Pemilikan ekuiti oleh usahawan, di mana kedudukan bumiputera?

Pemilikan ekuiti oleh usahawan, di mana kedudukan bumiputera?

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar (HEP) Universiti Teknologi Mara (UiTM), Profesor Dr. Mohd. Sazili Shahibi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Mukadimah
SASARAN pegangan ekuiti dalam kalangan Bumiputera secara keseluruhan adalah 30 peratus, namun ketika ini kelompok itu hanya 15 peratus.

Kebanyakan yang memiliki hartanah rumah kedai dan sebagainya adalah di pinggir bandar khususnya di Pantai Timur.

Wartawan Utusan Malaysia, MOHAMAD ATHIR ISMAIL dan jurugambar AFIQ RAZALI bersama Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar (HEP) Universiti Teknologi Mara (UiTM), PROFESOR DR. MOHD. SAZILI SHAHIBI mengupas topik itu sempena penganjuran Konvensyen Ekuiti Usahawan Bumiputera (KEUB) 2026 yang diadakan di Terengganu.

UTUSAN: Apakah KEUB 2026 dan matlamat penganjurannya?
MOHD. SAZILI: KEUB 2026 adalah platform strategik nasional bagi menangani jurang pemilikan ekuiti oleh Bumiputera yang masih ketara. Matlamatnya adalah untuk mewujudkan resolusi dasar, padanan perniagaan, peningkatan literasi keusahawanan serta tindakan susulan daripada agensi kerajaan.

Bagaimana KEUB 2026 diukur berdasarkan matlamat-matlamat tersebut?
Ia diukur melalui: bilangan resolusi dasar yang diterima pakai, jumlah padanan perniagaan (business matching) yang berjaya, peningkatan literasi keusahawanan peserta, serta liputan dan tindakan susulan daripada agensi kerajaan.

Bagaimana UiTM memainkan peranan dalam penganjuran sulungnya?
UiTM melalui Hal Ehwal Pelajar (HEP) mengambil peranan proaktif dalam membangunkan usahawan siswa, belia, dan wanita agar tidak sekadar memiliki perniagaan kecil, tetapi mampu bersaing di peringkat industri.

Justeru kami bertindak sebagai penganjur utama, menyelaras libat urus agensi-agensi strategik seperti Majlis Amanah Rakyat (Mara), TEKUN, Amanah Ikhtiar Malaysia, Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH), dan alumni.

Kami juga memastikan penglibatan aktif usahawan siswa dengan menyediakan platform dialog langsung antara usahawan siswa dengan pembuat dasar dan pembiaya.

Kenapa Pantai Timur dipilih atau spesifiknya, Terengganu?
KEUB berlangsung pada 2 Jun di Terengganu Equestarian Resort (TER) Terengganu dan ia dipilih kerana lokasi strategik bagi usahawan Wilayah Timur.

Terengganu merupakan antara negeri yang majoritinya merupakan Melayu Bumiputera. Sebelum ini banyak tertumpu di Lembah Klang. Justeru, inilah kali pertama program seumpama ini dijalankan di Pantai Timur khasnya Terengganu.

Adakah mahasiswa UiTM juga akan terlibat dengan penganjuran KEUB 2026?
Mahasiswa adalah aset utama pemerkasaan ekonomi masa depan. Tanpa intervensi awal di peringkat kampus, kita akan terus melahirkan graduan pencari kerja, bukan pencipta kerja.

Apakah kaitan antara pemerkasaan ekuiti dengan pembangunan usahawan termasuk mahasiswa?
Ekuiti bukan sekadar pemilikan saham, tetapi kemampuan mengawal rantaian nilai ekonomi. Usahawan siswa yang dibangunkan dengan literasi kewangan, akses pembiayaan, dan jaringan industri akan mampu menjadi pemilik perniagaan berskala besar, bukan sekadar peniaga kecil.

KEUB 2026 adalah ruang untuk membawa mereka ke fasa seterusnya: Akses modal, jaringan industri, dan sokongan dasar.

Apakah definisi usahawan graduan mengikut konteks KEUB 2026 dan mengapa kumpulan ini menjadi keutamaan?
Usahawan graduan merujuk kepada alumni UiTM yang menceburi perniagaan dalam tempoh enam bulan sama ada baru bermula ataupun sedang melaluinya. Kumpulan itu penting kerana mereka berada dalam tempoh peralihan kritis dari alam kampus ke alam industri. Jika tidak disokong segera, potensi keusahawanan yang dibina di universiti akan luput.

HEP UiTM bertanggungjawab memastikan graduan kita tidak tercicir, sebaliknya terus dibimbing sehingga perniagaan mereka stabil dan berskala.

Bagaimana UiTM melahirkan usahawan siswa Bumiputera?
Setakat ini, UiTM melahirkan ribuan usahawan siswa melalui program i-MASMED (Akademi PMKS dan Pembangunan Keusahawanan) seperti Kursus Keusahawanan (ENT), Inkubator Perniagaan, Koridor Keusahawanan, Keusahawanan Sukan dan lain-lain.

Apakah cabaran utama yang dihadapi oleh usahawan graduan dalam tempoh enam bulan selepas tamat pengajian?
Tiga cabaran utama. Pertama, kehilangan akses kepada bimbingan pensyarah dan fasiliti kampus seperti ruang perniagaan percuma. Kedua, tekanan kewangan untuk memilih antara bekerja atau terus berniaga. Ketiga, jaringan perniagaan yang masih rapuh berbanding usahawan sedia ada.

Melalui KEUB 2026, kami menghubungkan mereka dengan agensi pembiayaan.

Apakah strategi UiTM memastikan usaha KEUB 2026 tidak terhenti pada suatu konvensyen semata-mata, ia mesti mempunyai kerangka strategik?
Konvensyen ini menghasilkan Resolusi Dasar Praktikal dan Inklusif yang akan diserahkan kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi. Ia bukan sekadar forum, tetapi ada roundtable discussion (RTD) tertutup melibatkan pembuat dasar, industri, dan usahawan untuk merumuskan strategi konkrit.

RTD itu terus berlangsung di seluruh negara dengan dibahagikan kepada enam zon iaitu Zon Timur, Zon Selatan, Borneo, Tengah dan Utara. Setiap zon membincangkan tema-tema strategik untuk menghasilkan resolusi.

Apakah impak secara langsung kepada peserta?
Penubuhan Tabung Usahawan Bumiputera untuk pinjaman mudah, penubuhan jaringan kerjasama antara universiti-agensi-industri, serta pelaporan data ekuiti Bumiputera untuk rujukan polisi nasional.

Kami juga berharap agar satu bentuk atau mekanisme pinjaman mudah kepada usahawan graduan untuk mendapat bantuan modal.

Bagaimana pula dengan penglibatan usahawan wanita dalam KEUB 2026?
Usahawan wanita adalah tulang belakang ekonomi komuniti. Mereka menjadi kumpulan sasar utama kerana perniagaan mereka masih banyak beroperasi secara tradisional dan terpencil.

KEUB 2026 memberi tumpuan kepada pemberdayaan usahawan wanita PMKS melalui pameran, jaringan, dan akses pembiayaan.

Adakah terdapat sokongan khusus kepada usahawan wanita dibawa dalam KEUB 2026?
Kami memastikan usahawan wanita mendapat tempat dalam sesi industry matching, latihan kapasiti, serta dialog dasar. Selain itu, kita mempromosikan produk warisan budaya mereka melalui pameran dan jualan semasa konvensyen.

Selain daripada KEUB 2026, apakah yang harus dilakukan oleh usahawan Bumiputera di luar sana?
Jangan tunggu peluang, tetapi cipta peluang. UiTM sebagai rumah ilmu Bumiputera sentiasa membuka pintu kepada anda. KEUB 2026 adalah ruang untuk didengar, dibimbing, dan dibiayai. Datang, tunjuk potensi anda, dan kita bina ekuiti bersama.

Apakah falsafah yang ingin diterapkan dalam agenda pemerkasaan ekuiti usahawan Bumiputera?
Dengan KEUB 2026, kita buktikan bahawa institusi pendidikan tinggi awam mampu menjadi peneraju perubahan ekuiti Bumiputera, memastikan Malaysia memiliki ekosistem ekonomi yang seimbang, stabil dan mampan untuk semua. Apabila Bumiputera kuat ekonominya, Malaysia kuat sebagai sebuah negara.

HEP UiTM bukan sekadar pengurus disiplin dan kebajikan mahasiswa, tetapi pemangkin transformasi ekonomi bangsa melalui pembangunan usahawan siswa dan graduan.

Patriotisme ekonomi bermaksud mencintai tanah air dengan mengisi ruang ekonomi secara produktif, berdaya saing, dan berintegriti. Berani memikul amanah untuk membina perniagaan berskala besar, mencipta peluang pekerjaan untuk rakyat dan mengurangkan kebergantungan kepada pihak lain. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN