PESTA Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) bukan lagi sekadar acara tahunan yang menghimpunkan penerbit, penulis dan pembaca dalam satu ruang jualan buku yang besar.
Dalam perkembangan dunia yang semakin dipengaruhi globalisasi, teknologi digital, kecerdasan buatan (AI) dan pergerakan budaya rentas sempadan, PBAKL telah berkembang menjadi sebuah ruang budaya dan intelektual yang memainkan peranan penting dalam pembentukan identiti serta naratif Malaysia di peringkat nasional dan antarabangsa.
Pesta buku ini kini boleh dilihat sebagai sebahagian daripada proses pembinaan “geo-naratif Malaysia” iaitu naratif besar tentang bagaimana Malaysia memahami dirinya sendiri dan bagaimana negara ini mahu dilihat oleh dunia melalui bahasa, ilmu, budaya dan tradisi intelektualnya.
Dalam dunia moden, kuasa sesebuah negara tidak lagi bergantung semata-mata kepada kekuatan ekonomi atau ketenteraan. Pengaruh budaya, ilmu pengetahuan, bahasa dan naratif masyarakat kini menjadi elemen penting dalam menentukan kedudukan sesebuah negara dalam geopolitik global.
Negara yang mampu membina naratif budaya yang kuat akan lebih mudah mempengaruhi imaginasi masyarakat dunia.
Dalam konteks ini, PBAKL menjadi salah satu instrumen budaya yang membantu Malaysia membentuk citra atau pewajahan sebagai negara ilmu, masyarakat membaca dan pusat pertukaran budaya di rantau Asia Tenggara.
Bahasa Melayu memainkan peranan yang sangat penting dalam pembentukan geo-naratif tersebut. Di PBAKL, bahasa Melayu tidak sekadar menjadi medium komunikasi harian bahkan berfungsi sebagai simbol kesinambungan tamadun dan identiti budaya negara.
Ribuan buku dalam bahasa Melayu yang diterbitkan setiap tahun menunjukkan bahawa bahasa ini masih mempunyai kekuatan intelektual serta kemampuan untuk berkembang sebagai bahasa ilmu moden.
Novel, karya akademik, puisi, buku pemikiran, karya sejarah dan penerbitan digital dalam bahasa Melayu memperlihatkan bahawa Malaysia masih berusaha mempertahankan kedaulatan bahasa dalam era globalisasi yang semakin didominasi oleh bahasa antarabangsa.
Kedudukan bahasa Melayu dalam PBAKL juga membawa makna yang lebih besar dalam konteks Nusantara.
Bahasa Melayu bukan hanya bahasa nasional Malaysia, lebih jauh lagi sebagai bahasa budaya yang menghubungkan sejarah panjang rantau Melayu yang merangkumi Malaysia, Indonesia, Brunei, Singapura dan sebahagian wilayah Selatan Thailand serta diaspora Melayu di seluruh dunia.
Melalui penerbitan dan penyebaran buku, Malaysia secara tidak langsung sedang memperkukuhkan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa tamadun dan bahasa budaya serantau.
Dalam dunia yang semakin dipengaruhi teknologi digital dan kecerdasan buatan, usaha mempertahankan bahasa juga bermaksud mempertahankan cara berfikir, sistem nilai dan identiti budaya masyarakat.
PBAKL juga memperlihatkan bagaimana Malaysia berfungsi sebagai simpang tamadun yang mempertemukan pelbagai tradisi ilmu dunia.
Dalam satu ruang budaya yang sama, masyarakat boleh menemui karya Islam, buku akademik Barat, manga Jepun, sastera Korea, literatur Arab, karya Mandarin dan pelbagai bentuk penerbitan tempatan.
Pertemuan pelbagai tradisi ilmu ini mencerminkan kedudukan Malaysia sebagai negara majmuk yang terbuka kepada pengaruh luar tetapi masih mempunyai akar budaya sendiri.
Keadaan ini menjadikan PBAKL bukan sekadar ruang jualan buku, tetapi ruang dialog budaya dan intelektual antara pelbagai dunia pemikiran.
Fenomena ini penting kerana generasi muda Malaysia hari ini membesar dalam dunia yang sangat berbeza berbanding generasi terdahulu.
Mereka hidup dalam ekosistem digital yang dipenuhi media sosial, algoritma, kandungan video pendek dan kecerdasan buatan. Cara mereka membaca juga berubah.
Mereka tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada pembacaan linear melalui buku bercetak semata-mata sebaliknya pada masa yang sama membaca secara visual, interaktif dan rentas platform.
Walaupun begitu, PBAKL masih relevan kerana ia menyediakan pengalaman budaya yang tidak dapat digantikan sepenuhnya oleh dunia digital.
Kehadiran secara fizikal di pesta buku memberikan pengalaman sosial dan intelektual yang membina hubungan langsung antara pembaca, penulis dan penerbit.
Dalam ruang inilah lahir generasi pembaca baharu yang memiliki kesedaran global tetapi masih berakar kepada identiti lokal.
Mereka membaca tentang kecerdasan buatan, geopolitik, perubahan iklim, ekonomi digital, isu Palestin, perang Iran-AS/Israel, isu minyak di Selat Hormuz, budaya pop Korea dan pemikiran global sambil terus berinteraksi dengan karya tempatan serta sejarah Nusantara.
PBAKL akhirnya menjadi ruang yang membentuk generasi yang mampu memahami dunia moden tanpa kehilangan hubungan dengan budaya dan identiti sendiri. PBAKL juga memainkan peranan penting dalam pembentukan soft power atau kuasa lunak Malaysia.
Dalam geopolitik moden, kuasa lunak merujuk kepada kemampuan sesebuah negara mempengaruhi masyarakat dunia melalui budaya, nilai, pendidikan dan idea.
Negara-negara besar seperti Jepun menggunakan anime dan manga sebagai instrumen budaya, Korea Selatan menggunakan K-pop dan drama manakala negara Barat menggunakan industri media dan penerbitan untuk membentuk pengaruh global mereka.
Malaysia pula mempunyai potensi besar dalam membina pengaruh budaya melalui bahasa, sastera, penerbitan Islamik, pemikiran Nusantara dan tradisi masyarakat majmuknya.
Melalui PBAKL, Malaysia memperlihatkan bahawa negara ini mempunyai ekosistem penerbitan dan kemajmukan budaya makan unik yang dapat ditonjolkan melalui budaya membaca yang aktif.
Kehadiran penulis antarabangsa, forum intelektual, sesi wacana dan kerjasama penerbitan menjadikan pesta buku ini sebagai ruang diplomasi budaya yang penting.
Apabila karya Malaysia diterjemahkan ke bahasa asing atau apabila penulis tempatan mula dikenali di luar negara, Malaysia sebenarnya sedang membina pengaruh budaya secara perlahan tetapi berkesan.
Pengaruh seperti ini tidak bersifat keras seperti kuasa politik atau ekonomi namun mampu membentuk persepsi dunia terhadap sesebuah negara dalam jangka panjang.
PBAKL juga memperlihatkan bahawa buku masih mempunyai kedudukan penting dalam pembinaan tamadun manusia walaupun dunia kini dikuasai media digital.
Buku bukan sekadar objek fizikal untuk dibaca, tetapi simbol memori budaya dan kesinambungan ilmu. Sesebuah masyarakat yang terus membaca dan menerbitkan buku menunjukkan bahawa masyarakat tersebut masih menghargai proses pemikiran mendalam dan dialog intelektual.
Dalam era media sosial yang bergerak pantas dan dipenuhi maklumat segera, pesta buku menjadi simbol bahawa budaya ilmu masih relevan dan diperlukan.
Dalam konteks Malaysia, perkara ini amat penting kerana pembinaan negara tidak hanya bergantung kepada pembangunan ekonomi dan infrastruktur fizikal. Sesebuah negara juga memerlukan pembangunan budaya dan intelektual yang mampu membentuk masyarakat berfikir.
PBAKL membantu mewujudkan ruang tersebut dengan menghubungkan masyarakat kepada dunia ilmu, sejarah, sastera dan pemikiran kontemporari.
Kehadiran keluarga, pelajar, guru, penulis dan golongan muda di pesta buku memperlihatkan bahawa budaya membaca masih mempunyai tempat dalam kehidupan masyarakat Malaysia.
Hubungan budaya Nusantara yang terbina melalui PBAKL juga membawa makna geopolitik yang penting.
Hubungan penerbitan dan bahasa antara Malaysia, Indonesia dan Brunei memperlihatkan bahawa Nusantara masih mempunyai ruang budaya bersama yang boleh diperkukuhkan melalui buku dan ilmu.
Dalam keadaan dunia yang semakin bersifat multipolar, hubungan budaya serantau seperti ini memberi peluang kepada Malaysia untuk memainkan peranan sebagai jambatan budaya dan intelektual di Asia Tenggara.
Dalam dunia yang semakin dipengaruhi teknologi kecerdasan buatan, persoalan tentang masa depan budaya membaca sering dibangkitkan. Ada yang melihat AI dan media digital sebagai ancaman kepada buku dan penerbitan tradisional.
Namun PBAKL menunjukkan bahawa manusia masih memerlukan ruang fizikal untuk mengalami budaya ilmu secara bersama.
Walaupun teknologi berubah, keperluan manusia untuk membaca, memahami cerita dan membina makna tentang kehidupan tetap wujud. Buku mungkin berubah bentuk daripada bercetak kepada digital, tetapi fungsi budaya dan intelektualnya masih kekal penting.
Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur bukan hanya sebuah pesta buku tahunan, lebih mendalam lagi adalah ruang strategik pembentukan geo-naratif Malaysia dalam era globalisasi dan teknologi digital.
Melalui bahasa, penerbitan, budaya membaca dan jaringan intelektual antarabangsa, PBAKL membantu membina imaginasi tentang Malaysia sebagai negara ilmu, simpang tamadun dan pusat pertukaran budaya di rantau Asia.
Dalam dunia moden yang semakin dipengaruhi perebutan naratif dan pengaruh budaya, PBAKL memainkan peranan penting dalam menentukan bagaimana Malaysia membaca dunia dan bagaimana dunia memahami Malaysia. – UTUSAN
PENULIS adalah pemerhati geopolitik dan hubungan antarabangsa dan menafsir isu semasa melaui pendekatan semiotik dan naratif.










