Sejarah buktikan negara stabil di bawah BN

Sejarah buktikan negara stabil di bawah BN

Setiausaha Agung Barisan Nasional, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH
IKUTI bahagian kedua temu bual Utusan Malaysia bersama Setiausaha Agung Barisan Nasional, DATUK SERI DR. ZAMBRY ABDUL KADIR sempena ulang tahun ke-52 Barisan Nasional (BN).

UTUSAN: Bagaimana BN melihat peranannya dalam Kerajaan Perpaduan?
ZAMBRY: BN memilih untuk mendahulukan negara.

Ketika negara berdepan kebuntuan politik, BN mengambil keputusan yang mungkin sukar tetapi perlu demi memastikan kestabilan negara dapat dipertahankan.

Sejarah akan mencatat bahawa ketika negara memerlukan kestabilan, BN memilih tanggungjawab berbanding kepentingan politik sempit.

Hari ini, tumpuan kami bukan soal siapa mendapat kredit. Tumpuan kami ialah memastikan ekonomi berkembang, pelaburan masuk, peluang pekerjaan diwujudkan dan rakyat mendapat manfaat.

Bagi BN, kestabilan bukan slogan. Kestabilan adalah tanggungjawab. Sebab itu kita melihat pengalaman pentadbiran BN bukanlah sekadar hanya lipatan sejarah, tetapi sememangnya diperlukan oleh mana-mana pihak yang ingin membentuk kerajaan.

BN bukan sekadar melengkapkan angka untuk membentuk kerajaan. BN membawa pengalaman, kestabilan dan keupayaan mentadbir.

Dalam apa jua bentuk kerajaan, BN sentiasa menjadi faktor penstabil yang membantu merapatkan perbezaan, mengimbangi kepelbagaian dan memastikan kepentingan rakyat sentiasa menjadi keutamaan. Sebab itulah selepas 52 tahun, BN terus kekal relevan dan diperlukan dalam landskap politik negara.

Ramai meramalkan BN akan berkubur selepas 2018. Apakah pandangan Datuk Seri?
Sejarah akan mengadili Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sewajarnya.

Ramai melihat beliau berdasarkan tajuk berita dan persepsi yang dibentuk sepanjang tempoh yang penuh mencabar itu. Namun tidak ramai yang benar-benar menyaksikan apa yang berlaku di belakang tabir ketika UMNO dan BN berdepan antara tempoh paling sukar dalam sejarahnya.

Selepas PRU 2018, ramai yang meramalkan UMNO dan BN akan berpecah dan akhirnya berkubur. Ketika itu tekanan datang dari pelbagai arah. Ada yang meninggalkan parti. Ada yang meramalkan UMNO tidak lagi mempunyai masa depan.

Malah terdapat pelbagai usaha dan tekanan supaya UMNO dibubarkan atau ditutup.

Saya menyaksikan sendiri detik-detik tersebut. Namun Datuk Seri Zahid enggan mengambil jalan mudah. Beliau memilih untuk mempertahankan parti yang telah menjadi sebahagian daripada sejarah perjuangan orang Melayu dan pembinaan negara ini.

Beliau boleh sahaja mengambil keputusan yang lebih selesa untuk dirinya ketika itu. Tetapi beliau memilih untuk mempertahankan institusi parti dan memastikan perjuangan ini diteruskan.

Dalam tempoh yang sama, beliau juga berdepan pelbagai pertuduhan dan serangan yang bukan sahaja memberi kesan kepada beliau sebagai pemimpin, tetapi juga kepada keluarganya.

Sebahagian daripada pertuduhan tersebut berkait dengan yayasan yang beliau sendiri tubuhkan untuk tujuan kebajikan dan pendidikan. Namun beliau memilih untuk menghadapi proses perundangan tersebut dan terus memimpin parti dalam keadaan yang amat mencabar.

Beliau tidak meninggalkan parti. Malah beliau membawa BN di mana kita berada pada hari ini.

Di saat ini, BN masih wujud, masih bersatu dan masih menjadi sebahagian daripada kerajaan. Itu bukan berlaku secara kebetulan. Ia berlaku kerana adanya kepimpinan yang sanggup bertahan ketika ribut melanda.

Saya percaya, keadaan ini banyak dipengaruhi oleh kepimpinan Ahmad Zahid yang tidak mudah melatah apabila berdepan tekanan, tidak tunduk kepada persepsi jangka pendek dan tidak membuat keputusan berdasarkan emosi semasa.

Sebaliknya, beliau sentiasa melihat jauh ke hadapan, menimbang setiap langkah dengan teliti serta meletakkan kepentingan parti, rakyat dan negara mengatasi segala-galanya.

Dalam suasana politik yang sering berubah dan penuh ketidaktentuan, beliau memilih untuk berfikir beberapa langkah ke hadapan ketika orang lain hanya melihat cabaran di hadapan mata.

Sebab itulah banyak keputusan yang pada awalnya dipersoalkan, akhirnya terbukti membantu memastikan kelangsungan BN dan kestabilan politik negara.

Apakah cabaran terbesar BN menjelang PRU16 terutama sekali menghadapi gelombang pengundi muda?
Cabaran terbesar bukan sahaja untuk memenangi pilihan raya tetapi memenangi semula keyakinan rakyat.

Hari ini rakyat mahu melihat hasil. Mereka mahu melihat penyelesaian kepada masalah kos sara hidup, peluang pekerjaan, pendidikan dan masa depan anak-anak mereka.

Rakyat tidak lagi mudah terpengaruh dengan slogan semata-mata.

Sebab itu BN perlu membuktikan bahawa pengalaman yang kita miliki boleh diterjemahkan kepada penyelesaian yang memberi manfaat kepada rakyat.

Generasi muda hari ini mempunyai harapan dan cabaran yang berbeza.

Mereka bercakap tentang masa depan mereka yang kebanyakannya dipengaruhi oleh kemunculan teknologi yang lebih futuristik. Mahu atau tidak mahu, BN tidak boleh elak daripada perkara ini dan perlu memahami serta menawarkan penyelesaian yang realistik.

Lebih penting, golongan muda tidak boleh hanya dilihat sebagai pengundi, tetapi perlu diberikan ruang yang lebih besar untuk terlibat dalam proses membuat keputusan, menyumbang idea serta memegang peranan kepimpinan dalam parti mahupun negara.

Masa depan BN tidak boleh dipisahkan daripada masa depan generasi muda Malaysia. Jika kita mahu BN terus relevan pada masa hadapan, kita mesti memastikan generasi muda melihat BN sebagai wadah yang memahami aspirasi mereka, memperjuangkan kepentingan mereka dan memberi ruang kepada mereka untuk sama-sama membina masa yang lebih baik.

Apakah mesej Datuk Seri kepada seluruh ahli dan penyokong BN sempena ulang tahun ke-52 ini?
Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada setiap ahli dan penyokong yang terus bersama perjuangan ini dalam susah mahupun senang.

Sejarah BN bukan sejarah bangunan atau logo semata-mata. Sejarah BN ialah sejarah ahli-ahli akar umbi yang terus mempertahankan perjuangan ini walaupun ketika berdepan pelbagai cabaran.

Selama 52 tahun mengajar kita satu perkara. Kita mungkin boleh kalah dalam pilihan raya. Kita mungkin boleh diuji oleh keadaan.

Tetapi selagi semangat perjuangan itu hidup dalam hati ahli-ahli, BN akan terus berdiri.

Saya yakin, masa depan BN tidak ditentukan oleh apa yang berlaku semalam. Masa depan BN bakal ditentukan oleh apa yang kita akan lakukan mulai hari ini.

BN bukan sekadar mewarisi sejarah Malaysia. BN mahu terus membina masa depan Malaysia.

Selamat Ulang Tahun Ke-52 Barisan Nasional. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN