukan perkara luar biasa. Sekarang BN bagi jaminan, geran-geran tanah tidak diberikan hanya apabila musim pilihan raya. Selesai sahaja ukur, maka terus diberikan. Kita mahu menolong rakyat secara ikhlas, bukan mahu minta balasan.

Jadi tidak sepatutnya sentimen anti-Malaya sebagaimana dimainkan Warisan?
Sentimen anti-Malaya sudah lama dimainkan. Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) dan PRU-14 tetapi parti-parti yang memainkannya hilang wang pertaruhan. Rakyat Sabah sudah lama dengan isu ini. Yang penting pada mereka, UMNO juga orang Sabah. Saya orang Kinabatangan, orang Sungai jadi ketua BN Sabah. Saya beri jaminan kita menang, kita akan ubah segala-galanya. Kita akan dampingi rakyat, bangunkan rakyat, bangunkan program-program secara menyeluruh dan sebagainya.

SAINGAN USNO, PCS

Bagaimana pula saingan yang diberikan oleh USNO dan Parti Cinta Sabah (PCS)?
Kalau saya kata susah untuk mereka menang, tidak boleh juga sebab ini sistem demokrasi. Dalam PRU-13 dan PRU-14, tidak ada parti tempatan yang menang. Yang menang UMNO, PKR dan DAP. Warisan pun bukannya menang banyak. Sepatutnya tidak ada isu besar dalam soal ini. Rakyat mahu melihat siapa wakil yang boleh dipercayai untuk membawa arus perubahan di kawasan itu.

Saingan sengit melibatkan 447 calon. Agak sukar untuk sesebuah parti walaupun hendak mendapatkan majoriti mudah. Apa kata Datuk Seri?
Satu kawasan sampai 16 calon, paling rendah empat. Dulu ada satu lawan satu, sekarang tidak langsung. Menunjukkan banyak rakyat yang melihat Warisan bukan lagi pilihan rakyat. Tetapi malangnya kecenderungan calon-calon itu nampak terlalu ketara. Mungkin mereka pun ingin menyumbang. Mereka berasa boleh menang untuk menyingkirkan Warisan, jadi perkara itu buatkan mereka bertanding. Pada saya, UMNO ini bersistem, meskipun banyak yang bertanding. Kalau kita jaga betul-betul pengundi kita, 10 peratus pun insya-Allah kita boleh menang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN