Pagi kelmarin, saya hampir bergaduh dengan seorang rakan gara-gara isu nombor plat basikal yang hangat diperkatakan sejak kebelakangan ini. Pada mulanya, dia menceritakan pasal harga basikalnya yang mencecah ribuan ringgit.
Namun, apabila saya ‘cucuk’ sedikit pasal basikal miliknya yang tiada lesen, dia mula melenting. Padahal kalau mahu dikuatkuasakan setiap basikal wajib dikenakan lesen seperti dicadangkan baru-baru ini, caj yang dikenakan mungkin belasan atau puluhan ringgit sahaja. Melihatkan dia mula berang, saya terus mendiamkan diri dan beredar perlahan-lahan.
Hakikatnya, tidak perlu perkara tersebut dijadikan isu. Tujuan kerajaan mahu mengenakan lesen untuk basikal adalah bagi melindungi penunggangnya jika berdepan kemalangan. Kemalangan jalan raya bukan mengenal darjat sama ada selebriti mahupun penjual roti.
Sebaiknya penunggang basikal yang menggunakan jalan raya memiliki insurans kemalangan bagi melindungi kebajikan diri dan keluarga.
Jika mereka mampu membeli basikal antara RM5,000 hingga RM50,000, apa salahnya membeli insurans untuk memastikan mendapat perlindungan diri yang sepatutnya.
Baru-baru ini, selebriti TV3, Ahmad Fedtri Yahya terlibat dengan kemalangan semasa menunggang basikal hingga ditimpa kecederaan di kawasan Sri Pentas, Bandar Utama.
Jika kita masih ingat, sebelum ini pun pernah berlaku kes geng berbasikal dilanggar pemandu kereta hingga ada yang hilang nyawa. Kes tersebut melibatkan lapan remaja lelaki dirempuh sebuah kereta di Jalan Lingkaran Dalam bersebelahan Tanah Perkuburan Mahmoodiah, Johor Bahru, tiga tahun lalu. Dalam kita mengenang tragedi yang melanda, jangan pula kita lupa dengan nasib mangsa dan keluarga mereka.
Dewasa ini, kes pemandu mabuk berlaku tidak kira siang atau malam hingga menyebabkan ramai yang mati dilanggar sama ada orang awam mahupun anggota barisan hadapan.
Langkah mengawal aktiviti menunggang basikal di kawasan pinggir bandar sepatutnya dilakukan agar penunggang basikal tidak menjadi mangsa dirempuh pemandu kenderaan yang cuai.
Selain penunggang basikal memakai pakaian yang lengkap dengan elemen kesihatan seperti topi keledar, pakaian yang mempunyai pantulan cahaya, sepatutnya mereka juga meninjau kawasan berbasikal melalui media sosial.
Sewajarnya penunggang basikal mencontohi geng motosikal yang berkonvoi dengan dipantau dan dikawal marsyal secara sistematik.
Ingatlah, bagaimana hebat pun kita merancang, sentiasalah beringat kepada-Nya setiap kali mula menunggang. Patuhilah peraturan jalan raya.










