‘Untung rugi’ Pas tak timbul - Utusan Malaysia

‘Untung rugi’ Pas tak timbul

ABDUL HADI AWANG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sudah bersiap sedia duduk di atas kerusi ketika kami tiba di pejabat Ahli Parlimen Marang itu di Tingkat 1, Blok 1, Bangunan Parlimen Isnin lepas.
Memperkenalkan diri kami dari Utusan Malaysia dan memberitahu akhbar ini baru seminggu muncul semula selepas hampir 10 bulan ‘berehat’ seketika, beliau mengangguk-angguk kepala, sambil perlahan berkata “tahu, tahu, tahu”.

Pas diketuai Abdul Hadi,72, masih mempunyai 18 ahli parlimen. Berbeza dengan parti-parti politik yang lain, wakil rakyat Pas mereka “semuanya duduk, tak lari”.  Abdul Hadi melayan setiap soalan yang kami ajukan, berkisar soal kebangkitan Muafakat Nasional (MN) serta cabaran Pas mengharungi laluan berliku sehingga parti itu kini dikatakan muncul sebagai king maker penentu hala tuju politik tanah air.

Ikuti sedutan temubual sejam dengan beliau oleh wartawan ZULKIFLI JALIL, FAHMI FAIZ dan ROSHIHAN ANNUAR YUB dihadiri jurugambar, FAUZI BAHARUDIN.

 

DAYA SAING MUAFAKAT NASIONAL

UTUSAN: Kalau dilihat daya tahan Muafakat Nasional (MN) dianggotai parti utama Pas/UMNO dalam enam Pilihan Raya Kecil (PRK) terakhir ini yang mencatat kemenangan 6-0 (kecuali PRK Sandakan tidak ditandingi MN), ada mengatakan “buat apa MN perlukan gabungan politik baharu? Bukankah sudah cukup teguh MN?”

ABDUL HADI: Saya melihat dari segi politik Islam. Walaupun dalam kita memimpin masyarakat majmuk, tetapi mestilah yang menguasai pemerintahan itu dari kaum yang dominan. Jadi, yang mendominasi di sini adalah Melayu, Islam dan bumiputera. Sebab itulah perlunya penyatuan Melayu, Islam dan bumiputera itu. Bahkan kalau kita lihat Nabi Muhammad SAW, walaupun di Madinah itu orang bukan Islam majoriti, campur Yahudi dan musyrikin, tapi dimulakan oleh Rasulullah dengan perpaduan antara komuniti Islam iaitu Muhajirin, Ansar, Auz dan Khazraj. Orang Islam yang berperang, berkelahi disatukan dahulu. Lepas itu barulah diajak kalangan bukan Islam untuk bersama dengan penubuhan negara Islam itu. Jadi, pendekatan sebegini perlu kita jadikan contoh. Dan lebih-lebih lagi Pas dan UMNO ini parti yang awal memperjuangkan kemerdekaan, bahkan menyertai pilihan raya yang pertama tahun 1955.

Kenapa sudah elok dua parti terbesar Melayu dalam MN, Pas-UMNO jemput pula parti lain yakni Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sertai MN?

Kita tak boleh nafi bahawa Bersatu ini parti Melayu Islam. Walaupun mereka ini parti yang baru tertubuh, tetapi pemimpin berpengaruh. Tanpa mereka, tak cukup. Sebab itu dalam kita membuat perubahan kepada Perikatan Nasional (PN) ini, terpaksa kita kena bercampur.  Pas dengan UMNO saja tak cukup, mesti dicampur dengan kumpulan dari Bersatu dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (belum ada parti), mereka ini ada sekali barulah cukup. Jumlah ini untuk membolehkan kita mempunyai bilangan yang cukup bagi mengambil alih kerajaan secara demokratik.

Tapi bukankah ini akan mengecilkan peluang Pas dan Umno dari segi agihan kerusi pilihan raya?

Sepatutnya jangan kita letakkan kepentingan kepartian. Sebaliknya harus mengutamakan kepentingan umat terlebih dahulu. Sebab itu Pas ambil pendekatan menggabungkan semua ini dan mendekatkan semua dalam satu gabungan yang ditautkan oleh ikatan persaudaraan.

Kalau begitu, sejauh mana Pas, UMNO dalam MN serta Bersatu sudah mencapai peringkat akhir pengagihan kerusi pilihan raya?

(Isu pengagihan) kerusi ini terlalu awal. Tarikh pilihan raya umum pun kita tidak tahu lagi. Asasnya sudah ada, jadi kita berjaya menyatukan ketiga-tiga parti. Kita tak boleh berpisah dengan UMNO, tak boleh berpisah dengan Bersatu. Tak boleh. Dan Pas tak boleh berpisah dengan Bersatu, dengan UMNO…tak cukup (bilangan kerusi). Sebab itu mestilah kita gabungkan semua.
Walaupun itu ada hal masing-masing, mesti ada orang kata UMNO dan Bersatu ini macam Pas dengan Amanah. Tapi pada saya lain. Amanah ini parti yang bergabung dengan DAP dengan pihak lain. Bersatu ini tidak. Itu kena beza.

KONFLIK AGIHAN KERUSI

Cuma sekarang ini spekulasi bertiup kencang mengatakan konon ada konflik pengagihan kerusi. Setakat mana MN atau PN sudah muktamadkan isu pembahagian kerusi ini?

Kita tak boleh terikut-ikut dengan desas-desus. Parti-parti sedia ada ini mestilah menonjolkan kepimpinan berwibawa. Yang boleh dicontohi oleh pengikut di peringkat akar umbi. Janganlah ada pemimpin yang terikut pula dengan pengikutnya. Sebaliknya pengikut yang perlu mengikut pemimpin. Mereka ini (pemimpin) yang seharusnya tentukan hala tuju dan strategi. Sepatutnya, bab strategi ini dibuat oleh pemimpin, bukan oleh ahli-ahli biasa. Kita kena sedar bahawa UMNO mempunyai sokongan akar umbi. Bersatu tiada akar umbi. Tapi ada pemimpin yang ada pengaruh. Akar umbi Pas pun ada, pemimpin pun ada. Tapi kita tidak pernah menjadi kerajaan daripada dahulu, cuma duduk di peringkat negeri sahaja. Jadi, sebab itu kita ambil apa yang mudah dahulu. Kita gabungkan pemimpin dahulu dengan memperkasakan perpaduan, menentukan hala tuju, kami buat garis panduan dan roadmap, lepas itu turun ke bawah. Pokoknya, kita tidak boleh mendengar desas-desus.

Jadi, soal ‘untung rugi’ Pas dalam pembahagian kerusi ini tidak timbul?

Tidak timbul. Yang penting, kepimpinan Islam itu mesti diutamakan. Islam ini adil untuk semua dan tidak mengabaikan kaum-kaum yang lain.

DUA PENJURU

Kalau disemak kesahihan keputusan PRU-14 yang jika dijumlahkan undi yang menyokong calon-calon Pas-UMNO, diperkirakan MN sudah pun memiliki kira-kira 30 kerusi Parlimen dalam tangan. Apa komen Tuan Guru?

Sekiranya gabungan ini (MN) bertanding dua penjuru, besar lagilah kita punya kemenangan. Apa yang penting ialah pertandingan dua penjuru. Ini mesti kita tegaskan.

Adakah jika pertandingan dua penjuru, MN boleh melepasi sasaran majoriti mudah 112 atau menghampiri majoriti dua per tiga kerusi Parlimen?

Besar kemungkinan hendak capai majoriti mudah. Jika ke arah itu, Insya-Allah mudah bagi kita. Tapi kita akan berusaha untuk memenangi dua per tiga.

Apa usaha Pas untuk mendekati akar umbi bagi memberi pencerahan mengenai isu pembahagian kerusi?

Akar umbi turut kita dekati melalui aktiviti kempen, aktiviti kegiatan masyarakat. Justeru, masalah perebutan kerusi ini tidak timbul termasuk di peringkat akar umbi.

Apa respons akar umbi Pas mengenai Perikatan Nasional?

Saya percaya dan yakin kepimpinan semua parti ini boleh menguasai akar umbi mereka. Akar umbi ini patuh kepada kepimpinan.

TIKAM BELAKANG

Kalau diimbas sejarah tahun 70-an apabila Pas sertai Barisan Nasional (BN), benarkah dikatakan ada unsur ‘tikam dari belakang’?

Apa yang paling penting, kita kena konsisten dengan syarat bekerjasama. Kalau konsisten, insya-Allah kita akan selamat. Bercakap pasal Pas-BN pada 1970-an, kita (Pas) tidak rugi sebenarnya. Pas bekerjasama dengan UMNO pada masa itu, memulakan kerajaan campuran berdasarkan kepada matlamat kedua-dua pihak untuk menghormati agenda menyelamatkan umat dan melaksanakan dasar Islam yang adil untuk semua. Itu yang berlaku masa itu. Mulai detik itu, berlakulah satu perubahan dalam kerajaan. Sehinggalah ke hari ini kita lihat berlakunya kesedaran Islam, kefahaman beragama dalam masyarakat dan memerdekakan ummah daripada belenggu penjajahan pemikiran. Ini kehebatan yang baharu di Malaysia, yang mana terhasil daripada kerjasama PAS-Umno dahulu.

KING MAKER DAN PIAGAM PN/MN

Sebelum ini, semasa Pas bergerak sendiri, ia dilabel parti king maker. Adakah sekarang apabila Pas sudah menjadi sebahagian daripada kerajaan, istilah king maker itu masih relevan?
King maker ini relevan apabila sudah ada keputusan pilihan raya. Harus ambil kira berapa kerusi yang masing-masing dapat. Kalau Pas dapat kerusi lebih besar daripada UMNO, atau kalau UMNO dapat lebih daripada Pas, masing-masing jangan khianat. Kalau Pas dapat kerusi lebih besar pun, Pas tidak boleh tinggalkan UMNO dan demikian juga sebaliknya. (Parti) Bersatu pun tak boleh ditinggalkan. Yang penting, kita setia kepada perjanjian, kita ada piagam.

Adakah PN akan ada satu piagam lain yang khusus, berbeza dengan piagam MN?

Saya fikir piagam (MN) itu boleh diterima semua.

Bercakap soal piagam, Pakatan Harapan (PH) sendiri ada rekod bila perjanjian yang dimeterai, mereka langgar. Dengan ambil kira sejarah hitam ke atas PH, bolehkah piagam MN itu dipercayai?
Kita bergantung atas piagam, bukan atas faktor siapa akan jadi Perdana Menteri. Asasnya ialah piagam itu sendiri yang membabitkan dasar-dasar perjuangan Islam. Soal siapa akan jadi Perdana Menteri, itu soal sampingan.

Siapakah yang terbabit menandatangani piagam MN atau PN?

Ia ditandatangani oleh pemimpin parti-parti. Sekarang ini baru dua pihak iaitu Pas dan UMNO. Dan Bersatu akan turut serta. Insya-Allah, Bersatu juga akan bersama-sama dalam proses ini, sama ada atas nama Muafakat Nasional atau Perikatan Nasional.  Hakikatnya nama itu tidak penting, yang penting agar kita semua bersatu. Itu yang penting.

Jadi selepas ini, parti Bersatu akan dibawa menandatangani piagam ini?

Ya.

Adakah Tuan Guru percaya tidak akan berulang lagi pengkhianatan dan sabotaj dalam proses ini?

Kita akan usaha sedaya upaya (untuk pastikan tiada sabotaj). Kalau ada unsur sabotaj sekalipun, kumpulan yang setia itu akan selamat. Manakala yang tidak setia akan kita pinggirkan.

 

BERSAMBUNG ESOK

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN