Tak ada hantu pun... - Utusan Malaysia

Tak ada hantu pun…

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Mukadimah
TIMBALAN Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), DR. AZMI SHAROM tidak menyangka perlu menjalankan tugas Pengerusi susulan peletakan jawatan Datuk Azhar Azizan Harun pada 29 Jun lalu. Kira-kira sebulan selepas itu, bekas pensyarah undang-undang yang cukup dikenali dengan gaya stylo – berambut panjang bertocang – itu menerima satu lagi kejutan iaitu perlu menguruskan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Dalam wawancara kira-kira sejam dengan wartawan Utusan Malaysia, ZULKIFLI JALIL, AZMAN IBRAHIM dan NIZAM YATIM serta jurugambar, FAISOL MUSTAFA di pejabatnya di Putrajaya Khamis lalu, beliau masih mampu mengukir senyuman walaupun tanggungjawabnya semakin berat jika spekulasi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan dalam masa terdekat menjadi kenyataan. Dr. Azmi yakin beliau boleh melunaskan tanggungjawab itu berdasarkan sokongan sekretariat SPR yang disifatkannya cukup berpengalaman dan profesional termasuk memastikan tiada ‘hantu’ dalam daftar pemilih terbaharu.

Berikut sedutan wawancara tersebut.

 

WARGA CHINA, BANGLADESH MASUK TAK KELUAR-KELUAR?

UTUSAN: Masih adakah tanggapan wujud pengundi hantu?
DR. AZMI: Sudah tentu. Itu dari segi daftar pemilih kita. Ini adalah sesuatu perkara yang kita mengambil serius. Jadi sejak 2018, kita telah pun mengambil tindakan untuk membersihkan daftar pemilih. Jadi kita ada satu sistem refleks di mana misalnya kalau kita mendapati situasi yang mungkin meragukan, kita akan menyiasat.
Sekarang memang amalan kita, pengundi yang berumur lebih daripada 90 tahun, kita akan siasat, masihkah dia belum meninggal dunia. Jikalau kita dapati sesuatu alamat itu terdapat terlalu banyak nama, kita akan siasat.
Sudah tentu kita terbuka kalau ada sesiapa yang ada keraguan. Dia boleh menulis kepada kita menyatakan isu yang dirasakan mungkin ada kesalahan dan sebagainya.

Adakah ‘hantu’ telah berjaya ditangkap sejak PRU-14 pada 9 Mei 2018?
Baru-baru ini, tiada. Setahu saya tiada ‘hantu’ pun. Kita dapati selalunya masalahnya orang tidak menukar alamat. Misalnya, Flat Pekeliling, Kuala Lumpur yang sudah tidak wujud lagi kerana telah dirobohkan. Ada orang yang masih mengundi menggunakan alamat flat berkenaan. Orang lihat itu ‘hantu’ lah, tetapi sebenarnya orang itu sudah berpindah, tetapi dia tidak menukar alamat. Kadang-kadang isu itu bukan ‘hantu’ betul.

Adakah berlaku perkara pelik seperti pendaftaran pengundi baharu yang berumur lebih 40 tahun?
Itu sebenarnya normal kerana ada orang yang mungkin tiba-tiba dia ‘mendapat hidayah’ untuk mengundi. Kami tidak boleh menyiasat perkara seperti itu. Kalau umur 70 tahun nak mendaftar sebagai pengundi baharu pun, kita tidak akan siasat.

Bagaimana pula dakwaan ada beratus-ratus ribu warga China dan Bangladesh yang masuk ke Malaysia dan tidak keluar-keluar?
Kita tidak mengesan apa-apa. Itu sebenarnya lebih kepada (tanggungjawab) Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) kerana SPR hanya pengguna (data JPN). Kita tidak berkuasa menyatakan seseorang itu bukan warganegara. Hanya JPN yang berkuasa menentukan adakah seseorang itu betul-betul warganegara atau tidak.

 

DAFTAR PEMILIH PRU-15

Apakah daftar yang akan digunakan jika PRU-15 diadakan pada Disember ini?
Daftar pemilih induk (DPI) bagi suku pertama yang diwartakan pada 1 Julai lalu menunjukkan kita mempunyai 15.03 juta pengundi. Ini termasuk pengundi baharu sejak 9 Mei 2018 iaitu sebanyak 474,761 orang. Kita juga masih dalam proses mengemas kini pendaftaran terbaharu dibuat pada April, Mei dan Jun (suku kedua). Selepas pendaftaran itu kita perlu mempamerkan nama, proses bantahan dan kemudian diwartakan. Untuk pendaftaran bagi suku ketiga tahun ini mungkin tidak sempat kerana senarai nama itu perlu mengambil masa tiga bulan untuk diwartakan selepas tarikh tutup.

 

PERSEDIAAN PRN SABAH

Bagaimanakah persediaan menghadapi PRN Sabah dan Pilihan Raya Kecil (PRK) Slim, Perak?
PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim dan PRN Sabah adalah pilihan raya yang kita tidak jangka. Malangnya di Slim, Yang Berhormat (Datuk Mohd. Khusairi Abdul Talib) telah meninggal dunia, memang sedih, tetapi kita kena buat (pilihan raya). Dari segi Slim itu, kita sudah biasa kerana banyak PRK. Baru-baru ini, PRK DUN Chini, Pahang. Itu tidak menimbulkan banyak isu.
Sabah juga satu kejutan kerana ia seluruh negeri. Maksudnya dari segi logistik memang betul lah kita di SPR banyak kerja lagi (kena buat) kerana dari segi geografi ia adalah negeri yang sangat besar. Misalnya, macam mana nak pergi ke kawasan terpencil, tetapi pengalaman itu memang sudah ada lah. Kalau PRK, satu kawasan sahaja. Di Sabah 73 kerusi DUN. Maksudnya kita kali ganda 73 kerja yang kita selalu lakukan untuk PRK biasa. Jadi untuk PRN, dia berkali ganda tugas, kerja dan tanggungjawab kita. Walaupun satu kejutan, SPR mesti bersedia kerana ini tanggungjawab kita. Memang ada cabaran, tetapi saya yakin kita boleh menunaikan tanggungjawab kita.

Ada pihak cuba menghalang PRN Sabah dengan membawa kes itu ke mahkamah?
Kami di SPR, pendirian kami senang sahaja. Ini tanggungjawab kita, kita mesti menguruskan PRN yang akan berlaku. Kami tidak tahu apakah keputusan mahkamah, jadi kita akan teruskan persiapan kita, tak kiralah apa yang berlaku di mahkamah. Jikalau mahkamah memutuskan bahawa tidak ada PRN, kita berhentilah, tetapi itu terpulang kepada mahkamah untuk membuat keputusan. Kita akan terus dengan tanggungjawab kita. Persiapan ini termasuk pembaharuan dari segi prosedur operasi standard (SOP) yang mengambil kira keselamatan orang ramai semasa pandemik Covid-19. SOP ini berasaskan apa yang kita laksanakan di PRK Chini dan akan buat di Slim, cuma mungkin kita akan ada modifikasi sedikit sebanyak. Sebab apa yang kita dapati di Chini misalnya, prosedur untuk mengundi itu agak perlahan kerana terdapat banyak langkah-langkah yang perlu diambil. Jadi macam mana kita nak mempercepatkan sedikit proses mengundi itu. Mengenai dakwat, isu di Chini berkaitan penggunaan berus dan sarung tangan. Inilah perkara-perkara yang kita akan kaji, perlukah kita ada semua ini. PRN setakat ini kita masih menggunakan dakwat yang selalu digunakan, sebab itu memang peraturannya, jadi kita mesti guna juga.

Berapakah kos PRN Sabah?
Terus terang saya tidak boleh memberitahu kos sekarang sebab kita belum lagi ada pun mesyuarat khas kita. Jadi anggaran-anggaran kos kita pun kita belum bincangkan lagi. Kalau boleh saya akan beritahu, tetapi setakat ini tidak boleh.

Berapa peratus anggaran keluar mengundi?
Kalau kita lihat di Chini lebih 70 peratus orang datang mengundi. Bilangannya lebih kurang sama jika pilihan raya diadakan semasa tiada pandemik Covid-19. Bagi Sabah, selalunya bila kita diminta anggaran, SPR selalu kata 70 peratus. Itu jawapan standard kita. Jadi kami berharap bahawa 70 peratus lah. PRK terakhir di Sabah adalah Parlimen Kimanis dan kita mencapai sasaran kita, lebih 70 peratus.

Bagaimana pula bilangan pengundi berdaftar?
Pada masa sekarang saya tidak dapat memberikan bilangan untuk Sabah kerana kita masih dalam proses mengemas kini dengan pendaftaran April, Mei dan Jun (suku kedua).

 

PERLUAS UNDI POS ELAK COVID-19

Tidak mahukah mencontohi Amerika Syarikat (AS) yang mengutamakan undi pos?
Di AS sistem undi pos memang digunakan secara meluas. Kalau tidak silap saya, ada lima negeri di AS yang memang cara mengundi itu dibuat secara pos.
Jadi di situ mereka menghantar kertas undi kepada semua pengundi, jadi tidak perlu meminta. Sebab di Malaysia kita kena memohon untuk menjadi pengundi pos, selalunya untuk mengundi di luar kawasan. Di Malaysia sistem kita tidak sebegitu maju seperti di AS, jadi kalau hendak kata kita nak menggunakan undi pos untuk semua pengundi, saya rasa tidak boleh.

 

BILA PENGERUSI MELETAK JAWATAN

Adakah rasa terbeban apabila terpaksa memangku tugas pengerusi?
Mengikut undang-undang, jikalau Pengerusi tiada atau tidak boleh menjalankan tugas, secara automatik Timbalan Pengerusi akan menjalankan tugas berkenaan.
Jadi apabila bekas Pengerusi telah pun berpindah ke Parlimen sebagai Speaker, saya sebagai timbalan secara automatik mengambil tanggungjawab beliau. Ini tidaklah menjadi masalah sebab ia adalah sesuatu yang memang disediakan oleh undang-undang dan tambahan lagi SPR ini pihak sekretariatnya memang sudah lama dan profesional.
Saya sudah berada di sini selama setahun setengah dan sudah kenal semua orang, jadi tiada masalah langsung peralihan daripada Pengerusi yang dahulu kepada Pemangku Pengerusi iaitu saya untuk menjalankan kerja-kerja SPR.

 

AKTIVIS GABUNGAN PILIHAN RAYA BERSIH DAN ADIL (BERSIH)

Wujud persepsi ‘konflik’ kerana anda aktivis Bersih sebelum ini?
Ini label yang diberikan kepada saya. Dulu saya ada pendapat, pandangan dan prinsip saya sendiri. Dahulu saya bebas untuk menyatakan pendapat dan pandangan.
Saya tidak pernah menjadi ahli mana-mana organisasi kecuali dua iaitu Persatuan Kakitangan Akademik Universiti Malaya (PKAUM) dan Kelab Tottenham Hotspur Malaysia. Ini dua sahaja yang saya jadi ahli. Saya tak pernah jadi ahli parti politik dan NGO.
Apa yang saya pentingkan pada masa itu adalah kebebasan. Orang boleh melabel saya aktivis itu dan ini, tetapi saya tidak pernah menjadi ahli mana-mana kumpulan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya